Negara kita dikejutkan dengan isu coklat yang dikatakan mempunyai DNA babi. Sudah bertahun-tahun coklat tersebut berada di pasaran tiba-tiba ia diumumkan mengandungi DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ada yang telah membeli coklat tersebut dengan kuantiti yang banyak semasa bercuti ke tempat bebas cukai. Mereka rasa serba salah samada hendak dibuang coklat yang dibeli memandangkan banyak duit telah dibelanjakan.
Timbul pula persolan bagaimana hendak menyucikan diri setelah bertahun-tahun tercemar dengan DNA babi? Maka timbullah cakap-cakap untuk menyamak mulut serta menyuci darah yang sudah tercemar.
Bagaimanapun Majlis Fatwa Kebangsaan telah merumuskan umat Islam yang termakan coklat itu tidak perlu ragu-ragu. Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan.
Umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam keadaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan.
Bagaimanapun setelah kekecohan tersebut, dua produk coklat yang sebelum ini dilaporkan mengandungi DNA babi disahkan bebas daripada unsur haram itu berdasarkan analisis yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Justeru kita dapati terdapat dua penemuan yang berbeza dalam hal ini. Kementerian Kesihatan Malaysia pula masih tetap dengan pendirian mereka yang terdahulu bahawa dua produk coklat tersebut mengandungi DNA babi.
Adalah jelas keadaan ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. Yang mana satu harus diyakini. Keyakinan pengguna merudum dengan teruk dalam hal ini apabila terdapat percanggahan di antara institusi yang terlibat. Masyarakat juga dijangka mengambil masa untuk meningkatkan kembali keyakinan kepada coklat yang dimaksudkan.
Belum pun selesai isu coklat, timbul pula krisis minyak masak. Beberapa daerah di Selangor mengalami masalah bekalan minyak masak peket. Bekalan minyak masak peket di kedai-kedai runcit dan pasar mini dilihat berkurangan dan mula mencetuskan kebimbangan pengguna bekalan minyak habis.
Masalah timbul kerana tempahan daripada pemborong lambat sampai sehingga pekedai terpaksa menghadkan jualan. Malah bekalan bukan sahaja lewat sampai tetapi kurang dari tempahan.
Bekalan minyak masak didakwa berkurangan setiap kali menjelang Ramadan sehingga merungsingkan masyarakat. Setiap tahun menjelang Ramadan minyak masak akan berkurangan sedangkan tiada masalah timbul sebelum ini.
Perkara ini turut menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kebosanan pengguna. Mengapa masalah ini dibiarkan berlarutan tahun demi tahun tanpa apa-apa tindakan? Apakah punca perkara ini berlaku? Atau siapakah dalang di sebalik krisis bekalan ini? Siapakah pihak-pihak yang berkepentingan dalam hal ini? Memang banyak persoalan yang timbul dalam menghadapi isu ini.
Kita tidak hairan tidak lama lagi akan berlaku kekurangan bekalan tepung, gula dan ayam di pasaran. Minyak masak ini hanyalah permulaan sahaja. Ia akan disusuli dengan kekurangan bekalan barangan lain di pasaran.
Undang-undang yang tersedia ada hanyalah menjadi momokan masyarakat. Keadaannya hanya seperti batuk di tangga, apabila ada yang membuat laporan baru diambil tindakan. Apa yang jelas undang-undang tidak mampu membantu mengembalikan kembali keyakinan pengguna.
Keyakinan pengguna adalah suatu faktor yang penting dalam perniagaan kerana apabila pengguna yakin, mereka tidak akan teragak-agak untuk berbelanja dan ini akan memanfaatkan perniagaan. Oleh itu tidak rugi mengambil langkah-langkah untuk mengembalikan semula keyakinan pengguna.
Agak malang jika masalah-masalah yang disebut di atas tidak dapat diatasi. Ia hanya menggambarkan kecelaruan tindakan dan fikiran masyarakat di negara ini. Kita seolah-olah tiada hala tuju dan masih tercari-cari arah yang difikirkan sesuai.
Masih banyak lagi perkara yang belum dapat diselesaikan dalam negara. Jika situasi ini berlarutan, maka janganlah bermimpi untuk mencapai status negara maju dalam tahun 2020. Ini kerana perjalanan ke arah itu dilihat masih jauh lagi.