Saya menerima beberapa pucuk surat E-Mail yang memberitahu tentang wujudnya beberapa kempen dalam internet memburuk-burukkan Islam, menghina dan mempersenda-sendakan Islam. Surat-surat ini melahirkan rasa bimbang bahawa dalam zaman informasi, komputer dan teknologi maklumat ini, kempen-kempen yang berunsur anti-Islam itu ditakuti akan mengelirukan pemikiran dan persepsi generasi muda Islam tentang kebenaran agamanya, dan lebih-lebih lagi dalam jangka panjang, mungkin kempen-kempen seperti itu akan mempengaruhi pemikiran dan pendirian mereka tentang agama. Malah telah ada pun di antaranya yang mulai mempersoalkan tentang kebenaran agamanya.
Saya juga diberitahu oleh seorang ibu bahawa anak gadis remajanya yang mengikuti kelas tuisyen telah dipengaruhi oleh kalangan yang tertentu dengan mengacau bilaukan persepsi dan pemikirannya tentang agama, sehingga tidak lama kemudian anaknya menjadi anti-keluarga, anti-ibu bapa dan tidak mahu lagi bermesra dengan keluarga, sehingga akhimya melarikan diri ke luar negara. Baginya ia sudah kehilangan anaknya, dan ia mendapat kesan bahawa anaknya juga telah meninggalkan agama Islam.
Dari kedua-dua kes yang disebutkan di atas, di antara beberapa banyak kes yang lain, ternyata bahawa pegangan agama di kalangan sebahagian generasi muda kita sekarang ini amatlah rapuh dan longgar, terlalu mudah dipatah-patahkan dan sudah dapat ditumbangkan dengan sedikit sahaja tiupan angin walau pun tiupan angin itu tidak sekuat ribut atau taufan yang besar.
Persoalannya sekarang yang harus difikirkan dan diselesaikan oleh orang Islam sendiri ialah kenapakah kempen-kempen yang dijalankan orang untuk menyibar idea anti-agama itu amat mudah diterima oleh sesetengah kalangan generasi muda? Apakah kaedahnya? Bagaimanakah pendekatan yang diambilnya? Dan beberapa persoalan strategik lainnya yang harus dikenalpasti, dihadarni dan dianalisis dengan semasak-masaknya untuk dicari jawapan dan penyelesaiannya.
Kalau dilihat secara umum, pada pandangan mata kasar, ternyata bahawa pada masa kini, dakwah dan seruan untuk berpegang kepada agama sedang berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat kita dengan jentera dakwah yang sistematik, teratur dan tersusun dengan baik. Pengajaran agama diajar secara formal di pusat-pusat pengajian rasmi di segala peringkat. Penyibaran agama dilakukan dengan giat oleh agensi-agensi agama Kerajaan dan swasta, pejabat-pejabat agama, media elektronik, media cetak dan sebagainya selain dari program-program dakwah anjuran badan-badan bukan Kerajaan, persatuan wanita, belia dan sebagainya.
Masjid-masjid dan surau-surau menyediakan tadika Islam, kelas agama, fardu ain dan kelas al-Quran, malah mengadakan kuliah-kuliah Subuh serta Maghrib di samping program-program ceramah yang diadakan secara besar-besaran dari masa ke semasa terutamanya ketika menyambut hari-hari kebesaran agama.
Saya mendapat tahu, di samping agensi-agensi agama dan badan-badan tertentu, maka terdapat juga orang-orang perseorangan, tuan-tuan rumah secara individu, menganjurkan pula ceramah-ceramah agama di rumah kediaman mereka untuk suri-suri rumahtangga dan jiran tetangga yang berminat dengan menjemput guru-guru agama bagi menyampaikan ajarannya dalam program tetap seminggu atau dua minggu sekali.
Pendeknya, dilihat dari aktiviti rasmi dan tidak rasmi, aktiviti kumpulan dan individu, dengan jentera dakwah yang agak komprehensif dan melibatkan tenaga pendakwah yang besar, maka masyarakat Islam di Malaysia nampaknya mempunyai persiapan yang cukup besar untuk menjadi masyarakat yang berilmu, bertakwa dan beriman.
Persoalannya sekarang, mengapakah dalam kegiatan pesat penyibaran agama, penanaman pengetahuan agama secara mendalam, dan pembinaan iman yang begitu teguh di kalangan generasi muda dan tua, tiba-tiba dengan tiupan angin yang tidak begitu kencang itu pun, kadang-kadang dapat mematahkan pokok iman yang kelihatan kuat dan kukuh itu, malah ada kalanya pokok itu tercabut dan terbongkar sama sekali.
Kisah seorang gadis yang dikatakan murtad tidak lama dulu juga menimbulkan tanda tanya yang besar jika difikirkan bahawa gadis itu mempunyai asas pendidikan agama yang kuat, berpakaian yang melambangkan komitmen agama dan berkeperibadian Islam. Tiba-tiba dalam keadaan begitu, ia dikatakan telah mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam.
Hal ini tentu ada sebabnya yang tertentu yang amat sukar diteka dan diduga.
Sekiranya perbuatan murtad dilakukan oleh seorang yang memang tidak punya kekuatan agama, atau mempunyai rekod yang terlalu buruk dalam penghayatan agama, maka hal itu tentulah tidak amat mengejutkan kita jika dibanding dengan orang yang punyai rekod dan latar belakang agama yang kuat, tiba-tiba mengambil tindakan yang begitu radikal tentang akidahnya.
Persoalan ini adalah satu persoalan yang amat besar untuk dicarikan jawapan dalam tulisan seringkas ini. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Islam keseluruhannya untuk berusaha mengkaji masalah ini dan mendapatkan penyelesaiannya bagi jangka pendek dan jangka panjang.
Bagaimana pun persoalan yang ditimbulkan tentang penggunaan teknologi maklumat untuk mengelirukan pemikiran generasi muda Islam itulah yang seharusnya dibicarakan sebagai agenda yang paling urgent untuk dikaji kesan buruknya.
Kemajuan teknologi komputer, komunikasi dan teknologi maklumat merupakan sesuatu yang amat diminati dan menarik perhatian generasi muda. Kalangan yang ingin mencipta kejutan dan menghadirkan kekeliruan tentang apa saja persepsi, termasuk persepsi dan isu-isu agama, akan mengisikan segala-galanya di dalam komputer untuk diikuti oleh para penciptanya, terutamanya anak-anak muda.
Kebijaksanaan pengisian komputer yang diperkuatkan dengan alasan yang berbentuk logik dan ilmiah tentulah sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka, dan membuat mereka berfikir semula apakah segala sesuatu yang mereka pelajari dan dengari selama ini tentang agama mereka itu benar atau tidak.
Kalau maklumat palsu tentang agama, dan pentafsiran negatif tentang agama yang dimuatkan di dalam saluran maklumat komputer itu berjaya mewujudkan semacam kekeliruan pemikiran tentang agama di kalangan generasi muda, maka hal itu sebenarnya sudah merupakan kejayaan besar bagi kalangan yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam.
Oleh itu kita sendiri sepatutnya dapat memikirkan dan segera mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini.
Tindakan yang harus diambil tentulah tidak hanya menyalahkan orang-orang lain sahaja. Malah kita sendiri haruslah mengambil kesempatan untuk menggunakan saluran yang sama iaitu saluran komputer untuk megisikannya dengan fakta-fakta yang sahih tentang agama dengan pendekatan yang berasaskan ilmu pengetahuan Islam yang betul dan menarik.
Kita memerlukan lebih banyak homepage Islam dalam internet dengan pengisian soal jawab yang sering ditimbulkan tentang agama (FAQ), perbualan internet (IRC), kumpulan berita (newsgroup) dan sebagainya.
Di samping itu kita memerlukan kumpulan-kumpulan pakar dan sarjana Islam yang dapat meneliti fakta-fakta salah tentang Islam yang disalurkan di dalam internet untuk dikaji dan diberi penjelasan di dalam saluran yang sama.
Para sarjana Islam seharusnya dapat berperanan secara lebih aktif untuk memberi penjelasan tentang Islam kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia melalui surat elektronik (e-mail).
Pendeknya dalam menghadapi cabaran dan ancaman teknologi maklumat ini, orang Islam sendiri mestilah dapat bertindak secara pro-aktif dengan penuh bijaksana.
Ibu bapa yang mempunyai komputer dengan internet dan e-mail haruslah mengambil berat tentang maklumat yang diikuti oleh anak-anak mereka. Maka dalam hal ini ibu bapa sendiri mestilah peka kepada sesuatu maklumat yang boleh mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran anak-anak mereka.
Ibu bapa juga haruslah lebih perihatin tentang perubahan pemikiran dan kelakuan anaknya dari masa ke semasa. Haruslah dilihat dengan cermat siapakah guru tuisyennya umpamanya, supaya hal yang berlaku kepada ibu yang disebutkan di atas tidak berlaku lagi kepada orang-orang lain pula.