Masyarakat Islam sememangnya telah mengetahui bahawa agama Islam yang mereka anuti adalah agama yang memandu mereka ke jalan yang lurus dan diberkati Tuhan. Ajarannya yang meliputi segala aspek kehidupan manusia sebenarnya mengandungi panduan yang amat lengkap dan melangkaui zaman. Atas dasar ini, segala aspek ajaran Islam telah diakui relevan dan sesuai pada setiap masa. Apa yang perlu diberikan perhatian ialah tahap keupayaan dan kemampuan setiap individu muslim itu untuk mengaplikasikan segala ajarannya secara lebih praktikal lagi bagi menonjolkan ciri-ciri kesesuaiannya agar lebih releven dengan suasana semasa berlandaskan kepada. prinsip-prinsip Islam atau tidak mengabaikan sama sekali cm-cm kerohanian dan keagamaan yang terkandung di dalam ajarannya.
Begitu juga perkara asas atau prinsip yang perlu ditekankan apabila membicarakan tentang konsep ilmu pengetahuan dan kepakaran sama ada ilmu yang berkaitan dengan kehidupan akhirat, mahupun ilmu yang membicarakan tentang urusan dan perihal keduniaan. Dalam al Quran sendiri telah termaktub beberapa ayat yang mendorong meningkatkan daya motivasi setiap individu yang mukallaf itu untuk berlumba-lumba mengejar ilmu pengetahuan dan kepakaran, begitu juga saranan-saranan yang terdapat di dalam hadis-hadis Baginda RasululLah (s.a.w). Allah berfirman dalam surah al Mujadalah ayat 11, bermaksud
‘ … sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dab berilmu di kalangan kamu kepada beberapa darjat dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. .. ‘. Firman-
Nya lagi dalam surah ar Rahman ayat 33 bermaksud
‘. wahai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup melintasi penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, tetapi kamu tidak akan dapat melintasinya melainkan dengan kekuatan .. ‘.
Daripada firman Allah ini, kekuatan yang diberikan kepada umat manusia itu dapat digunakan bagi menjelajah segala penjuru alam dan buat ketika ini, hanya dengan kekuatan ilmu dan kepakaran sahaja yang dapat memungkinkannya.
Peranan ilmu dan pengetahuan dalam kehidupan umat Islam adalah amat besar sekali. Malah perkara yang mula-mula sekali diajarkan oleh Allah kepada seluruh keturunan Bani Adam adalah ilmu di mana Allah telah mengajarkan kepada Nabi Adam beberapa ilmu dan pengetahuan yang membezakannya dengan makhluk-makhluk lain kepada beberapa darjat yang mulia. Sesungguhnya Allah amat memulia dan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu itu ke martabat yang sangat tinggi.
Memandangkan ajaran Islam amat mengutamakan ketinggian ilmu, maka sudah semestinyalah umat Islam itu berlumba-lumba untuk cemerlang dalam semua bidang ilmu dan kepakaran. Namun realitinya, majoriti umat dan negara Islam kini amat ketinggalan sekali dalam kecemerlangan dan kepakaran ilmu berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Mereka tidak terserlah dari segi sumbangan terhadap pembangunan ilmu dan peningkatan kepakaran. Ini menggambarkan seolah-olah mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menguasai ilmu pengetahuan serta membayangkan bahawa mereka mempunyai pandangan yang negatif terhadap ilmu. Hakikatnya, mereka masih lagi tenggelam dalam dunia kemiskinan, keruntuhan akhlak, peperangan saudara, penyakit yang melanda dan sebagainya. Kemungkinan besar, faktor-faktor tersebut adalah penghalang kepada penguasaan mereka terhadap ilmu, tetapi sampai bila ?
Ilmu dan pengetahuan walau apapun jenisnya adalah sangat penting dan berguna sekiranya ia dapat memandu manusia ke arah kebaikan dan memberi sumbangan yang baik dalam kehidupan mereka. Apa yang lebih penting adalah setiap individu muslim menanam rasa keinginan yang mendalam untuk menguasai ilmu khususnya dalam bidang-bidang yang dijangka kritikal agar setanding dengan bangsa lain yeng labih maju serta akan dihormati oleh mereka.
Dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi, mereka akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya, lantas akan dapat mengukuhkan kedudukan masyarakat Islam dalam bidang pendidikan dan perekonomian. Masyarakat Islam yang berilmu akan dihormati oleh bangsa lain dan dipandang mulia sementara khazanah intelek mereka akan menjadi sumber rujukan oleh pelbagai peringkat generasi.
Contoh yang pernah terjadi jelas membuktikan bahawa pada zaman Nahdhah Islam dahulu, umat Islam merupakan umat yang terkehadapan dan maju dalam bidang ilmu, bukan sahaja ilmu keagamaan, tetapi juga maju dalam bidang-bidang kepakaran bagi urusan keduniaan khususnya dalam penghasilan dan penggunaan teknologi. Sejarah telah mencatatkan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang telah mengangkat martabat mereka sebagai satu umat yang berilmu dan bertamaddun tinggi. Umat Islam boleh menjadikan kemunculan tokoh-tokoh Islam masa itu seperti Imam as Syafi’i, Imam Maliki, Imam Hanafi, Imam Hanbali, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al Razi,. al Farabi, al Khawarizmi, al Kindi, al Biruni dan lain-lain sebagai contoh.
Keagungan mereka terserlah bukan sahaja di dalam ilmu keagamaan seperti Fekah, Usuluddin, Syariah dan sebagainya yang merupakan pengetahuan asas yang perlu ada bagi seorang Islam, tetapi juga pakar dalam ilmu-ilmu saintifik dan teknikal. Contohnya seperti Ibnu Sina dan al Razi di dalam bidang sains perubatan, Ibnu Khaldun di bidang kajian saintifik sosial, al Khawarizmi dalam bidang teknologi perubatan dan lain-lain. Sementara itu, Abu Raihan Muhammad Ibn Ahmad al Biruni pula mahir dalam bidang matematik, geometri, trigonometri, astronomi dan fizik.
Mereka semua mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam menguasai ilmu lantas menjadikan khazanah intelek mereka kekal sehingga ke hari ini Di samping itu, mereka juga mendalami semua ilmu yang bersangkutan dengan keagamaan yang menjadikan mereka masyhur dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab seperti Mantik dan Balaghah, Syariah dan Fekah, Usuluddin dan sebagainya. Mereka ini adalah ulamak dan pada masa yang sama juga mereka adalah saintis. Golongan seperti inilah yang sebenarnya amat diperlukan dalam masyarakat Islam kini dan hakikatnya, pandangan yang positif terhadap ilmu dan keinginan yang kuat untuk maju serta mengambil segala ajaran al Quran dan as Sunnah secara keseluruhan sahaja yang memungkinkan semua ini.
Tetapi kini keadaan yang sebaliknya berlaku Umat Islam jauh ketinggalan di belakang. Apa yang jelas, konsep ilmu kini menjadi sempit Permasalahan ini telah menjadikan pengertian ulamak dan ilmu seakan terpisah-pisah. Ulamak kini hanya dikenali sebagai mereka yang tertumpu di bidang keagamaan semata-mata serta seolah-olah memisahkan diri daripada ilmuilmu moden yang disifatkan sebagai keduniaan semata-mata. Walau apapun, umat Islam perlu mendapatkan kembali hak dan khazanah mereka itu Mereka hendaklah berusaha gigih bagi mendapatkannya kembali dengan menjadikan sejarah keagungan masa lampau bukan hanya sebagai slogan, tetapi sebagai sumber motivasi dan inspirasi untuk kembali menguasai ilmu pengetahuan serta setanding dengan kemajuan bangsa-bangsa lain.
Seterusnya, setiap individu muslim hendaklah menanamkan keinginan yang kuat terhadap ilmu serta berusaha bersungguh-sungguh bagi menguasai ilmu lebih-lebih lagi dalam bidang yang dijangka kritikal seperti Sains dan Teknikal Perkara ini tidak akan terlaksana sekiranya mereka mempunyai persepsi yang negatif terhadap ilmu Mereka hendaklah melihat tradisi menuntut dan memperkembangkan ilmu sebagai satu pelaburan murni untuk kemajuan ekonomi dan taraf kehidupan mereka untuk masa hadapan Malah, kecemerlangan ilmu pula hendaklah dilihat berdasarkan kepada keupayaan mereka untuk mengintegrasi atau menseimbangkan secara praktikal antara ilmu yang bersangkutan dengan unsur-unsur nilai dan moral dengan ilmu keduniaan. Sebagai seorang individu muslim, sudah tentu perkara penting dalam kehidupannya ialah menurut segala ajaran Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu, adalah menjadi kewajipannya juga untuk mendidik bukan sahaja dirinya, tetapi juga seluruh masyarakat di sekelilingnya supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama juga bersungguh-sungguh mengelak dan membanteras kemungkaran. Inilah prinsip utama yang perlu ada dalam setiap diri individu muslim sebagaimana firman Allah dalam surah at Tahrim, ayat 6, yang bermaksud
‘ … wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakatnya adalah manusia dan batu … ‘.
Begitu juga firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 104, bermaksud
‘ … dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung. .. ‘
Ringkasnya, walau apapun usaha yang dijalankan dalam kehidupan ini, seseoramg individu muslim yang baik itu akan mengutamakan segala prinsip ajaran Islam dan sentiasa berpandangan jauh serta berfikiran terbuka dalam mencari formula bagi menepati kesesuaian zaman dengan tidak membelakangkan aspek-aspek aqidah tauhid dan kemanusiaan. lnilah tujuan, konsep dan falsafah ilmu yang sebenarnya.
Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad (s.a.w) ada bersabda yang bermaksud
‘sekiranya kamu inginkan dunia, hendaklah kamu berilmu, sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah kamu berilmu; danjika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah kamu berilmu … ‘.
Daripada hadis ini, jelaslah membayangkan kepada umat Islam bahawa dengan ilmu, mereka akan berjaya di dunia dan akhirat. Di samping itu, mereka hendaklah sentiasa memelihara kesucian dan ketinggian nilai ilmu itu kerana ketokohan seseorang yang berilmu bukan sahaja dinilai dari kepakaran yang dimiliki, tetapi juga keupayaannya memelihara adab-adab keilmuan yang berkait rapat dengan nilai, etika dan akhlak.