TIADA yang lebih penting dan bermakna untuk mencapai taraf negara bertamadun dan maju dalam erti kata sebenar, selain ditadbir oleh pemimpin berwibawa dan perancangan kepemimpinannya pula digerakkan rakyat berkualiti serta berperibadi tinggi. Kualiti diri serta peribadi yang dimaksudkan meliputi keimanan serta ketakwaan dan keluhuran akhlak serta budi pekerti tinggi.
Menyentuh khusus pentadbiran negara, beberapa faktor perlu diambil kira bukan saja bagi melancarkan usaha sesebuah negara atau kerajaan mencapai kegemilangan, malah menjamin rakyat memahami matlamat asal kehidupan serta usaha mendapatkan keselesaan hidup.
Muhammad Abdul Rauf (1994) dalam bukunya, Ummah Negara Islam menjelaskan beberapa tanggungjawab moral penting yang mesti dipatuhi oleh orang yang membabitkan diri dalam proses pentadbiran. Perkara itu penting bagi menjamin urusan pentadbiran berjalan lancar dan rakyat pula dapat hidup dengan aman tenteram.
Antara tanggungjawab itu adalah:
Menghubungkan matlamat jangka pendek (keduniaan) dengan matlamat jangka panjang (matlamat asal).
Dalam semua usaha dan tindakan, matlamat duniawi mesti dihubungkan dengan matlamat asal dan terakhir iaitu berbakti kepada Allah dan mencari keredaan-Nya.
Dalam melaksanakan setiap tugas atau pekerjaan, dengan sifatnya sebagai ibadah, kita perlu memastikan bahawa ia menepati syarat yang ditentukan Allah.
Kesungguhan memastikan bahawa matlamat jangka pendek iaitu mencapai kemajuan hidup di dunia selaras dengan matlamat jangka panjang (mencapai keredaan serta memperoleh ganjaran daripada Allah) dapat menyedarkan manusia akan kekuasaan-Nya.
Al-Quran memberi amaran keras terhadap sikap mengabaikan matlamat jangka panjang dalam firman-Nya bermaksud: “Akan tetapi kamu (orang kafir) memilih kehidupan di dunia, sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A`la, ayat 16 dan 17)
Bagaimanapun, manusia, khususnya umat Islam turut diingatkan supaya tidak terlalu menekankan aspek akhirat sehingga mengabaikan kehidupan duniawi. Sikap ini bukan saja memberikan imej negatif terhadap umat Islam, malah membawa pelbagai kesan buruk terhadap sistem sosial dan institusi keluarga.
Kehidupan di dunia sewajarnya dijadikan cara untuk memperoleh keredaan Allah dan merebut peluang yang ada untuk memanfaatkan manusia sejagat, terutama saudara seIslam. Kita digalakkan supaya menceburi apa saja bidang, khususnya yang dirintis dan dipelopori oleh sarjana Muslim suatu ketika dulu, tetapi kini dikuasai oleh bukan Islam. Ia seperti penyelidikan saintifik, pengembangan industri, penyelidikan perubatan dan pertanian.
Kurangnya minat dalam bidang itu menyerlahkan kelemahan umat Islam dan membuka ruang luas kepada bangsa lain untuk terus menguasai serta menindas umat Islam. Kita bukan saja perlu berusaha menyediakan keperluan diri serta tanggungan, malah meningkatkan produktiviti supaya dapat memberikan sumbangan kepada keperluan negara. Semakin produktif, semakin berguna kita kepada masyarakat, agama dan ummah seluruhnya.
Pada peringkat antarabangsa pula, kita perlu berusaha memantap serta memajukan bidang ekonomi bagi mengelakkan pergantungan Malaysia dan negara Islam lain pada negara lain, khususnya Barat.
Sehubungan itu, rangkaian perdagangan yang lancar dan sistematik perlu diwujudkan antara negara Islam.� Perkara ini penting bagi memastikan negara Islam mampu mewujudkan blok ekonomi teguh dan berupaya menjadi naungan dan sumber biaya bagi semua negara Islam. Kita memerlukannya,khususnya dalam menghadapi keadaan tertentu seperti dilanda bencana alam.
Memberikan pertimbangan terhadap nilai akhlak dalam pekerjaan.
Pekerjaan mempunyai nilai moral dan keagamaan secara semula jadi. Bekerja dan berusaha bukan saja cara atau alat untuk memperoleh kekayaan, malah tanggungjawab moral. Ia juga medium untuk mendekati Allah.
Allah menjadikan bumi begitu luas dan subur, selain menyediakan segala sumber keperluan manusia demi kepentingan mereka. Hanya yang tinggal bagi manusia adalah berusaha mendapatkan sumber itu sama ada di darat mahupun lautan.
Bekerja dan berusaha dengan kudrat yang dikurniakan adalah amalan terpuji. Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Tiada makanan yang lebih baik dimakan oleh seseorang kecuali makanan hasil kerjanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud memakan hasil usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Dengan nikmat dan rezeki kurniaan Allah, manusia bukan saja dapat memenuhi keperluan mereka, malah memanipulasi semua nikmat itu untuk menggandakan apa yang dimiliki, demi berkongsi kehidupan selesa dengan setiap anggota masyarakat.
Dalam usaha mendapatkan nikmat itu, Allah mengingatkan hamba-Nya agar berusaha dengan apa juga cara, asalkan tidak melanggar batas yang ditetapkan-Nya.
Sehubungan itu, kita digalakkan supaya menggunakan daya kreativiti dan kekuatan untuk menerokai semua bidang serta peluang yang dapat membawa kemakmuran dan keselesaan dalam kehidupan.
Bagi memastikan setiap pekerjaan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, maka Islam mengingatkan umatnya agar sentiasa terikat pada nilai akhlak mulia seperti jujur, amanah, ikhlas dan bersyukur.
Gunakan masa dengan baik
Allah sentiasa mengingatkan manusia terhadap kerugian disebabkan kegagalan mereka memberikan penekanan terhadap kepentingan masa.
Selain itu, Allah menunjukkan dengan jelas kepentingan masa dalam penentuan waktu solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Hal ini bukan saja dorongan Allah supaya kita menginsafi nilai masa, malah mengingatkan tanggungjawab untuk melakukan apa saja, tepat pada masanya.
Kita juga digalakkan sentiasa bermuhasabah dan menilai setiap masa yang berlalu, untuk apakah ia diguna atau dimanfaatkan. Dalam hubungan ini, al-Imam al-Hasan al-Basri pernah berkata: “Wahai manusia! Sesungguhnya kamulah hari-hari yang dilalui. Apabila berlalu satu hari, hilanglah sebahagian daripada diri (milik)mu.” Kata-kata beliau ini memberi maksud bahawa semakin banyak hari berlalu, semakin banyak perkara atau apa saja yang ada pada diri hilang dan lenyap.
Contohnya, usia, kesihatan dan kekuatan fizikal, semuanya hanya bersifat sementara. Dengan berlalunya masa, usia yang muda meninggalkan kita. Sekali gus, kehilangan tubuh yang bertenaga dan kesihatan yang dimiliki selama ini. Demikian fitrah kehidupan manusia.
Memupuk dan mengamal nilai mulia.
Setiap Muslim perlu memelihara dan mengamalkan nilai kebenaran (al-sidq), kepuasan (al-qana`ah), kejujuran (al-amanah), dedikasi (al-ikhlas),halangan kendiri (al-`iffah), disiplin (zabtan li nafs) dan rasa takut kepada Allah (al-khauf min Allah).
Kesedaran dalam diri bahawa setiap gerak-geri diperhatikan oleh Allah dan malaikat yang berperanan mencatat setiap tingkah laku kita, akan membuatkan kita berusaha untuk menjauhkan diri daripada kemurkaan serta hukuman-Nya.
Dengan itu, timbul keinginan untuk memperoleh keredaan-Nya, seterusnya akan menghalang kita daripada melakukan sebarang bentuk kerosakan dan pencerobohan terhadap harta milik orang lain.
Namun, cetusan keinginan dan kecenderungan yang baik ini memerlukan iltizam tinggi agar benar-benar dapat dipupuk dalam jiwa, lalu dizahirkan pula dalam tindakan. Al-Quran dan hadis Rasulullah sering menekankan penghormatan terhadap hak orang lain serta larangan bagi perbuatan merampas hak mereka.
Antaranya hadis bermaksud: “Alangkah baiknya kamu (Kaabah)! Alangkah harumnya bau kamu dan alangkah agungnya kamu! Dan agungnya kehormatanmu. Demi Dia, yang diriku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya kehormatan orang Mukmin lebih agung daripada kehormatan kamu. (Demikianlah juga halnya dengan) harta dan darahnya dan hendaklah kamu bersangka baik terhadapnya.” (Hikayat Imam Ahmad ibn Hanbal, Al-Musnad (1313 Hijrah.)
Mengamalkan kritikan kendiri
Setiap orang perlu menganalisis pencapaian masing-masing dari semasa ke semasa dan seterusnya memperbaiki segala kelemahan yang ada. Di samping itu, mereka perlu sentiasa bersedia untuk menerima sebarang kritikan daripada pihak yang lain. Khalifah Umar pernah mengatakan: ��”Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab dan bersedialah untuk menghadapi hari pembentangan yang besar. Sesungguhnya hisab (perhitungan) yang ringan pada hari kiamat adalah bagi sesiapa yang menghisab dirinya di dunia.”
Demikian juga bagi sesebuah organisasi, syarikat atau jabatan kerajaan. Dari semasa ke semasa, kajian semula perlu dilakukan terhadap tugas pentadbiran untuk menilai sama ada ia lancar serta berkesan dan sama ada ia memerlukan langkah pembaikan.
Jika sebarang kajian semula diperlukan, ia perlu dilaksanakan dengan mengalu-alukan idea serta cadangan pelaksanaan yang praktikal. Kedua-dua pihak iaitu yang memimpin dan dipimpin mesti terbabit dalam perubahan yang akan dilakukan agar semua pihak memiliki rasa tanggungjawab tinggi terhadap organisasi, syarikat atau negara.