Salah satu fenomena yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia ialah dominannya kesan dan pengaruh kemodenan yang dicetuskan oleh kebudayaan barat. Konsep kemodenan yang dikaitkan dengan kemajuan dan pembangunan dalam segala bidang, khususnya dalam bidang ekonomi serta sains dan teknologi, telah mengelabui mata hampir seluruh umat manusia di dunia, tidak terkecuali umat Islam. Sesiapa yang mempersoalkan atau menolak kemodenan dicap sebagai kolot, konservatif dan ketinggalan zaman.
Sebenarnya, isunya bukanlah isu penolakan terhadap kemodenan yang dibawa tetapi ialah perlunya kepada satu penilaian yang saksama di sebalik kemodenan yang memukau itu. Iaitu adakah kita umat Islam patut menerima secara sepenuhnya dan melulu segala kemodenan yang ditaja oleh barat? Tanpa memahami dan menyedari bahawa kemodenan yang dihasilkan oleh barat mempunyai pertalian yang rapat dengan cara dan gaya hidup barat, tidak akan nampak kepada kita bahaya yang dibawa bersama seiring dengan kemodenan tersebut. Hakikat hidup masakini telah membuktikan bahawa cara hidup yang dibawa oleh barat yang tidak berlandaskan wahyu Ilahi adalah sangat rapuh dan mengundang banyak masalah sosial yang tidak berkesudahan.
Kesedaran terhadap bahaya dan kegagalan gaya hidup cara barat ini melalui wajah kemodenan telah mula dirasai dan berkembang, malah barat tidak lagi dianggap satu-satunya model negara maju dan membangun. Bahkan pandangan hidup saintifik yang dibina di atas paradigma sekularisma sudah tidak dapat diterima sebagai satu asas yang kukuh. Apa yang jelas kelihatan sekarang kepada dunia ialah tamadun dan kebudayaan barat kini sedang di dalam proses penurunan. Mahu tidak mahu barat terpaksa menerima hakikat bahawa asas-asas kemajuan sains dan teknologinya beserta dengan paradigma yang mendokong perkembangannya suatu masa lalu, mula dilihat sebagai obsolete dan ketinggalan zaman. Ini ialah kerana kemuncak kemajuan sains dan teknologi barat telah mengakibatkan berlakunya krisis yang bersifat global, terutamanya yang berkaitan dengan moral dan alam sekitar.
Perkembangan-perkembangan yang memperlihatkan peralihan tamadun dari barat ke bahagian-bahagian lain di Asia, meletakan dunia di tempat yang baru di dalam sejarah. Dunia yang suatu masa dulu gawat dengan suasana perang dingin kini berubah kepada babak baru ke arah zaman moden. Cara pembangunan turut berubah dan memberi ruang kepada negara-negara membangun untuk memilih sendiri kaedah pembangunan yang sesuai dengan selera masing-masing. Kini pembangunan dan kemajuan mengikut acuan sendiri menjadi ungkapan yang popular, disebut di mana-mana, walaupun untuk mencapainya masih perlu menempuh perjalanan yang jauh.
Begitulah juga halnya dengan negara kita Malaysia, pembangunan mengikut acuan sendiri sudah pun disemarakan. Cuma yang perlu diberi penekanan ialah pembangunan tersebut perlulah menjadikan Islam sebagai asasnya dan agenda utama. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang terdahulu yang maju hampir dalam serba serbinya adalah kerana berpegang kepada ajaran al Quran yang dinamik yang mampu untuk menggerakkan masyarakat.
Di dalam proses menggerakkan masyarakat ke arah pembangunan, al Quran menekankan kebangkitan generasi penggerak iaitu generasi ulul al-bab, iaitu mereka yang dapat menjelas dan menghuraikan jalan dan arah yang hendak dilalui. Keazaman kita untuk membentuk kemajuan mengikut acuan sendiri akan terus kabur, sekiranya kita kekurangan golongan ulul al-bab yang dapat menghurai tujuan dan matlamat pembangunan, supaya dapat difahami dengan jelas dan didokong secara sedar dan bersungguh-gungguh.
Proses pembangunan yang bercirikan Islam ini juga memerlukan kepada kelahiran generasi penggerak yang memenuhi ciri-ciri ulul al-bab tersebut. Di antara ciri-ciri penting ulul al-bab ialah persiapan kerohanian yang teguh yang dapat memulakan pembangunan Islam daripada permulaan yang betul, iaitu pembangunan yang berpusatkan kepada pembangunan manusia. Keteguhan kerohanian yang dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan serta dapat memperjelaskan dengan terperinci konsep, matlamat dan arah pembangunan yang ingin dibawa itu. Malah dapat menggerakkan sebarang bentuk pembangunan yang berteraskan paradigma tauhid di dalam segala bidang sosial, sains dan teknologi, ekonomi, pendidikan, pengurusan, kebudayaan dan sebagainya yang mempunyai tenaga dan pengaruh di dalam arus pembangunan hari ini.
Dengan pembangunan yang berteraskan Islam dan berpusatkan pembangunan manusia, pembangunan yang akan dibina adalah sebenarnya bermula daripada pemikiran yang tertumpu kepada persoalan manusia dan nasibnya di dunia ini serta kesudahannya di akhirat. Perincian mengenai persoalan inilah yang perlu dilaksanakan oleh generasi penggerak ini, dan sentiasa bersedia menghadapi masyrakat dengan penjelasan-penjelasan itu yang sudah semestinya memerlukan kepada keberanian, ketajaman dan kewibawaan ilmiah yang tinggi.
Seiring dengan itu juga, tugas generasi penggerak ialah berusaha membangunkan kembali masyarakat Islam di atas asas-asasnya yang asal. Di dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya;
“Tidak akan ada pembaikan bagi umat ini yang terakhir melainkan dengan apa yang membawa pembaikan kepada yang awalnya.”
Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah memastikan masyarakat menerima sistem Islam dan memantapkan keyakinan kepada keunggulan sistem Islam untuk kehidupan yang sejahtera. Tanda-tanda penerimaan itu kini telah menjadi fenomena yang merata, yang sekaligus turut membantu dalam usaha menggerakkan masyarakat ke arah penerimaan tersebut. Usaha untuk memantapkan kesedaran ini adalah penting, sehingga kesedaran dalam setiap diri individu itu menjadi suara desakan dan tuntunan ke arah melaksanakan sistem Islam yang lebih tegas, samada di peringkat individu, masyarakat dan juga negara. Untuk mencapai kesedaran yang sebegini, maka perancangan-perancangan yang rapi perlu dibuat bagi memenuhi keperluan setiap peringkat pembangunan itu.
Di samping itu juga kita tidak mahu perubahan ke arah pembangunan yang Islamik ini dicemar dengan perancangan-perancangan lain yang samada sedar atau tidak membantutkan kemurniannya. Dalam erti kata yang lain, proses membangunkan masyarakat ini juga turut disertai dengan program-program yang akan meruntuhkannya. Banyak contoh-contoh yang jelas dapat menerangkan fenomena ini, yang mana satu pihak mengembangkan unsur-unsur pembangunan yang Islamik, sementara satu pihak lagi giat menjalankan usaha menyebarkan unsur-unsur negatif yang meruntuhkannya. Kehadiran unsur penghalang inilah yang menyulitkan lagi usaha ke arah menjadikan masyarakat yang mantap dan yakin dengan dengan sistem Islam yang unggul dan sejahtera.
Di atas kesedaran inilah kita umat Islam perlu memahami bahawa perubahan daripada pembangunan moden kepada pembangunan yang Islamik memerlukan kepada tenaga penggerak dan juga jihad. Jihad dalam erti kata pengorbanan diri, masa dan harta benda. Diri manusia itu juga perlu difahami secara menyeluruh dan sepadu sebagai pembinaan yang merangkumi keimanan dan keyakinan kepada Islam, taqwa, berakhlak mulia, berilmu, mempunyai kemahiran, berani dan sebagainya.
Sebagai umat yang diberi keistimewaan dan kekuatan, umat Islam patut membina dan mengamalkan konsep kemodenan menurut pandangan hidup yang berasaskan petunjuk Allah, yang tidak mengasingkan aspek fizikal, rohani, kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat, ilmu daripada agama, dan akal daripada wahyu.