Terrorism merupakan satu istilah yang agak asing dalam adat dan budaya masyarakat kita sebagaimana asingnya tamadduan dan budaya masyarakat yang melahirkan perkataan ini kepada masyarakat kita. Namun ia hanyalah satu perkataan semata. Bagaimanapun ia mempunyai implikasi yang amat besar dalam kehidupan seseorang individu dan kesinambungan sesebuah negara. Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memberi makna ia sebagai satu perbuatan berbentuk keganasan. Pada dasarnya Barat melihat perbuatan keganasan ini sebagai satu tindakan pelampau yang dilakukan secara sengaja dan biasanya bermotif politik dan melibatkan kemusnahan kepada kemanusiaan dan harta benda.
Terrorism mula menjadi perhatian seluruh dunia selepas peristiwa serangan dahsyat ke atas Amerika Syarikat, iaitu di Washington dan New York pada tanggal 11 September 2001 di mana tuduhan demi tuduhan tanpa bukti kukuh berterusan dilemparkan kepada umat Islam yang dikatakan menjadi dalangnya. Semenjak itu, umat Islam terus dihujani dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang mencemar agama Islam dan ajarannya, serta pelbagai rencam propaganda yang melampaui batasan keamanan oleh Barat khususnya melalui penguasaan media mereka. Penguasaan Barat terhadap media utama dunia mempercepatkan lagi serangan propaganda mereka terhadap agama ini, imejnya, ajarannya dan anutannya, serta penganut dan negara-negara Islam. Mereka dilihat sebagai pelopor, pencetus dan penganjur keganasan serta anti Barat. Satu prasangka yang amat tidak berasas sama sekali. Islam menentang keganasan. Dan Islam bukanlah anti Barat. Islam menyedari bukan semua yang ada atau bermula di Barat sebagai buruk atau tidak Islamik. Hanyalah penganutnya yang berfahaman ekstrim atau tidak memahami ajaran Islam yang sebenarnya yang memusuhi Barat. Malahan terdapat juga boneka yang bertopengkan Islam, menggunakan kesempatan dengan motif untuk menjadi batu api memburukkan perhubungan yang baik antara Islam dan Barat.
Bermula dengan serangan 11 September lalu, kemuncak serangan propaganda Barat melalui media milik mereka terhadap Islam dan penganutnya semakin menjadi-jadi. Sememangnya umat Islam telah menjadi bahan serangan propaganda mereka sejak dua dekad yang lalu. Sejak era 70an dan 80an, apabila pesawat Pan Am dan TWA dirampas, mereka menuding jari kepada Islam walaupun tiada bukti. Begitu juga, serangan pengebom berani mati di Lebanon pada 80an dan penahanan tebusan Amerika dan Eropah juga dikaitkan dengan orang Islam, walhal ia dilakukan oleh puak Syiah yang kedudukannya juga kurang jelas dalam ajaran Islam sebenar. Dalam kebanyakan peristiwa keganasan yang dikaitkan dengan Islam dan pengikutnya, perkara sebenar, iaitu kedudukan mereka sebagai penganut Islam yang tulen, pemahaman mereka yang cetek terhadap Islam itu sendiri dan motif keganasan selalunya tidak diberi perhatian atau sengaja disembunyikan oleh media Barat. Inilah satu pembohongan dan ketidakadilan yang mereka sengaja lakukan ke atas masyarakat Islam.
Begitu juga, Barat dan propaganda media mereka kini sering melaungkan slogan pengganas Islam atau Islamic terror bagi terus mengecap umat Islam sebagai pengganas.
Ungkapan Islamic terror sebenarnya tidak pernah wujud dan seharusnya tidak wujud di muka bumi ini, sebagaimana tiadanya istilah Jewish terror atau pun Christian terror. Ketiga-tiga agama Samawi yang suci ini sememangnya tidak mengajar para penganutnya menjadi pengganas atau penjenayah, dan tidak menyuruh mereka pun untuk melakukannya. Namun perkara inilah yang berlaku pada hari ini. Dan media Barat yang mempelopori penggunaan perkataan ini bagi mengaitkan Islam dengan keganasan sebenarnya telah melakukan satu pembohongan. Merekalah yang mencipta dan melahirkan istilah ini sebagaimana mereka jugalah yang melahirkan perlakuan ganas dalam masyarakat dan negara mereka yang menjadi ikutan pula oleh orang lain yang cetek pemikiran rasional. Dan apa yang dikesali, perangai ganas ini cuba dijustifikasikan pula sebagai sesuatu yang sah setelah diberi nafas baru menurut doktrin keagamaan, atau perjuangan sejagat menentang keganasan, bahkan bagi membela hak asasi manusia dan lain-lain. Lebih parah lagi, kesilapan ini tidak pernah pun cuba diperbetulkan oleh media terutamanya media-media Barat. Mereka seolah-olah menyembunyikan perkara yang sebenarnya dari diketahui oleh orang ramai. Mereka semacam berada dalam ketakutan tidak bersebab.
Setiap keganasan sudah tentu akan mengundang kerosakan dan kematian. Hakikat yang amat jelas, melakukan kerosakan dan pembunuhan dilarang keras dalam Islam. Begitu juga, keganasan dan pembunuhan yang dilakukan walaupun atas nama keagamaan sudah tentu terkeluar dari ajaran Islam. Agama Islam tidak menyuruh manusia berbunuhan sesama sendiri. Firman Allah dalam surah al An’am ayat 6 bermaksud:
Dan janganlah kamu membunuh kerana ia adalah haram melainkan kerana sesuatu sebab yang benar.
Firman Allah lagi dalam surah al Maidah ayat 32 bermaksud:
Oleh kerana itu, Kami tetapkan kepada Bani Israel bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia atas alasan bukan membunuh orang lain atau bukan kerana ia membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh sekelian manusia.
Dalam Islam, sesiapa yang membunuh sesama manusia tidak akan merasa aman tenteram baik di dunia mahu pun di akhirat, dan azab untuk mereka di akhirat nanti adalah lebih perit lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim bermaksud:
Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri, Allah akan mengazabnya dengan api neraka.
Ayat-ayat al Quran dan Hadis di atas membuktikan bahawa keganasan yang menyebabkan kerosakan di muka bumi dan kehilangan nyawa merupakan perkara yang memang dilarang dalam Islam. Namun ajaran Islam yang sebegini rupa gagal difahami oleh Barat bahkan oleh segelintir umat Islam juga. Memang tidak dapat dinafikan. Tetapi apa yang pasti, mereka yang melakukannya terdiri dari sebilangan kecil umat Islam yang amat cetek kefahaman Islamnya dan terdapat antara mereka yang menjadikan agama untuk mengabui matlamat dan kepentingan peribadi dan fahaman politik songsang mereka.
Apa yang dikesalkan juga adalah sikap prejudis mantap Barat dan media mereka dalam melaporkan berita yang berkaitan dengan keganasan. Sesuatu yang tidak adil apabila mereka cuba membela dan menyembunyikan keganasan golongan militan, komunis dan penceroboh seperti kezaliman regim Yahudi di Israel tetapi sebaliknya sering memperbesar isu berkaitan umat Islam. Malahan umat Yahudi yang menceroboh dan mengganas di bumi Palestin seringkali pula digambarkan sebagai puak yang ditindas dan dianiaya oleh rakyat Palestin ketika mempertahankan apa yang mereka dakwa kononnya tanah air mereka.
Prejudis Barat juga terserlah apabila terdapat beberapa negara Islam yang enggan tunduk kepada kehendak dan cita-cita mereka akan dilabel sebagai negara pengganas. Dan banyak lagi perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam yang sengaja dicabul dan diperlekehkan oleh mereka. Sebagai contohnya, apa jua bentuk lakaran yang menggambarkan imej Nabi Muhammad S.A.W adalah satu larangan keras dalam Islam dan umatnya dilarang melakar, menyimpan atau mempromosi imej tersebut. Ini sebenarnya satu isu yang amat sensitif bagi umat Islam. Sebarang pelanggaran terhadap isu ini adalah satu pencabulan ke atas sensitiviti beragama dan juga satu penghinaan terhadap kepercayaan agama mereka. Tetapi malangnya, sensitiviti umat Islam ini tidak dihormati langsung oleh Barat apabila majalah antarabangsa milik mereka secara terang-terangan menyiarkan imej Nabi Muhammad. Inilah satu bentuk serangan media yang mereka lakukan terhadap umat Islam dengan mencabul sensitiviti keagamaan dan kepercayaan mereka. Apa yang dapat dilakukan oleh negara dan umat Islam ialah melarang pengedaran majalah tersebut, Newsweek keluaran 11 Februari 2002, sebagai tindak balas terhadap keceluparan mereka demi mempertahankan agama tercinta. Inilah satu bentuk sistem pertahanan yang mampu mereka lakukan demi menghalang serangan ke atas mereka. Tetapi yang menyedihkan sekali adalah respon dari setiausahanyanya, Robert Menard bahawa larangan tersebut merupakan satu serangan terhadap kebebasan penyaluran maklumat dan menghadkan hak awam untuk menikmati saluran maklumat dan penerbitan.
Persoalannya, adakah beliau sudah tidak dapat berfikir secara lebih waras lagi bahawa sikap dan pencabulan yang mereka lakukan terhadap umat Islam itu sebenarnya adalah satu serangan terhadap agama dan kepercayaan masyarakat Islam keseluruhannya. Merekalah sebenarnya yang mempunyai agenda untuk menyerang Islam dan umatnya melalui penguasaan media. Ajaran Islam sendiri amat melarang umatnya menyerang atau mempertikai apa jua kepercayaan dan pegangan agama kaum lain. Ini sensitiviti yang Islam ajarkan kepada umatnya supaya sentiasa dihormati.
Sebenarnya keganasan bukan saja boleh dinilai dalam bentuk serangan bersenjata, perampasan kuasa dan harta benda, tetapi juga dalam bentuk serangan terhadap ideologi kepercayaan dan ajaran sesuatu anutan keagamaan. Dan serangan ini lebih mudah dan berleluasa dalam bentuk penyebaran maklumat melalui media dan sistem komunikasi yang sememangnya tanpa kawalan dan sempadan. Begitulah juga yang dialami oleh masyarakat Islam dewasa ini. Serangan musuh Islam ke atas mereka bukan sahaja dengan menuduh mereka sebagai umat yang melatih pangganas, tetapi juga terhadap ajaran Islam. Menurut mereka, jihad dalam Islam adalah satu bentuk latihan dan persiapan ketenteraan yang dilakukan untuk melatih pengganas dan pengebom berani mati. Mereka tidak memahami secara jelas konsep jihad dalam Islam sebenarnya. Jihad dalam Islam bukannya mencari kematian semata-mata dan Islam juga tidak menganggap umatnya yang membunuh diri sehingga mengorbankan nyawa manusia, wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdosa sebagai mati dalam perjungan jihad yang suci.
Begitu juga, cara berpakaian dalam Islam turut menjadi bahan serangan dan propaganda musuh Islam. Mereka menganggap bahawa ciri-ciri pakaian dalam Islam akan menjejaskan integrasi kaum yang lantaran itu menjadi punca berlakunya perpecahan dan perpaduan kaum. Aspek pakaian sesuatu bangsa bukan penentu atau pengukur kepada integrasi atau perpecahan dalam perpaduan negara, malah ia sebaliknya akan mengeratkan lagi kekuatan sesuatu bangsa dan negaranya. Aspek pakaian dalam Islam adalah satu ajaran murni Islam, dan pendapat yang mengatakan pakaian Islam akan menjejaskan integrasi dan perpaduan kaum sebenarnya menganggap bahawa ajaran Islam tidak sesuai atau tidak menyumbang kepada perpaduan kaum, malah sebaliknya mengancam kestabilan negara. Umat Islam seharusnya menyedari akan penipuan dan tuduhan yang dikenakan ke atas mereka dan mereka tidak sepatutnya berdiam diri demi untuk mempertahankan kepercayaan agama mereka.
Sebagaimana asingnya istilah ini pada masyarakat negara ini yang majoritinya adalah umat Melayu beragama Islam, begitu juga asingnya ia pada pandangan agama yang menjadi anutan kelompok masyarakat terbesar negara ini. Sebagai satu istilah yang mempunyai konotasi perbuatan yang ganas, ia sudah tentulah tidak wujud dalam ajaran agama yang diturunkan oleh Allah ini. Sama ada sebagai satu bentuk pembalasan mahu pun pembelaan. Keganasan bukan satu ajaran atau tuntutan Islam. Malah Islam amat melarang umatnya mengambil jalan yang berbentuk keganasan dalam menyelesaikan masalah. Firman Allah dalam surah al Anfal ayat 61 bermaksud:
Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, turutilah dan bertawakkallah kepada Allah, Dia Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.
Inilah ajaran Islam yang sebenar, menuntut kepada keamanan dan kedamaian, bukannya perseteruan dan keganasan. Umat Islam diajar untuk mempertahankan diri dengan segala bentuk kekuatan, namun perdamaian bukan sesuatu yang sukar dicapai walaupun melalui perbincangan, bukannya keganasan.