Kebanyakan dari masyarakat kita beranggapan bahawa rekreasi hanya terbatas kepada aktiviti-aktiviti luar sahaja seperti berkelah dan riadah, sedangkan pengertian rekreasi itu jauh lebih luas.
Amalan rekreasi juga terkandung di dalamnya seni lakon iaitu yang melibatkan drama, teater dan filem. Seni lakon menggabungkan berbagai bentuk seni. Bermula dengan seni sastera dalam penyediaan skrip berpindah kepada seni gerak, seni suara, seni lukis, seni adunan cahaya dan sebagainya. Filem pula memerlukan seni fotografi dan teknik rakaman. Oleh kerana sifatnya yang menghimpunkan berbagai bentuk seni estetika maka kesannya juga mendalam kepada penggemarnya.
Abd. Rahim Anbar dalam bukunya al-Masrahiah Baina al-Nazariah wa al-Tatbiq menyatakan drama lebih hampir dengan kehidupan kerana drama menceritakan tentang kehidupan dari semua bentuk seni; yang dibaca, didengar dan dilihat. Drama mempunyai nilai estetika, bukan sahaja mempunyai nilai hiburan tetapi juga mempunyai nilai pendidikan. Kesemua cerita-cerita atau kisah-kisah ini dilakonkan semula dan mempunyai kesan yang mendalam kepada penonton.
Begitu juga pengajaran-pengajaran dalam al-Quran yang berbentuk kisah atau cerita yang mempunyai matlamat untuk menerapkan pengajarannya dengan lebih berkesan. Rasyid Reda menyatakan bahawa kisah dalam al-Quran dapat menggerakkan pemikiran dan jiwa untuk mengambil iktibar daripadanya.
Kisah yang dibentangkan dalam al-Quran ialah Kalam Allah yang mengandungi peristiwa realiti masa lalu yang mengandungi petunjuk kepada kebenaran dan agama. Kisah dalam al-Quran dipenuhi dengan pengajaran dan nasihat. Ahmad Ghalwasy umpamanya menerangkan bagaimana kisah dalam al-Quran berfungsi sebagai wasilah atau media dakwah iaitu dengan cara:-
Pertama: Menanamkan motivasi ke dalam jiwa pendakwah. Kisah benar tentang peristiwa lalu bagaimana para Rasul sebelum ini berdakwah dengan tabah akan menjadi contoh kepada pendakwah. Semangat mereka untuk terus menjalankan dakwah semakin meningkat, cabaran yang dihadapi dianggap kecil berbanding cabaran yang telah dihadapi oleh para Rasul.
Kedua: Menerangkan asas dakwah Islam ialah akidah yang benar iaitu keimanan kepada Allah, Rasul-Rasul, Malaikat, Kitab-kitab dan Hari Akhirat.
Ketiga: Menjelaskan kedudukan golongan sasaran. Kisah dalam al-Quran menjelaskan bagaimana ragam golongan sasaran. Mereka sering memberi tentangan terhadap dakwah yang disampaikan.
Keempat: Kepercayaan yang diwarisi dari nenek moyang menjadi penghalang dakwah. Al-Quran menerangkan kedegilan kaum kafir kerana mereka berpegang kepada adat.
Kita semua sedia maklum bahawa seni lakon bukanlah perkara yang baru dalam masyarakat kita. Perkembangan seni lakon juga turut berkembang sejajar dengan sejarah perkembangan Islam. Usaha untuk menerapkan dakwah seni lakon telah pun dilakukan lebih awal. Sejarah telah membuktikan wujudnya usaha tersebut dari sejak zaman dahulu lagi. Antaranya ialah :
Wayang kulit digunakan oleh Wali Songo di kepulauan Jawa untuk berdakwah. Mereka membuktikan keupayaan wayang kulit menarik minat masyarakat untuk memeluk Islam.Pemilihan media ini ialah kerana wayang kulit merupakan media yang popular dan diminati oleh segenap lapisan. Walaupun di peringkat awalnya terdapat perbezaaan pendapat mengenai keharusan permainan wayang kulit kerana pandangan mereka permainan tersebut ditegah oleh syarak. Namun setelah mereka mengatasi dengan mengubah gambar yang berbentuk manusia kepada bentuk yang berlainan daripada manusia biasa, wayang kulit telah diterima dan mendapat sambutan, dan ceritanya juga turut diubah kepada cerita yang berunsur Islam.
Wayang Kulit bukan hanya digunakan oleh keturunan Jawa tetapi juga beberapa buah negara Arab termasuk Morocco, Tunisia dan Syria. Contohnya Turki pernah masyhur dengan Wayang Kulit karagos . Karagos bererti ‘Pahlawan Bermata Hitam.’ Karagos menceritakan tentang kisah-kisah kepahlawanan seperti Salahuddin al-Ayyubi yang mengalahkan Ricard Berhati Singa yang terkenal gagah berani. Setiap bulan Ramadhan, karagos akan dipersembahkan, terutama untuk menyambut ketibaan bulan tersebut, sebagai tanda mengingati pejuang-pejuang Islam.
Sesungguhnya seni lakon boleh mendatangkan faedah yang banyak kepada manusia kerana ia mempunyai pengaruh yang tinggi dan mendalam kepada masyarakat. Seni lakon boleh dimanfaatkan mengikut kehendak mereka yang menjayakannya. Pelbagai faedah boleh didapati sekiranya itu yang menjadi matlamat kepada mereka yang terlibat dengan sesuatu bentuk seni lakon yang dihasilkan. Antara peranan dan manfaat yang boleh didapati ialah:
Pertama: Pengkisahan sejarah dengan penghayatan yang tinggi kerana dipersembahkan seolah-olah sedang berlaku.
Kedua: Perantaraan untuk memberikan keterangan yang lebih jelas.
Ketiga: Salah satu bentuk rekreasi bagi melapangkan pemikiran dan menghiburkan untuk mengembalikan kecergasan.
Keempat: Menganalisis masalah masyarakat dan mencari jalan penyelesaiannya.
Kelima: Membina kemampuan penonton untuk memberi kritikan dan pandangan.
Keenam: Menimbulkan kesedaran dalam diri penonton.
Ketujuah: Perantaraan pendidikan khususnya di sekolah-sekolah.
Kelapan: Membantu perubahan sosial yang positif.
Kesembilan: Menjelaskan balasan baik bagi kebaikan dan balasan buruk bagi setiap keburukan.
Kita menyedari bahawa terdapat banyak perkara yang tidak dapat disampaikan dengan saluran lain tetapi berjaya disampaikan melalui seni lakon. Kesedaran masyarakat untuk meningkatkan ekonomi, pendidikan dan sebagainya dapat dilahirkan dalam drama.
Namun begitu seni lakon juga sering menimbulkan kontroversi kerana wujud disebaliknya kesan negatif. Seni lakon bersifat dwifungsi iaitu boleh digunakan ke arah kebaikan dan sebaliknya lebih mudah untuk digunakan sebaliknya iaitu membawa kesan buruk. Selain daripada itu seni lakon selalunya mencari daya tarikan tersendiri dengan cara yang lebih mudah oleh itu mereka mempersembahkan sesuatu di luar batasan. Antara perkara mudarat yang dibawa oleh seni lakon ialah:-
Pertama: Mencemari tatasusila agama. Membangkit dan merangsang ke arah yang tidak baik. Contohnya menunjukkan cara-cara melakukan rompakan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.
Kedua: Mencemari sejarah dengan melakonkan sesuatu yang tidak menepati sejarah. Selalunya lakonan seperti ini memang bertujuan untuk menutup apa sebenarnya yang berlaku dalam sejarah.
Ketiga: Melekakan penonton hingga lupa tanggungjawab.
Keempat: Menimbulkan rasa sombong di kalangan golongan tertentu, seperti orang yang mempunyai kedudukan, kekayaan dan “glamour”, apabila lakonan sering menunjukkan keistimewaan golongan ini.
Meskipun seni lakon banyak manfaatnya tetapi apabila dia bercampur dengan kemudaratan maka timbul perbagai masalah dalam penentuan hukumnya dalam Islam. As-Syarbasi juga mencatitkan pandangan ulama al-Azhar yang menyatakan filem ialah senjata mempunyai dua kegunaan iaitu:
Pertama: Digunakan untuk kebaikan akan memberi manfaat kepada ummah dan negara.
Kedua: Menjadikannya senjata yang merbahaya dan membawa kepada keruntuhan dan kehancuran fizikal dan rohani.
Yusuf Al-Qardawi juga memberikan pandangan yang sama bahawa filem adalah alat untuk memberikan pendidikan di samping memberi hiburan. Beliau juga menjelaskan bahawa ianya adalah perkara yang halal dan baik bahkan kadang-kadang membawa kepada perkara yang dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara yang ditegah oleh syarak.
Berdasarkan kepada pandangan-pandangan ulama’ yang mashur kita boleh membuat beberapa garis panduan mengenai seni lakon antaranya;
Pertama: Seni lakon pada asalnya adalah harus berdasarkan kepada kaedah setiap sesuatu yang tidak disebutkan oleh nas tentang haramnya adalah dianggap harus.
Kedua: Seni lakon merupakan saluran pendidikan yang berkesan dengan bertindak sebagai contoh dan teladan.
Ketiga: Drama yang melanggar batasan syariat seperti tidak membataskan pergaulan antara wanita dan lelaki, pendedahan aurat dan sebagainya adalah haram di sisi Islam.
Keempat: Drama mestilah tidak memberi kesan buruk kepada pelakon dan penontonnya. Ini bersesuaian dengan kaedah setiap yang membawa kepada haram adalah haram.
Sebagai kesimpulannya seni lakon adalah suatu amalan rekreasi yang diharuskan oleh Islam selagi mana ianya tidak bercanggah dengan ketetapan syarak.