Dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam telah diketengahkan. Ia dilaksanakan khususnya dalam sektor perkhidmatan awam. Berikutan dengan itu bercambahlah ceramah-ceramah diadakan di jabatan-jabatan kerajaan pada ketika itu. Ada yang mengadakan di waktu rehat dan inisiatif ini diambil oleh badan-badan kebajikan. Ada yang diadakan di sebelah pagi pada waktu pejabat. Ada juga pihak jabatan yang memasukkan nilai-nilai Islam dalam kurikulum kursus. Jelas, pelbagai pendekatan telah dibuat.
Tidak dinafikan penerapan nilai-nilai Islam telah memberi kesan yang positif kepada pegawai-pegawai sektor awam. Bagaimanapun, ada aspek yang masih perlu diberi perhatian seperti isu rasuah. Begitu juga dengan budi bahasa dalam melayani pelanggan.
Dasar Islam Hadhari yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyumbang kepada kejayaan cemerlang parti pemerintah dan menambat hati rakyat.
Ada pihak yang cuba mempertikaikan Islam Hadhari seperti mana mereka mempertikaikan penerapan nilai-nilai Islam. Dalam satu majlis perjumpaan antara Perdana Menteri dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang diadakan di Kompleks Perdana Putra, beberapa pandangan telah dikemukakan, antaranya mengenai pemilihan istilah Islam Hadhari dan mengapa tidak istilah lain seperti masyarakat Islam Hadhari.
Mereka mengkritik seolah-olah istilah Islam Hadhari yang dipilih oleh Perdana Menteri tidak betul sehingga ada yang menyatakan Islam tidak perlu dikaitkan dengan `Hadhari’, kerana Islam sendiri sudah lengkap sifatnya. Ia adalah satu cara hidup, tidak perlu diberi sifat demikian kerana itu boleh mengelirukan.
Antara jawapan yang diberikan oleh Abdullah ialah perkataan madani adalah biasa dan tiada kesan. Tetapi Islam Hadhari telah menarik perhatian orang ramai termasuk masyarakat antarabangsa dan mereka hendak tahu apa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari yang hendak dilaksanakan oleh Malaysia.
Sekarang semua orang ingin tahu apakah Islam Hadhari. Beliau sendiri telah menjelaskan Islam Hadhari dalam satu ceramah di Oxford University, England dan begitu juga apabila bertemu dengan media luar negara. Bahkan saya sendiri ada menerima pertanyaan dari BBC yang ingin tahu tentang Islam Hadhari dan kesannya kepada masyarakat.
Pada perjumpaan terbaru antara Perdana Menteri dengan pegawai-pegawai sektor awam, di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, beliau ada memberi penjelasan tentang Islam Hadhari. Antara hujah yang diberikan adalah Surah An-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
Apabila kamu menjatuhkan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Beliau memberi penekanan bahawa Islam tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam dalam menegakkan keadilan. Mereka adalah sama. Penjelasan ini telah mendapat perhatian daripada pemimpin-pemimpin bukan Islam dan mereka menyokong dasar Islam Hadhari.
Islam Hadhari perlu dijelaskan kerana masih ramai yang kurang faham mengenainya. Sepatutnya ia difahami oleh semua lapisan rakyat supaya dapat menerima dengan baik dan hati terbuka. Berlainan daripada dasar penerapan nilai-nilai Islam, dalam Islam Hadhari diletakkan sepuluh prinsip. Prinsip-prinsip ini pula diperjelaskan satu persatu.
Oleh yang demikian adalah tidak benar anggapan yang menyatakan Islam Hadhari membawa fahaman baru bertentangan dengan Islam. Selagi asas dan fundamentalnya berteraskan kepada ajaran-ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan sunah, selama itulah ia tetap utuh dan benar. Ia sama sekali tidak akan memesongkan akidah umat Islam di negara ini.