Akibat daripada serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan, sebuah negara yang paling daif dan miskin ialah keluhan dan kutukan negara-negara Islam terhadap serangan itu. Inilah yang tersiar di dalam media sehari selepas serangan yang bertajuk negara-negara Islam menyelar AS. Kuasa besar itu disifatkan sebagai pengganas yang harus dihapuskan di muka bumi ini.
Nampaknya mungkin itulah sahaja yang dapat dilakukan oleh negara-negara Islam, iaitu mengecam dan mengkritik, melabelkan Amerika Syarikat dengan berbagai-bagai label yang buruk dan keji, sedangkan negara itu sendiri mendapat bantuan sekutunya, negara Inggeris dan negara-negara Eropah serta direstui oleh negara-negara lain, termasuk negara Islam sendiri yang bergantung kepadanya, atau bersahabat baik dengannya.
Selain daripada kutukan yang dinyatakan oleh negara-negara Islam, tetapi tidak semuanya, maka Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), baru sahaja secara perlahan-lahan mengumpulkan ahli-ahlinya untuk bersidang mulai semalam (Rabu). Kita menadah tangan memohon petunjuk Allah s.w.t agar memberi hidayah dan taufik-Nya kepada OIC untuk membuat sesuatu keputusan yang praktikal dan berkesan agar perjumpaannya kali ini tidak merupakan satu lagi perjumpaan biasa yang pernah diadakan dalam sejarah kewujudannya yang agak panjang itu.
Semoga persidangan ini tidak hanya merupakan medan untuk mengeluarkan kecaman dan kutukan, ucapan demi ucapan yang penuh retorika, tetapi akhirnya tidak dapat meninggalkan bisanya yang berkesan, atau menentukan pendiriannya yang dapat menjelaskan kedudukan Amerika Syarikat sebagai negara penyerang dan sekali gus dapat mempengaruhi pandangan umum antarabangsa tentang siapakah pengganas yang hendak diperangi, dan siapakah sebenarnya sasaran yang hendak dihapuskan.
Pengganas itu sebenarnya tidak semestinya terdiri daripada individu atau kumpulan, malahan negara atau pemerintah yang tertentu juga ada kalanya merupakan negara dan pemerintah pengganas.
Saya tidak bermaksud untuk meneruskan ulasan tentang serangan ini dan kesannya, atau peranan OIC dan bisanya, yang entah wujud atau tidak. Namun terdapat beberapa perkara untuk orang Islam di negara ini merenung, mengkaji dan mengambil iktibar daripada peristiwa sedih yang menimpa salah sebuah negara Islam ini.
Segala kecaman dan kutukan tidak akan meninggalkan kesan apa-apa lagi dalam dunia pada hari ini, ketika banyak negara maju sendiri yang mengamalkan dasar talam dua muka dan yang menggunakan kekuatan untuk berkuasa. Kita telah lama mengutuk Barat kerana tindakan agresif ini sejak puluhan tahun. Ketika berlaku serangan ke atas Iraq sepuluh tahun dahulu, banyak negara Islam yang mengutuknya. Tetapi hingga hari ini, Iraq tetap masih diserang dan dikenakan berbagai-bagai sekatan, sehingga rakyat yang tidak berdosa mengalami berbagai-bagai tragedi yang amat menyedihkan.
Kita boleh mengutuk dan terus mengutuk, tetapi kutukan itu tidak sedikit pun membawa sebarang perubahan bagi percaturan politik antarabangsa. Siapa yang kuat dan berkuasa, dialah yang menang dan dapat melakukan segala-galanya menurut kehendak nafsunya. Yang menjadi mangsanya ialah orang yang lemah dan miskin, termasuk negara Islam yang berpecah belah dan masih terikat dengan belenggu penjajahan.
Kita telah menyaksikan negara Afghanistan yang mengalami sejarah pahit dalam percaturan penjajahan dan politik dalamannya.
Sikap keras pemerintah sekarang dalam agama dan pentafsirannya tentang Islam yang terlalu ketat dan melampau merupakan salah satu faktor yang menjadikan negara tersebut kacau-bilau, timbulnya pemberontakan dan peperangan saudara yang berlarutan, maka dengan itu akibatnya rakyat hidup menderita. Akibatnya berlakulah kebanjiran pelarian yang merempuh masuk ke negara-negara jiran yang sanggup menerima dan melindungi mereka.
Keadaan yang kucar-kacir, kemelesetan ekonomi dan sosial, kelemahan pemerintahan dan pengurusan negara secara yang konkrit untuk pembangunan pendidikan, teknologi dan sebagainya, ditambah pula dengan falsafah dan ideologi politik yang berasaskan pandangan sejagat Islam yang sempit, maka semuanya ini merupakan masalah dalaman yang dialami negara ini, dan hal ini juga menjadikan rakyat berpecah belah, tidak punya kesepaduan dan kekuatan. Inilah satu contoh kemunculan sebuah negara Islam yang terlalu banyak menghadapi masalah.
Saya melihat bahawa selagi umat Islam dan negara-negara Islam tidak dapat menentukan agenda keutamaannya dalam pembangunan negara dan falsafah pemerintahannya, terutamanya yang berasaskan agama dalam masyarakat global dan kepelbagaian etnik ini, maka selama itulah umat akan berpecah belah, negara akan kucar-kacir dan akan selama-lamanya bergantung kepada orang lain untuk menjaga keselamatannya, menentukan corak pemerintahannya, atau menjadikannya sebagai umpan untuk dimusnahkan.
Sungguhpun dari beberapa segi, negara kita tidak dapat dibandingkan dengan negara-negara Islam lain seperti Afghanistan sekarang ini, tetapi kita tentu dapat melihat punca-punca perpecahan orang Islam di sini yang disebabkan oleh perselisihan pentafsiran tentang beberapa dasar dan prinsip agama yang kita anuti. Kita ada kalanya terlalu menitikberatkan isu-isu teknikal dan persoalan-persoalan kulit sehingga ia berlarutan dalam perpecahan dan perselisihan pendapat.
Ketika dunia lain sudah pun membangun dengan mantap dalam segala aspek pembangunannya, kita masih berdebat tanpa kesudahan tentang konsep negara Islam, undang-undang jenayah syariah, negara sekular, pemerintahan sekular dan sebagainya. Dengan ini kita sebenarnya sedang menyebarkan kefahaman sempit tentang kehidupan dan permasalahan yang kita hadapi, dan kita sedang membentuk sikap yang amat tertutup tentang realiti dunia, termasuk tentang agama kita, dan yang amat berbahayanya kita sedang menjana pemikiran yang fanatik dan taksub yang amat berbahaya.
Keadaan inilah sebenarnya yang mencorakkan falsafah dan sikap umat kita, dan selama itulah kita akan terus dijajah oleh diri kita sendiri, kemudian amat mudahlah bagi orang lain untuk menyerang dan menghancurkan kita, maka selama itu pulalah kita akan terus menyalahkan orang lain, kita akan terus mengutuk dan mengecam, mencela dan mencerca, sedangkan kita sebenarnya tanpa disedari sedang mengutuk dan mengecam diri kita sendiri!