Walau apapun tanggapan tentang isu murtad dan mayat bertukar menjadi khinzir yang diheboh-hebohkan selama ini, saya fikir umat lslam di Malaysia perlu diberi penjelasan yang terang dan telus tentang perkara ini. Isu-isu ini harus difahami dengan semasak-masaknya dan dengan segala fakta dan buktinya, supaya ianya dapat diselesaikan dengan baik dan memuaskan semua pihak. Pihak-pihak yang menimbulkan isu ini perlu diberi peluang untuk menjelaskan pandangan mereka dan memberikan bukti-bukti yang konkrit untuk menegakkan hujah mereka dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Sekiranya mereka benar-benar dapat memberikan bukti dan fakta-fakta yang benar-benar dapat menegakkan pandangan mereka, maka pandangan itu haruslah diberikan perhatian berat dan seterusnya diambil tindakan yang sewajarnya.
Saya rasa pihak Kerajaan dan alim ulamak harus bersatu dan mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini daripada membiarkannya menjadi isu yang dipolitikkan secara sempit dan penuh taksub, atau menjadi berita angin dan spekulasi kosong yang diedarkan ke seluruh dunia melalui internet dan e-mail.
Saya fikir para mufti dan alim ulamak yang berwibawa di negara kita tentu sanggup untuk membincangkan isu-isu ini secara terbuka dengan pihak-pihak yang menimbulkannya. Masing-masing dapat memahami dan menyelami isu ini bertolak dari platform yang sama iaitu berasaskan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
Saya telahpun menimbulkan isu ini dalam tulisan saya yang lalu, iaitu sekiranya isu ini tidak dikemukakan dengan bukti-bukti dan fakta yang jelas, maka kita seolah-olah berada dalam suasana kabur; ngeri, takut dan emosi yang tidak tentu arah, yang kita sendiri tidak pasti dan faham apakah isu yang kita bicarakan. Pihak-pihak yang menimbulkan isu-isu ini seolah-olah sengaja memperkecil-kecilkan tahap pemikiran dan intelek orang-orang lslam.
Isu mayat menjadi khinzir umpamanya, apakah perkara ini terbukti berlaku dalam masyarakat kita? Bolehkah dibuktikan dengan mata kepala yang nyata dengan saksi-saksinya yang hidup yang dapat meyakinkan kejadiannya sehingga orang ramai dapat mempercayainya? Ataupun adakah ianya merupakan andaian dan khayalan individu tertentu bertujuan untuk memberi amaran kepada orang-orang lslam tentang akibat yang akan diterimanya sekiranya ia melakukan kelakuan-kelakuan yang tidak baik?
Di sinilah saya bertanya apakah kerana terlalu ghairah untuk memberi amaran kepada orang lslam maka kita perlu mereka-rekakan cerita yang bukan-bukan dan menakut-nakutkan, sedangkan cerita itu tidak benar? Apakah pada zaman kemajuan ilmu pengetahuan yang tinggi pada masa ini pun kita tidak mempunyai jalan lain untuk berdakwah, iaitu melalui jalan yang lebih dekat kepada pemikiran dan tamadun manusia sekarang?
Saya beranggapan bahawa sekiranya kita mahu menggunakan cerita-cerita rekaan dan andaian-andaian yang tertentu untuk mengembangkan agama kita pada zaman ini maka kita akan dituduh sebagai umat yang kuno dan masih berpegang teguh kepada khurafat untuk menegakkan agama kita. Tetapi sekiranya cerita-cerita itu merupakan cerita benar yang dapat dibuktikan dengan segala kenyataan dan realitinya, maka ayuhlah, kemukakan kepada masyarakat, dan saya percaya masyarakat akan menerimanya dengan penuh rela dan akur.
Sebaliknya jika cerita-cerita itu tidak benar dan merupakan rekaan semata-mata, maka pihak yang membawakan cerita-cerita itu haruslah menafikannya dan kembali ke pangkal jalan dengan mengakui kebenaran secara ikhlas dan jujur, dan menerima hakikat yang sebenarnya itu.
Demikian juga dengan isu murtad yang dibangkitkan sekarang, maka isu ini juga merupakan isu serius yang harus diberikan perhatian sewajarnya, kerana perbuatan murtad bukanlah satu perkara ringan dan boleh dibiarkan begitu saja tanpa ditangani dengan bersungguh-sungguh. Telah banyak diperkatakan tentang perkara ini, malah telah banyak pula fakta yang dikemukakan oleh berbagai-bagai pihak tentang dorongan murtad, statistik dan perangkaan kes-kes murtad yang berlaku. Isu ini juga pada umumnya masih dalam bentuk yang kabur dan tidak muktamad. Orang awam perlu mengetahui fakta dan perangkaan yang sebenarnya. Amat mendukacitakan bahawa hal ini juga menjadi isu spekulasi dan sebaran yang bagi kebanyakan orang lslam tambah membingungkan, apakah fakta dan perangkaan yang dikemukakan itu benar atau tidak dan kalau benar apakah tindakan yang harus diambil oleh masyarakat dan kerajaan, dan sekiranya tidak benar maka bagaimanakah caranya menghapuskan kekeliruan yang ditimbulkan dalam hal ini.
Apa yang berlaku sekarang merupakan satu kekeliruan dan kesalahfahaman yang timbul di kalangan masyarakat lslam disebabkan terputusnya komunikasi dan perhubungan di antara pihak-pihak yang bertanggungjawab dan para bijak pandai dan ulamak lslam. Kedua-dua belah pihak perlu berkomunikasi secara ikhlas dan jujur, dan kedua belah pihak harus mempunyai perasaan bertanggungjawab, penuh ikhlas untuk mencari penyelesaian yang baik, jauh dari rasa taksub dan kepentingan-kepentingan tertentu.
Umat lslam tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kekecohan ini sebegitu lama, tanpa mendapat penjelasan dan hakikat yang sebenar-benamya tentang isu ini. Orang awam perlu mendapatkan maklumat yang sebenar tentang beberapa isu kontraversi yang ditimbulkan itu. Kadang-kadang orang awam lebih mempercayai cerita-cerita khurafat dan sensasi, sekiranya mereka tidak mendapat penjelasan yang sebenarnya dari pihak yang berwibawa tentang kedudukan isu itu. Malah amat mendukacitakan bahawa kebanyakan kita di Malaysia ini lebih mempercayai khabar-khabar angin dan cerita-cerita fitnah dari mendengar kenyataan dan maklumat yang diberikan oleh pihak otoriti.
Dalam keadaan yang berlaku sekarang, kekeliruan yang ditimbulkan oleh isu ini lebih membingungkan, kerana kemajuan pesat teknologi maklumat telah digunakan sepenuhnya untuk menyibarkan isu-isu ini, dan pihak yang bertanggungjawab tentang agama di negara kita tidak pula mengambil peluang untuk menjelaskan kedudukan ini melalui saluran yang sama.
Oleh itu untuk mencari penyelesaian dan mengatasi masalah yang ditimbulkan dalam isu-isu ini saya berpandangan bahawa pihak kerajaan melalui agensi-agensi keagamaan di pusat dan di negeri-negeri haruslah berusaha membuka komunikasi dan perbincangan secara berterus terang terutamanya dengan pihak-pihak yang sering menimbulkan isu-isu ini.