HAJI adalah satu daripada lima Rukun Islam yang diwajibkan ke atas orang berkemampuan sekali seumur hidup. Allah berfirman yang bermaksud: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaan, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) daripada sekalian makhluk” (Surah Ali Imran, ayat 97).
Banyak yang boleh diperkatakan mengenai haji. Dalam artikel ini, tumpuan diberikan kepada aspek yang jarang diperkatakan iaitu dari sudut proses globalisasi.Globalisasi kerap dilihat dari aspek negatif. Pandangan ini tidak boleh dipersalahkan kerana kita lazimnya membicarakan globalisasi yang diketengahkan oleh Barat yang banyak membawa masalah dan kesusahan. Namun demikian, globalisasi jika dilihat dari kaca mata Islam, bukanlah sesuatu yang baru.
Islam bersifat global. Junjungan besar Nabi Muhammad saw dilantik oleh Allah sebagai Nabi dan Rasul terakhir untuk menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Ia tidak terhad kepada bangsa Arab semata-mata. Atas sebab ini, umat Islam di seluruh dunia hari ini berjumlah lebih 1,300 juta orang.
Islam adalah rahmat Allah kepada manusia keseluruhannya yang berjaya merentasi perbezaan jarak, sempadan dan budaya. Hakikat ini diperjelaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad saw) melainkan untuk menjadi rahmat sekalian alam” (Surah al-Anbia, ayat 107).
Jika dilihat kepada sejarah manusia dari perspektif Islam, adalah tidak sukar untuk melihat bahawa konsep dan proses globalisasi itu bukanlah sesuatu yang asing. Dari zaman Nabi Adam lagi, globalisasi sudah berlaku. Ini dapat dilihat apabila Nabi Adam dan Siti Hawa diturunkan ke muka bumi, mereka diturunkan di dua lokasi berbeza
iaitu Nabi Adam di benua kecil India dan Siti Hawa di Jeddah.Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan dikeluarkan oleh Imam Ibn Saad dan Imam A’Sakir. Untuk satu tempoh yang tertentu, mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari satu sama lain.Pergerakan ini bolehlah kita anggap sebagai proses globalisasi yang pertama dalam sejarah manusia kerana membabitkan pergerakan di antara dua lokaliti berbeza. Akhirnya Nabi Adam dan Siti Hawa ditakdirkan bertemu kembali di Muzdalifah.
Sewaktu wukuf, semua yang menunaikan ibadat haji akan berada di Padang Arafah serentak pada waktu dan ketika sama. Wukuf satu daripada rukun haji sebenarnya simbolisme pertemuan semula di antara Nabi Adam dengan Siti Hawa. Ini juga boleh dianggap sebagai satu simbolisme bagi proses globalisasi itu sendiri.
Maka, konsep asas globalisasi dilihat tidak mempunyai pertentangan atau konflik dengan Islam. Globalisasi turut membawa kepada pembentukan satu perkampungan global.
Konsep ‘masyarakat yang satu’ dan ‘perkampungan global’ ini bersesuaian dengan konsep ukhwah Islamiah. Konsep ukhwah ini dapat dipetik daripada maksud ayat 13, surah al-Hujurat, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain).
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukannya yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya
(akan keadaan dan amal kamu)”.Sekali lagi ini dimanifestasikan dalam ibadat haji apabila manusia dari seluruh dunia berhimpun di Makkah untuk menjalankan kewajipan kepada Allah. Manusia tanpa mengira keturunan, warna kulit, pangkat dan darjat berkunjung ke Makkah dengan semuanya memakai ihram melambangkan masyarakat yang satu. Konsep masyarakat yang satu ini sering dikaitkan dengan ciri globalisasi, hakikatnya ia dianjurkan oleh Islam sejak awal lagi.
Begitu juga dengan konsep perkampungan global. Islam, melalui ibadat haji, berjaya mengumpulkan manusia dari seluruh dunia untuk berkampung di satu tempat. Begitu indahnya Islam yang amat menekankan soal kesatuan ummah bagi menonjolkan kekuatan yang ada pada umatnya.Islam menyatakan hakikat kejadian Allah iaitu manusia dicipta dalam pelbagai bangsa yang bertebaran di seluruh muka bumi. Daripada ayat 13, surah al-Hujurat tadi, Islam menggalakkan interaksi dan komunikasi di antara masyarakat yang pelbagai bangsa dan kerakyatan.
Inilah di antara rahsia yang tersirat di sebalik kefarduan ibadat haji. Islam mahukan supaya umatnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan semua tanpa mengira bangsa, budaya atau warna kulit. Ibadat ini membuka peluang kepada umat Islam untuk berbuat demikian secara langsung. Ini juga membantu umat Islam untuk membuka minda dengan melihat sendiri kekuasaan Allah yang menciptakan manusia dengan pelbagai saiz dan warna kulit.
Hakikatnya, semua ibadat khusus seperti solat lima waktu sehari semalam, puasa pada Ramadan dan haji adalah satu bentuk manifestasi globalisasi di mana umat Islam terdahulu berjaya menyebarkan ajaran Islam di peringkat global.
Hakikat bahawa semua penganut agama Islam, baik dulu, sekarang mahupun akan datang, menjalankan solat, puasa dan haji menggunakan satu piawaian (yakni rukun) yang bersifat global. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah sememangnya satu agama yang sesuai untuk semua orang di semua tempat pada setiap masa.
Dari sudut ini, sepatutnya tidak wujud konflik di antara Islam dengan globalisasi. Namun persepsi kebanyakan orang hari ini adalah wujud masalah di antara Islam dengan globalisasi. Ini kerana globalisasi dilihat sebagai satu senjata sulit dan halus kuasa Barat untuk mempengaruhi dan menakluk dunia Islam. Namun hakikatnya ialah dari awal lagi, konsep globalisasi berganding bahu dengan Islam itu sendiri yakni untuk memberikan rahmat kepada seluruh umat manusia di seluruh dunia.
Seperti yang dinyatakan di awal tadi, haji adalah cara untuk mengumpul dan menyatukan umat Islam bagi menterjemahkan potensi kekuatan yang ada pada umat Islam. Umat Islam perlu menyedari akan rahsia yang tersirat ini bagi menjamin kelangsungan dan masa hadapan Islam. Malah perkara ini diperingatkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya” (Surah al-Anfal, ayat 60).
Umat Islam perlu bersatu bagi memastikan agar Islam tidak diperkotak-katikkan seperti yang berlaku dewasa ini. Jika difikirkan kembali, haji tidak boleh dianggap sebagai satu ritual semata-mata. Sebaliknya mempunyai seribu satu rahsia yang jika disingkap mampu membawa kejayaan kepada umat Islam keseluruhannya.