SEMUA rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Islam, mengetahui bahawa perlembagaan kita mencatat Islam sebagai agama persekutuan. Oleh itu Islam dilindungi oleh perlembagaan negara kita dan segala kemudahan serta perbelanjaan negara boleh dipergunakan untuk pembangunan Islam tanpa dapat dicabar atau dipertikaikan.
Bagaimanapun sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri maka agama-agama lain tetap terjamin dan penganut agama bukan Islam diberikan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka masing-masing di dalam suasana aman dan harmoni.
Bagi saya kedudukan Islam di negara kita cukup kuat dan keadaan ini memberikan ruang yang luas bagi kita untuk mengisinya supaya Islam dapat menjadi wadah pembangunan negara di dalam segala sektor dan aspek pembangunannya, iaitu pembangunan sosial, pendidikan, ekonomi, kekeluargaan, kewarganegaraan, pengurusan, sains teknologi dan sebagainya.
Hal ini dapat kita saksikan di dalam negara kita sejak zaman kemerdekaan lebih empat puluh tahun yang lalu, iaitu pengisian Islam dan nilai-nilainya di dalam pembangunan negara kita yang mulai terserlah dan menampakkan kenyataannya di dalam arus perdana pembangunan negara.
Itulah aspek positifnya yang saya rasa merupakan persepsi majoriti orang Islam di negara kita, iaitu melihat bahawa Islam telah didominasikan oleh pemerintah di dalam masyarakat negara kita, dan menampakkan perkembangannya yang semakin memuncak dan maju ke hadapan dari semasa ke semasa.
Saya menyebut hal ini kerana dalam penerimaan yang positif terhadap kedudukan Islam di dalam perlembagaan negara kita dan pengisiannya yang berterusan secara konkrit di dalam berbagai-bagai aspek pembangunan umat dan negara, maka terdapat juga suara-suara sumbang yang melihat secara negatif terhadap kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang tercatat di dalam perlembagaan itu.
Pandangan yang negatif ini cuba mempertikaikan kedudukan Islam di dalam perlembagaan sebagai kedudukan yang kukuh dan menyeluruh. Pandangan ini sering melihat kedudukan Islam itu dengan pandangan yang amat sinikal, iaitu satu kedudukan tempelan seperti melukut di tepi gantang, wujudnya tidak bertambah, dan tanpa kewujudannya juga tidak mengurang apa-apa. Tegasnya Islam yang diperuntukkan di dalam perlembagaan itu menurut pandangan negatif ini bukanlah dalam erti kata Islam sebagai ad-din yang merangkumi aspek-aspek pendidikan, kebudayaan, perekonomian, perundangan dan sebagainya dalam konsep peraturan dan sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh.
Pandangan yang melihat kedudukan Islam secara negatif di dalam perlembagaan itu sering memetik tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Agung oleh Ketua Hakim Negara yang membicarakan kes-kes tertentu pada tahun 1988 dan 1990 yang merujuk kepada peruntukan perlembagaan ketika mentafsirkan Islam sebagai agama. Persekutuan iaitu dengan tafsiran yang hanya merujuk kepada undang-undang keluarga, perkahwinan, perceraian dan warisan untuk orang-orang Islam sahaja.
Maka dalam konteks ini memang Islam di dalam perlembagaan kita itu nampaknya amat terhad dan amat sempit skopnya iaitu hanya terhad kepada undang-undang keluarga dan sebagainya bagi orang-orang Islam. Maka hal ini tentulah membuka peluang yang amat luas bagai pandangan-pandangan negatif untuk mendakwa bahawa kedudukan Islam di negara kita ini sebenarnya adalah sempit dan tidak merangkumi takrifan ad-din yang sebenarnya.
Sikap melihat kepada kata-kata dan ungkapan ayat tertentu memanglah dapat dijadikan ukuran untuk menarik sesuatu kesimpulan yang dikehendaki, terutamanya untuk membuat tafsiran-tafsiran yang sesuai dengan pandangan sendiri secara peribadi atau kelompok yang tertentu.
Saya lebih cenderung untuk melihat kepada pengisian dan pelaksanaan Islam di negara kita sendiri sebelum membuat sesuatu kesimpulan tentang kedudukan Islam di negara kita ini. Malah saya amat tertarik dengan pandangan yang dibuat oleh seorang tokoh perundangan sivil dan Islam yang terkemuka di negara kita, iaitu yang telah membuat kajian tentang perundangan Islam selama berpuluh-puluh tahun ketika hayatnya. Tokoh yang saya maksudkan itu ialah Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim yang diakui kewibawaannya di dalam bidang perundangan di negara kita dan di kalangan dunia antarabangsa.
Profesor Ahmad Ibrahim membuat pentafsiran tentang kedudukan Islam di dalam perlembagaan Malaysia sebagai satu kedudukan yang mantap dalam pengertian Islam sebagai ad-din, iaitu yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita. Beliau amat yakin dengan pandangannya ini berdasarkan fakta dan angka yang ditemuinya di dalam kajian dan penyelidikan yang dijalankannya tentang pembangunan dan perkembangan Islam di Malaysia, dan pengalamannya mengemukakan usul dan cadangannya yang banyak kepada pihak kerajaan di dalam pindaan undang-undang negara supaya sesuai dengan tuntutan Islam.
Ternyata bahawa Islam telah banyak sekali menyumbang kepada pindaan akta dan peraturan-peraturan yang melibatkan undang-undang jual beli, sewa beli, perbankan, takaful, pajak gadai dan aktiviti-aktiviti lain yang diamalkan selama ini berdasarkan perundangan konvensional atau perundangan British. Dalam membina wadah Islam di dalam ekonomi negara, maka kepakaran agama telah dibawa ke dalam arus perdana sehingga tertubuhnya badan-badan penasihat syariah di bank negara dan bank-bank perniagaan yang lain, di dalam syarikat-syarikat kewangan dan sebagainya, malah di dalam perbadanan sekuriti (security commission) telah diwujudkan juga jawatankuasa syariah untuk menasihati perbadanan tersebut dari sudut syariah.
Dari sudut pendidikan tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan hakikat yang terserlah di hadapan kita dalam usaha menjadikan Islam sebagai teras pendidikan di segala peringkat pengajian menjelang ke peringkat pengajian tinggi iaitu ke peringkat universiti.
Berdasarkan kenyataan yang hanya sebahagian kecil sahaja disebutkan di atas sebagai contoh, maka orang-orang yang luas pandangan dan yang berfikiran positif dalam melihat sesuatu perubahan, akan tunduk dan akur dengan kenyataan bahawa kedudukan Islam di dalam perlembagaan kita adalah merupakan teras yang amat kuat, iaitu satu kedudukan yang membuka ruang yang amat luas untuk diberikan pengisian yang luas pula, bukan hanya terhad kepada undang-undang keluarga dan yang berhubungan dengan perkahwinan dan kematian semata-mata.
Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa melihat sesuatu secara negatif itu memanglah amat mudah dan senang bagi orang-orang yang pesimistik. Tetapi melihat sesuatu secara positif itulah sebenarnya yang menambahkan azam dan tekad yang kuat bagi orang-orang yang positif dan optimistik. Marilah kita menjadi orang-orang yang berpandangan cerah dan optimis untuk kebaikan agama dan negara kita.