Kodifikasi undang-undang sebenarnya suatu reformasi terjemahan terhadap pemahaman umat Islam terhadap syariah. Kodifikasi mungkin diberikan dengan pelbagai istilah seperti disebut sebagai `Majallah’ ketika zaman kerajaan Uthmaniah Turki atau `al-Nizam’ sebagaimana yang dibentuk di Arab Saudi. Negara-negara Islam yang lain seperti Malaysia dan Pakistan mengenakan istilah akta, ordinan atau enakmen bagi maksud yang sama.
Majallah al-Ahkam al-‘Adliyah adalah perintis kepada dokumentari hukum syarak. Sebelum itu dalam zaman pemerintahan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur, ahli fikir Islam terkenal iaitu Abdullah ibn al-Muqaffa telah menyarankan kepada khalifah agar suatu bentuk undang-undang bertulis dilaksanakan di semua mahkamah sebagai undang-undang yang mengikat. Ini disebabkan selama tempoh itu, hakim mempunyai hak untuk memilih mana-mana pendapat ulama yang relevan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian. Apatah lagi dalam disiplin ijtihad tidak janggal bagi satu-satu permasalahan hukum menerima beberapa cadangan penyelesaian dan pendapat ulama fiqh.
Hasil daripada kesedaran inilah maka pada tahun 1293H, Majallah dapat diperkenalkan sebagai undang-undang bertulis yang dipakai di seluruh negara di bawah kerajaan Uthmaniyah. Qanun al-‘Ailat pula menyusul pada tahun 1326H sebagai undang-undang keluarga yang telah dapat dikuatkuasakan.
Kodifikasi atau taqnin dianggap sebagai perkara yang harus apabila ia diqiaskan kepada ijmak sahabat dalam pengumpulan al-Quran sebagai mushaf yang tersusun. Sedangkan sebelum itu al-Quran berada dalam bentuk yang pelbagai sama ada ayat-ayat yang ditulis di pelepah tamar, kulit binatang ataupun hanya dalam bentuk hafalan sahabat-sahabat. Ia juga tidak direkodkan atau disimpan dalam satu-satu tempat yang tertentu. (Abdul Monir Yaacob, Undang-undang Pentadbiran Agama Islam: Pengkanunan, Reformasi dan Penyelarasan, Jurnal Undang-undang IKIM, Vol. 2. No. 2, Julai-Disember 1998)
Malah keharusan ini sebenarnya memberikan beberapa kelebihan dalam menjaga maslahat rakyat dan negara dan antaranya ialah kodifikasi syariah lebih menyempurnakan pembinaan fiqh Islam selain mewujudkan keseragaman dalam tindakan umat Islam tentang sesuatu hukum yang terpilih dari kalangan pendapat-pendapat fuqaha. Ringkasnya kodifikasi undang-undang di sesebuah negara merupakan mekanisme pelaksanaan undang-undang dan bersifat praktikal bagi satu-satu keadaan masyarakat dan suasana semasa. Reformasi boleh dilakukan terhadap perundangan dengan melihat keperluan maslahat masyarakat.
Apabila taklid telah menutup semangat ulama untuk berijtihad, Ibn Taimiyah telah membuka semula pemikiran ulama dari situasi yang jumud. Cita-cita beliau kemudiannya diteruskan oleh Ibn al-Qayyim dan asas perjuangan ini disambut oleh Jamaluddin al-Afghani dan seterusnya Muhammad Abduh.
Undang-undang syariah yang diamalkan di negara kita sejak zaman pemerintahan sultan Melayu memang berada dalam bentuk kodifikasi seperti Hukum Kanun Melaka. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang kita maklum kodifikasi undang-undang yang ada sekarang ini telah melalui pengalaman yang begitu panjang dan tersendiri. Meskipun berada dalam kekangan penjajahan British, pengaruh pembaharuan Islam di Mesir turut terkena tempiasnya di lain-lain negara seperti India dan Tanah Melayu pada awal abad ke-20M. Penubuhan badan-badan yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan perundangan seperti Jabatan Agama dan Pelajaran Negeri Johor pada 1895 adalah bukti bahawa reformasi berlaku.
Kita mengamalkan sistem dualisme dalam perundangan. Dan undang-undang syariah atau sivil yang kita miliki sebenarnya telah mencakupi pelbagai sudut kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Cuma isi kandungan atau peruntukan undang-undang itu bukan satu perkara di luar kelaziman sekiranya ia menjadi pertikaian sesetengah pihak. Manakala Islam Hadhari yang diperkenalkan adalah program bagi menyempurnakan kehidupan rakyat dengan mengambil kira sepuluh prinsip tertentu sebagai landasan tujuan. Tanpa kita sedar bahawa undang-undang yang sedia ada sebenarnya telah mengambil kira prinsip-prinsip tersebut, seperti yang bersangkutan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi dengan wujudnya enakmen-enakmen negeri yang memperuntukkan kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya. Prinsip Islam Hadhari mengenai pemeliharaan alam semula jadi juga sebenarnya memang boleh bersandar kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 agar Islam Hadhari dapat mencapai sebahagian daripada maqasid syariah. Begitu juga dengan Akta Pencegahan Rasuah sememangnya berfungsi untuk memastikan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang adil dan beramanah.
Islam Hadhari yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewajarnya menjadi penggerak dan pemangkin kepada reformasi perundangan yang melibatkan sepuluh prinsip tersebut. Rata-rata di kalangan kita melihat pelaksanaan Islam Hadhari dibuat dari aspek sosial tetapi ia akan dapat dilaksanakan dengan lebih ampuh apabila dibantu dan dilindungi dengan penguatkuasaan undang-undang.
Sekiranya pendapat ini diterima, maka apa yang perlu kita ambil perhatian terlebih dahulu adalah kandungan dan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Setakat mana ia telah menepati falsafah Islam Hadhari terhadap aspek-aspek yang telah ditentukan? Islam Hadhari adalah gagasan untuk melakukan reformasi terhadap pemikiran bangsa. Reformasi itu perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan pelbagai bentuk aktiviti sosial, budaya, ekonomi, politik dan perundangan yang berjaya membina bangsa Malaysia sebagai bangsa yang ampuh, berkualiti dan berperibadi.
`Islam bukan sekadar suatu agama, malah suatu cara hidup’ adalah slogan yang dirintis oleh reformis Islam. Maka sudah sampai masanya melalui Islam Hadhari slogan ini direalisasikan di peringkat negara kita melalui mekanisme perundangan (sebagai salah satu mekanisme) bagi membuktikan kebenaran tentang kesempurnaan dan keindahan agama ini serta ketinggiannya yang menuntut pembinaan suatu tamadun yang unggul.