Keperluan untuk memberikan amanah kepada sesama manusia kadang-kadang menjadi satu kemestian dan tidak dapat dielakkan, kerana manusia memang tidak dapat hidup bersendirian; saling perlu memerlukan di antara satu sama lain dan saling perlu tolong-menolong dalam menjalani aktiviti kehidupan. Dari kaca mata Islam, pada dasarnya menerima amanah digalakkan kerana ia adalah satu bentuk pertolongan yang dapat diberikan sesama manusia.
Adakalanya menerima amanah menjadi satu kewajipan apabila seseorang itu yakin yang dirinya mampu memikul dan memelihara amanah itu dan di sana tiada orang lain yang dapat menjalankan peranan yang sama. Begitu juga dengan individu yang mahu menyerahkan sesuatu amanah kepada seseorang, tidak kiralah yang diamanahkan itu berupa harta atau sebaliknya. Jika keadaan menjadi amat perlu maka adalah menjadi wajib ke atasnya menyerahkan amanah berkenaan untuk dipelihara atau dijaga oleh sesuatu pihak lain. Namun begitu adalah haram bagi seseorang individu untuk menerima amanah jika dia tidak ada keupayaan untuk mengurus atau memelihara amanah tersebut.
Sifat amanah adalah salah satu sifat terpuji yang sangat dituntut oleh Islam. Tanpa adanya amanah akan berlakulah segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan harta orang lain yang akhirnya akan meruntuhkan kepercayaan sesama manusia. Amanah adalah asas kepada sikap bertanggungjawab yang perlu dimiliki oleh setiap individu mahupun badan atau pihak yang diamanahkan dengan sesuatu harta ataupun tugasan.
Amanah dan pelaburan adalah dua aspeks yang sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini terutamanya apabila kita membincangkan bidang perniagaan dan perbankan. Dalam konteks masa kini, antara jenis amanah yang sering diamalkan ialah wadiah atau simpanan wang dengan institusi perbankan dan kewangan. Dalam hubungan ini pihak bank atau institusi kewangan menerima deposit daripada pelanggan dan dari kacamata Islam ini menerbitkan amanah di mana pihak yang menerima wang berkenaan dianggap pemegang amanah.
Simpanan di institusi kewangan Islam berbeza dengan simpanan di institusi konvensional dari segi perundangan di mana secara konvensional simpanan tersebut dikira hutang yang diberikan oleh pendeposit kepada institusi berkenaan. Hubungan di antara penyimpan dengan pendeposit adalah di antara pemberi pinjaman dan peminjam.
Dalam sistem Islam, institusi berkenaan tetap dikira pemegang amanah. Tetapi yang menjadi masalah dalam hubungan institusi kewangan Islam dan penyimpan ialah apabila pihak bank atau penerima simpanan meminta kebenaran daripada penyimpan untuk menggunakan wang atau simpanan berkenaan selama mana ia berada dalam kawalan atau simpanannya.
Daripada aspeks yang lain pula, simpanan tidak sama dengan modal pelaburan dalam sesuatu kontrak mudarabah yang berasaskan perkongsian untung di mana satu pihak menyediakan modal dan satu pihak lagi menjadi pengusaha. Walau bagaimanapun ada persamaan antara kontrak pelaburan mudarabah dengan akaun simpanan wadiah. Ini kerana kedua-duanya akan menerbitkan hubungan pemegang amanah dan pemberi amanah. Dalam mudarabah, pengusaha dianggap pemegang amanah kepada modal yang diserahkan kepadanya oleh pelabur. Dalam hal ini kedudukan pengusaha adalah sama sahaja dengan kedudukan pemegang amanah wadiah dari segi tanggungjawab dan liabiliti; kedua-dua mereka hanya dikira bertanggungjawab terhadap kehilangan dan kerosakan harta atau modal berkenaan jika ada salah laku atau kecuaian di pihak mereka.
Yang membezakan antara kedua-duanya ialah pengusaha dalam sesuatu mudarabah memang dibenarkan oleh pemilik modal untuk berniaga dengan modal itu bagi mendapatkan keuntungan yang akan dikongsi bersama oleh kedua-dua belah pihak. Dalam hal ini pengusaha dari kacamata Islam dianggap wakil kepada pelabur dalam menjalankan perniagaan berkenaan. Lain pula halnya dengan pemegang amanah wadiah kerana tujuan wadiah semata-mata untuk simpanan. Oleh kerana itulah jika pemegang amanah menggunakan harta yang diamanahkan itu tanpa kebenaran pemilik, maka dia telah merubah kedudukannya daripada seorang pemegang amanah kepada penjamin yang akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan harta yang disimpan berdasarkan wadiah berkenaan walaupun ia berlaku tanpa adanya kecuaian ataupun salah laku daripada pihaknya.
Ini adalah kerana Islam melihat bahawa kesediaan seseorang itu menerima amanah daripada sesuatu pihak lain sebagai amal kebajikan demi semangat tolong-menolong sebagaimana yang sangat dianjurkan, maka pemegang amanah dianggap telah melakukan satu kebaktian kepada pemilik harta berkenaan. Lantaran itu menurut Islam, pemegang amanah tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas kerosakan atau kemusnahan atau kehilangan amanah berkenaan melainkan ia disebabkan oleh kecuaian atau perbuatan salah. Ini bermakna, tanggungjawab membuktikan adanya kecuaian ataupun salah laku di dalam hal ini adalah terpikul pada bahu pemberi amanah berkenaan. Kedudukan ini adalah bagi menghargai kebaktian yang dilakukan oleh pemegang amanah yang sebenarnya memberikan pertolongan kepada pemilik harta berkenaan; dia secara sukarela sedia menjaga dan memelihara amanah tersebut tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Jika sebaliknya Islam menganggapnya bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan berkenaan walaupun tanpa adanya kecuaian ataupun salah laku, ini sudah tentulah tidak adil dan tidak wajar dilakukan kepada seorang yang telah melakukan kebaktian. Tambahan pula jika ini kedudukannya sudah tentu tiada siapa akan sudi menjadi pemegang amanah secara sukarela dan di atas semangat tolong-menolong sesama manusia.
Dari aspeks yang lain, seseorang pemilik harta yang menyerahkan hartanya kepada pemegang amanah untuk disimpan, tidak seharusnya mengharapkan apa-apa pulangan daripada urusan simpanan itu. Kalau keuntungan atau pulangan yang diinginkan, maka cara yang sesuai ialah dengan menyerahkan harta atau modal itu menurut konsep mudarabah (pelaburan) dan bukannya wadiah (simpanan). Sehubungan dengan itu seseorang pelabur dalam skim mudarabah mestilah sedia menerima risiko kerugian dalam perniagaan yang diwakilkan kepada pengusaha untuk menjalankannya. Tindakan mensyaratkan jaminan modal tidak rugi adalah tidak selaras dengan konsep mudarabah itu sendiri. Dari kacamata Islam, pulangan atau keuntungan adalah sebagai balasan bagi kesediaan menghadapi risiko kerugian ataupun penanggungan liabiliti.
Islam menghargai tindakan pemegang amanah yang jujur dalam tanggungjawabnya memelihara amanah berkenaan dengan tidak membebankannya dengan liabiliti yang berat. Namun begitu pemegang amanah yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kedudukannya dianggap bersalah melainkan dia membuktikan sebaliknya. Dengan itu jelaslah bahawa Islam sentiasa menjamin hak-hak dan kepentingan kedua-dua belah pihak iaitu pemilik harta dan juga pemegang amanah.