Sejak awal lagi Islam menentang perhambaan sesama manusia dan telah mempunyai banyak agenda untuk menghapuskan perhambaan di kalangan umat manusia.
Perhambaan dalam pengertian klasik hampir tidak wujud lagi di kalangan umat manusia, kerana perhambaan itu telah digantikan dengan perhambaan bentuk baru yang lahir dalam berbagai-bagai cara penindasan di antara penjajah dengan negara atau rakyat yang dijajah. Penjajah akan mengaut kekayaan negara yang dijajah untuk kepentingannya, atau menafikan hak rakyat yang dijajah dengan berbagai-bagai cara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, disedari atau tidak disedari.
Penjajahan inilah yang telah menguasai banyak negara dalam dunia moden oleh negara-negara penjajah yang lebih maju ilmu pengetahuannya, dan yang menjadi mangsanya ialah negara-negara mundur yang ketinggalan jauh di belakang dalam bidang ilmu pengetahuan dan pemikiran. Malahan setelah mencapai kemerdekaan dalam bidang politik dan fizikal sekalipun, banyak negara masih tidak merdeka dan tidak bebas dari segi penjajahan mental dan pemikirannya.
Mereka masih tidak dapat melepaskan pergantungannya kepada penjajah dalam bidang pertahanan, ekonomi, teknologi dan ilmu pengetahuan, ataupun masih memohon bantuan dan pertolongan dalam menjalankan pentadbiran negara sendiri.
Penjajahan dalam sebarang bentuk ini adalah ditentang oleh Islam. Sikap dan pendirian orang yang beriman tidak gentar atau takut kepada ancaman orang lain kerana tempat bergantungnya ialah Allah s.w.t.
Semangat ini seharusnya menjadi pendorong kepada negara-negara Islam yang keseluruhannya telah bebas daripada penjajahan untuk memajukan diri mereka dalam berbagai-bagai bidang kehidupan di dunia dan akhirat. Perpecahan yang berlaku di dunia Islam pada hari ini merupakan satu kesan penjajahan yang masih membelenggu pemikiran dan pentadbiran negara-negara Islam.
Negara-negara Islam hingga ke saat ini masih mengalami banyak masalah dan krisis, mengalami krisis pemikiran, krisis keyakinan, tidak dapat bersaing dengan dunia moden yang telah maju dalam bidang teknologi, ekonomi dan ilmu pengetahuan umumnya.
Maka dalam menyambut empat puluh empat tahun kemerdekaan negara kita, kita perlulah menoleh ke belakang untuk melihat sejauh manakah kita telah dapat mengisikan kemerdekaan negara dan melepaskan diri daripada penjajahan dalam berbagai-bagai aspek.
Tidak syak lagi bahawa kemerdekaan menurut pandangan agama kita ialah melepaskan diri daripada perhambaan ilmu pengetahuan, kebendaan atau ekonomi dan jati diri sendiri sebagai umat yang terbaik dikeluarkan untuk seluruh alam. Kemerdekaan juga merupakan bebas untuk menyembah Allah s.w.t. tanpa diganggu gugat dan bebas untuk menegakkan agama Allah di negara kita tanpa menganggu kebebasan orang lain untuk mengamalkan agama mereka.
Bagaimanapun, segala kemajuan yang telah dicapai tidak seharusnya memberikan kepuasan yang sebenarnya kepada kita, sehingga kita merasakan bahawa segala-galanya telah kita lakukan untuk agama. Atau kita merasa amat berpuas hati dengan segala pencapaian kita, sehingga dengan itu kita hanya akan berbangga dengan apa yang telah dicapai tanpa berusaha selanjutnya untuk pencapaian yang lebih lagi, terutamanya dalam mentadbir dan mendidik cara berfikir generasi muda dalam memahami agamanya secara yang lebih menyeluruh dan global.
Hal ini memerlukan penyemakan semula sistem pendidikan dan latihan di institusi pengajian formal dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi, maktab perguruan, institut latihan pegawai awam dan agama, polis, tentera dan pihak profesional dan sebagainya. Hal ini perlu dilakukan untuk mengatasi krisis berfikir dan persepsi salah tentang Islam sehingga umat Islam pada masa kini nampaknya lebih banyak melihat Islam sebagai syiar dan slogan, atau gambaran umum yang tidak diketahui bagaimanakah isi sebenarnya agama Islam ini.
Kesilapan memahami konsep Islam secara global inilah yang menjadikan umat Islam mengalami sindrom kejahilan tentang agamanya, dan mereka teraba-raba mencari makna Islam itu sendiri, seperti orang buta yang mencari-cari hakikat seekor gajah dengan hanya meraba-raba bahagian tertentu sahaja daripada badan gajah yang besar itu. Akhirnya masing-masing akan membuat pentafsirannya sendiri sehingga banyak yang akan bersikap terlalu radikal dan melampau, yang lebih cenderung kepada kefahaman secara simbolik atau slogan, sehingga hal ini menjadi gejala yang amat berbahaya dalam membentuk sikap dan mind set umat yang malang ini.
Bagi umat Islam yang bersikap demikian, maka mereka mungkin tidak akan menghiraukan kemajuan negara dalam bidang teknologi atau ekonomi, kerana kemajuan itu bagi mereka hanyalah satu usaha dunia yang tidak memberi erti apa-apa kepada peningkatan syiar Islam. Mereka mungkin mempunyai tafsiran sendiri tentang keengganan negara untuk mengambil pinjaman dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia. Bagi kalangan yang mempunyai kefahaman yang luas tentang dasar Islam pula, maka penolakan dana IMF dan bank dunia itu merupakan satu lencongan daripada perangkap sistem ekonomi Barat dan kapitalis yang mengasaskan ekonomi mereka atas dasar riba dan penindasan yang diharamkan Islam.
Umat Islam seharusnya mentafsirkan dasar perhambaan bentuk baru ini dari sudut pandangan Islam sendiri yang mengharamkan riba dan memerintahkan umatnya melepaskan diri daripada riba, bukan hanya dalam berslogan dan beretorika, tetapi dalam amalan dan perbuatan.
Inilah satu contoh yang nyata bagaimanakah umat Islam seharusnya memahami agamanya secara holistik dan menyeluruh, secara syumul dan global supaya fikiran dan fahamannya menjadi benar-benar bebas dan merdeka. Merdeka maknanya tidak tunduk dan sujud kepada syaitan dan iblis, manakala syaitan dan iblis itu sering menjelma di dalam seribu wajah yang dapat mengabui mata kita semua.
Semoga semakin lama kita berjalan meninggalkan detik waktu kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka kita akan menjadi umat yang berbeza daripada umat Islam lain yang amat ketinggalan zaman. Kita mestilah menjadi umat yang berbeza, tanpa mengabaikan prinsip dan dasar agama.