Hijrah Mengubah Arah, Bukan Sekadar Wajah
Setiap kali tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam sering diingatkan tentang kepentingan perubahan. Mimbar masjid, ucapan rasmi dan media sosial biasanya dipenuhi seruan agar masyarakat memperbaharui azam serta melakukan penghijrahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Namun, di sebalik semangat yang diraikan saban tahun itu, wajar direnungkan sama ada makna hijrah benar-benar difahami atau hanya diulang sebagai istilah yang semakin hilang roh dalam kehidupan seharian.

