TANGGAL 27 Muharam 1426 Hijrah bersamaan 8 Mac 2005 adalah detik bersejarah bagi pentadbiran agama Islam di Selangor. Bersempena perasmian Bangunan Sultan Idris Shah yang menempatkan semua institusi pentadbiran agama Islam negeri, Sultan Selangor berkenan berangkat melancar dan menyerahkan Prosiding Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seminar ‘Selangor 2005: Model Islam Sebuah Negeri Maju’.
Prosiding itu hasil multaqa dan seminar pada 7 dan 8 Disember tahun lalu. Majlis anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-59.
Negeri Selangor akan diisytiharkan sebagai negeri maju yang pertama di Malaysia pada 2005 selepas memenuhi beberapa kriteria dan petunjuk oleh Perbadanan Produktiviti Negara menggunakan The World Competitiveness Model.
Sebagai negeri termaju di Malaysia dengan mengambil kira aspek kesetaraan kuasa beli, prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, perniagaan serta infrastruktur dan pembangunan, langkah seterusnya untuk memastikan kemajuan ekonomi dan fizikal ini dapat dicapai selaras kehendak falsafah pembangunan Islam berserta tuntutannya.
Antara lain falsafah pembangunan Islam menuntut supaya keadilan sosial ditegakkan dalam masyarakat. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.” (Surah an-Nahl, ayat 90)
Dalam prinsip keadilan sosial ini, setiap Muslim perlu dipastikan supaya penghayatan keimanannya terpelihara. Ia dilakukan menerusi pengamalan nilai keagamaan dalam semua urusan sama ada berkaitan pendidikan, pekerjaan, perniagaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, mahupun bidang kehidupan lain. Semua urusan itu hendaklah membawa seseorang Muslim ke arah meningkatkan darjah ketakwaan kepada Rabbul-Izzati. Selain itu, menjauhkannya daripada sifat mazmumah seperti tamak haloba, iri hati, hasad dengki, ujub, riak, takbur, rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Selain itu, unsur yang bertentangan dengan akhlak dan akidah Islam haruslah dijauhi, terutama dalam hal yang membabitkan kepercayaan penganut agama lain. Perlembagaan Persekutuan walaupun menjamin kebebasan beragama bagi rakyat berbilang kaum di negara ini, masyarakat Islam wajar dipelihara daripada dipengaruhi oleh budaya yang tidak bersesuaian. Hal ini kerana Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Perkara lebih utama supaya masyarakat majmuk di negara ini dapat saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Ia dilakukan tanpa mengorbankan prinsip serta identiti masing-masing dalam suasana penuh harmoni dan bersatu padu, tanpa perasaan curiga dan syak wasangka.
Di samping itu, peluang yang saksama harus diberikan kepada rakyat pelbagai lapisan, tanpa mengambil kira latar belakang serta status dalam masyarakat. Mereka perlu turut dalam arus pembangunan bagi memperoleh manfaat dan kesejahteraan bersama. Agihan pendapatan dan kekayaan yang adil menjadi tonggak utama kepada keutuhan dan kestabilan sesebuah masyarakat. Perkara lain yang perlu diberi keutamaan adalah mekanisme pengagihan semula yang sangat besar potensinya kepada umat Islam iaitu sistem zakat.
Pembangunan ekonomi pula perlu diselaraskan dengan kehendak agama menerusi penggunaan instrumen kewangan Islam dalam semua aspek pembiayaan dan pengurusan kewangan kerajaan. Aspek ini termasuk soal halal haram, selain keuntungan yang mampu dijana oleh sesuatu pelaburan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Pembangunan sesuatu projek yang dikenal pasti berdaya maju juga perlu mengambil kira sama ada manfaat yang diperoleh akan dikecapi oleh golongan tertentu atau mereka yang benar-benar memerlukan.
Firman Allah bermaksud: “(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang kaya di kalangan kamu.” (Surah al-Hasyr, ayat 7)
Keseimbangan perlu dicapai antara pembangunan di kawasan bandar dengan luar bandar. Ia supaya kualiti hidup dapat dipertingkatkan di kawasan luar bandar serta penyediaan pelbagai kemudahan dan prasarana tidak bertumpu di kawasan tertentu. Pada masa sama, ia dapat memperlahankan proses urbanisasi yang akan hanya membawa kepada peningkatan kos hidup, sekiranya dibiarkan berlaku terlalu pesat tanpa dikaji kesannya terhadap taraf kehidupan dalam masyarakat. Apa yang lebih penting di sini adalah supaya proses pembangunan ekonomi dapat dijadikan alat bagi merapatkan jurang perbezaan antara golongan kaya dengan miskin. Ia juga memastikan tiada kelompok yang dipinggirkan daripada menikmati kesan positif pembangunan ekonomi.
Sektor ekonomi yang dikenal pasti sebagai berdaya maju dan sesuai dengan kehendak agama hendaklah diterokai seluas-luasnya. Hal ini agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan umat. Antaranya bidang pertanian dan industri asas tani yang berpotensi sebagai teras pembangunan bagi sesuatu ekonomi. Selain berperanan sebagai ‘periuk nasi’ sesebuah negeri, ia dapat dijadikan antara penjana utama sumber pendapatan menerusi penggunaan teknik terkini yang dimajukan dengan kae-dah bioteknologi dan seumpamanya. Bagi tujuan itu, penemuan terbaru juga harus dipelopori oleh ahli sains dan sarjana Islam.
Dalam mengejar arus pembangunan ekonomi yang begitu pesat, aspek pembangunan sosial, rohani dan alam sekitar tidak harus diabaikan. Pengukuhan terhadap nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan; kehidupan yang bertunjangkan pengamalan terhadap ajaran agama serta keharmonian dengan suasana di sekeliling menerusi pemuliharaan alam sekitar harus diberikan keutamaan tinggi.
Kita tidak ingin melihat apabila segala aspek fizikal dan kebendaan dibangunkan dalam sesebuah negeri, nilai kemanusiaan, keagamaan dan akhlak terhadap persekitaran pula yang runtuh.
Semoga dengan perhatian yang diberikan terhadap perkara itu. Negeri Selangor Darul Ehsan bukan sekadar menjadi peneraju pembangunan dan kemajuan negara, bahkan model sebuah negeri maju yang menepati kehendak dan tuntutan syariat.
Ia bersesuaian dengan prinsip Islam Hadhari iaitu pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif. Semoga usaha ini akan turut dicontohi oleh negeri lain dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.