Salah satu amalan rekreasi yang sangat digemari dan berkembang pesat di negara kita ialah bidang seni suara. Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suaranya yang tersendiri. Pada umumnya seni suara bertujuan untuk mendapat hiburan dan keseronokan.
Al Quran juga menerangkan kepada kita mengenai bidang seni suara. Contohnya firman Allah s.w.t dalam surah Luqman ayat ke 6, yang bermaksud :
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina”.
Kebanyakan ulama tafsir berpendapat bahawa “laghwa al-hadith” ialah nyanyian. Dan seterusnya Allah berfirman dalam surah al Isra’ ayat 64, yang bermaksud :
“Pujuklah (wahai Iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (sawtika)”.
Mujahid menjelaskan ajakanmu (sawtika) dalam ayat ialah nyanyian dan serunai. Seterusnya dalam surah Syu’ara ayat 224 – 227, Allah berfirman yang bermaksud :
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidaklah kamu perhatikan mereka merayau-rayau di tiap-tiap lembah dan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan kecuali orang yang beriman dan beramal salih, banyak mengingati Allah serta mereka membela diri selepas dizalimi. Dan orang yang zalim akan mengetahui ke tempat mereka akan kembali”.
Apa yang dapat difahamkan dalam ayat-ayat di atas bahawa Allah s.w.t. mengutuk nyanyian yang digunakan untuk menyesatkan manusia dari agama Allah s.w.t. Begitu juga syaitan menggunakan media nyanyian dan muzik untuk melalaikan manusia dari tanggungjawabnya terhadap agama Allah s.w.t. Seterusnya Allah s.w.t. mengecam penyair-penyair yang tidak beriman dan menjalankan kegiatan hidupnya tanpa matlamat, berusaha menyesatkan orang ramai dan mencari pengaruh dengan menggunakan syairnya. Tetapi penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta sentiasa menjalankan tanggungjawab agama dengan baik tidak termasuk dalam golongan yang dikutuk oleh Allah s.w.t. kerana syair-syair mereka mengajak orang ramai kepada kebaikan.
Selain itu terdapat juga hadis yang menerangkan akan kedudukan seni suara. Contohnya Termizi meriwayatkan daripada Aisyah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud
“Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana”.
Sejarah Islam juga turut menceritakan kepada kita bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang-pejuang Islam apabila berada di dalam peperangan.
Daripada hadis dan sejarah di atas menjelaskan bahawa nyanyian dan bunyian boleh diadakan dalam majlis perkahwinan, dasn begitulah juga pada hari-hari perayaan dan kebesaran tertentu dan juga dalam peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat. Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.
Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh Al-Azhar berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Apabila membincangkan mengenai seni suara, hal-hal seperti susunan kata yang haram, kedudukan penyanyi perempuan, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan orang, majlis yang disertai minuman haram dan percampuran lelaki dan perempuan, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.
Begitu juga syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi seperti
- Niat
- Tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah, seperti
- Syirik
- Kufur
- Nifak
- Tidak bercanggah dengan syariat Islam, seperti
- Haram
- Syubahat
- Tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t.
- Menutup aurat
- Sentiasa menjaga adab-adab pergaulan.
- Tiada unsur perjudian (pertaruhan)
- Tidak berlaku pembaziran
Juga tujuannya hendaklah betul, seperti
- Untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan
- Jalan untuk takarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t.
- Menjalin hubungan sesama manusia dan mesra alam.
Sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya keinginan kita menyemarakkan Islam mengambilkira dan mempastikan segala cabang lapangan hidup masakini di warnai oleh unsur-unsur yang Islamik, termasuk seni suara dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas. Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan rekreasi dan seni supaya ianya dapat dilahirkan menerusi sikap tasamuh Islam?
Sesungguhnya masalah dan perdebatan inilah yang ingin dicari penyelesainya supaya ianya menjadi satu titik tolak ke arah yang lebih bermakna demi mendapatkan keredaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi seni suara.