Isu DNA babi yang masih berlegar di negara kita banyak menyerlahkan kepelbagaian pendapat, idea, dan suara hati masyarakat. Masing-masing mempunyai hujah dan pandangan tersendiri. Keprihatinan dan kepedulian masyarakat Islam terhadap tahap kehalalan sesuatu produk makanan dan kegunaan harian haruslah dipuji. Ia benar-benar mencetuskan polemik terhangat di ruangan media mahu pun menjadi bualan mulut masyarakat. Sensitiviti terhadap isu ini menunjukkan bahawa umat Islam peka dengan setiap apa yang disuapkan ke mulut. Namun, sebagai orang awam, isu ini seharusnya diserahkan sahaja kepada pihak yang berautoriti dalam industri halal negara. Bukan itu sahaja, malah usahlah mudah meletakkan hukum sekiranya tiada ilmu dan kepakaran mengenainya lebih-lebih lagi tentang agama. Ia bakal mengundang label kedangkalan agama pada diri seseorang.
Dalam isu ini, terdapat sebilangan masyarakat yang cuba untuk menafsir dan memberikan hukum berasaskan pendapat emosi sendiri. Tahap kepedulian amatlah baik namun tahap keberagamaan tidak harus diletakkan selari dengan emosi yang membuak-buak sehingga tidak jelas panduan agama yang telah digariskan. Urusan agama biarlah diserahkan kepada ahli atau pakarnya. Tidak berhak untuk kita mengutarakan malah mentahkikkan sesuatu pendapat yang melibatkan hukum. Apatah lagi cuba menjadi pakar agama menyebarkannya di ruang maya media sosial, blog mahupun media sensasi lain. Adakalanya kita sukar untuk me”visualisasi”kan dimanakah tahap keberagamaan kita sehingga mudah dikuasai oleh pengaruh untuk memberi pendapat dan teori yang mengkecamukkan lagi keributan yang sedia ada.
Beragama tanpa akal akan didominasikan oleh hujah yang emosional tanpa rasional. Biarpun kita amat prihatin terhadap kehalalan atau keharaman sesuatu makanan tetapi tidak meletakkan kita terburu-buru dalam membuat keputusan dan tidak menerima pandangan yang diberikan oleh alim ulama. Benar, semuanya merupakan pilihan kita sama ada memilih untuk mengambilnya mahupun menjauhinya. Namun, menggesakan cadangan ekstrem seperti menyamak mulut dan menukar darah bagi yang telah termakan benda yang haram adalah cukup menyusahkan dan tidak masuk akal. Islam itu mudah tetapi bukan bermakna perlu mengambil mudah dalam semua perkara. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda; “Sesungguhnya Allah melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatu (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka”.
Isu yang masih membugar dalam negara kita ini telah mewujudkan perbezaan pendapat dalam kalangan mereka yang ahli, namun ia adalah suatu perkembangan yang sihat sekiranya dilihat dari sudut positif. Perbezaan hujah dan pendapat mengikut ilmu dan kefahaman ulama, masing-masing dapat mewujudkan masyarakat yang prihatin membaca, peka, dan berfikir. Jika sebelum ini, barangkali istilah istihalah tidak begitu meluas dimaklumi kewujudannya, namun sekarang ia telah menjadi suatu bualan bagi umat Islam. Bukankah itu satu perkembangan ilmu yang baik untuk mewujudkan masyarakat dinamik yang berilmu? Namun begitu, apabila berhadapan dengan isu yang melibatkan perbezaan pendapat ini, sikap terpuji yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita ialah tidak mudah membuat andaian dan mencerca para ulama yang berbeza pandangan dengan kita.
Barangkali disebabkan tidak biasa berdepan dengan permasalahan khilaf, mencaci dan mengkeji dijadikan pakaian bagi yang tidak bersetuju dengan satu-satu pendapat. Walaubagaimana pun, perbincangan fiqh sepatutnya dilihat dalam konteks yang luas dan bukannya terikat kepada sesuatu pendapat sahaja.Keterbukaan fiqh islami khususnya dalam perkara yang menjadi fitnah dan ancaman pada akhir zaman ini perlu dipandang daripada sudut yang positif. Tidak perlu untuk mencerca pandangan yang berbeza kerana sudah pasti ulama juga mempunyai ilmu berdasarkan kefahaman masing-masing. Jika disoroti sejarah, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menyuarakan; “Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi SAW tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka adalah imam-imam yang diikuti. Kalau seseorang dapat mengambil pendapat seseorang dari kalangan mereka, maka akan wujudlah keluasan.” Perselisihan dan perbezaan pendapat dalam Islam adalah suatu yang amat diraikan dan merupakan rahmat kepada semua manusia. Daripadanya akan terbitlah perbahasan-perbahasan ilmu dan keluasannya sekiranya ditangani dan dihadapi dengan berlapang dada.
Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir masyarakat yang mengambil sikap tidak terburu-buru dalam membuat penilaian. Golongan ini tidak meletakkan emosi sebagai akar perbincangan sesuatu masalah. Sebaliknya, mengambil inisiatif mengkaji dengan lebih terperinci dan bertanyakan kepada pihak yang lebih arif tentang keabsahan sesuatu perkara. Sikap sebegini patut dipuji dan ia harus disemai menjadi tabiat yang baik apabila berhadapan dengan kekalutan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Mereka yang gagal menanggapi dan menangani isu DNA babi ini dengan sewajarnya, akan mengusutkan lagi keadaan. Akhirnya isu-isu pinggiran seperti sikap inilah yang akan mengambil tempat dan menenggelamkan isu utama yang perlu diperbahas dan diperincikan. Ia akan merugikan dan melemahkan umat Islam itu sendiri disebabkan sikap yang tidak dipandu dengan ilmu dan akal yang baik.
Apabila berhadapan dengan isu ini, pihak pengguna Muslim perlu bertindak secara rasional dan tegas. Kita harus meletakkan sandaran dan kepercayaan kepada pihak yang mempunyai autoriti dalam penentuan halal dan haram. Di samping itu, adalah lebih baik juga melihat kepada pandangan yang lebih wara’ sekiranya terdapat keraguan dan ketidakpastian. Sepertimana sabda Nabi SAW;”Tinggallah perkara yang kamu ragu kepada perkara yang tidak meragukan”. Apatah lagi dalam kemelut isu DNA babi ini pula bukanlah melibatkan makanan ruji dan pengguna masih lagi mempunyai kepelbagaian pilihan makanan. Malah, tiada faktor keterdesakan atau darurat untuk mengambil makanan yang diragui kehalalannya. Semuanya terletak di tangan pengguna bagi memilih yang terbaik untuk diri sendiri.
Polemik DNA babi ini memberi banyak tekanan kepada umat Islam dari pelbagai sudut. Mudah-mudahan ia akan membuka minda dan jalan penyelesaian kepada umat Islam untuk merintis dan menggiatkan lagi industri halal dan bukan sekadar sebagai masyarakat pengguna. Namun tahap kepedulian masyarakat terhadap makanan dan barangan kegunaan perlu ditingkatkan dengan ilmu dan informasi yang tepat. Bukan sekadar mempercayai bulat-bulat kepada maklumat yang masih samar kesahihannya. Ia bakal mengeruhkan lagi kekalutan yang sedia ada. Tangani dengan emosi yang segar, bukan menilai dengan sikap terburu-buru kerana ia juga menunjukkan kedangkalan tahap keberagamaan kita!