MASYARAKAT Islam di negara kita sekali lagi dikejutkan dengan berita penyelewengan moral dan gejala keruntuhan nilai yang amat serius dengan kemunculan golongan pelajar antiagama dan ketuhanan.
Malah kali ini kemelut itu menjadi amat serius kerana ia melibatkan akidah dan keimanan kepada Allah s.w.t. Kumpulan yang bergelar black metal ini mempunyai acara kerja yang tidak pernah tergambar di dalam pemikiran kita selama ini.
Yang mungkin diketahui selama ini bahawa black metal adalah sesuatu yang mempunyai kaitan dengan muzik rancak dan tarian kegila-gilaan oleh anak-anak muda untuk melepaskan ketegangan dan perasaan boring di kalangan mereka.
Kita tidak tahu bahawa selama ini aktiviti itu seterusnya menjelma dalam kumpulan black metal yang menyentuh penyelewengan akidah dan iman.
Kalau benar apa yang diberitakan tentang kumpulan ini, maka nampaknya mereka mempunyai ahli-ahli yang tetap dan sedang aktif bagi mendapatkan ahli-ahli baru.
Ahli-ahli baru ini pula seharusnya melalui beberapa acara sebelum memasuki kumpulan tersebut, maka dalam proses inilah agaknya mereka seharusnya meminum darah kambing dan acara lain untuk menguji kesetiaan mereka.
Mungkin juga seperti yang diberitakan bahawa mereka yang menyertai kumpulan ini yang terdiri daripada kalangan anak muda Islam merasakan mereka sedang berjihad menentang agama lain, iaitu dalam lambang mereka bahawa kumpulan ini adalah anti-Kristian.
Pelajar-pelajar Islam diberikan gambaran bahawa mereka sedang berjihad menentang Kristian. Pada hal falsafah aktiviti kumpulan ini sebenarnya tidaklah membawa konsep tersebut.
Saya mendengar beberapa penjelasan yang menyebut bahawa gerakan anti-Kristian ini adalah gerakan umum menentang Tuhan, apa sahaja bentuk Tuhan di dalam sebarang agama. Sebab itulah mereka bertindak memuja syaitan, kerana syaitan melambangkan penentangan terhadap Tuhan.
Dalam Islam iblis itulah makhluk yang menentang Tuhan. Tegasnya gerakan ini adalah gerakan menentang Tuhan dan hal ini membawa kepada perbuatan memijak kitab suci al-Quran oleh mereka yang terlalu fanatik dengan kumpulan ini.
Malah mengikut maklumat yang disebarkan, bahawa kumpulan ini bukan hanya menghina al-Quran malah telah mengambil tindakan yang sama terhadap kitab-kitab suci agama lain.
Bagaimanapun saya tidaklah dapat mengesahkan maklumat ini sama ada betul keseluruhannya atau pun tidak.
Namun peristiwa ini amat berbahaya dan amatlah mengejutkan kita, terutamanya orang Melayu yang keseluruhannya beragama Islam dan ianya berlaku ketika umat keseluruhannya sedang mengalami proses penghayatan nilai-nilai Islam dan menyaksikan era kebangkitan Islam yang pesat di mana umat Islam berlumba-lumba untuk memahkotakan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap.
Dalam proses pembangunan Islam yang pesat ini, salah satu bidang yang ditekankan ialah pendidikan agama.
Kita bertuah kerana perlembagaan negara melindungi dan mendaulatkan Islam sebagai agama negara, maka semua aktiviti pendidikan agama dapat dijalankan dengan baik.
Maka dalam hal inilah kita telah menyaksikan bagaimana sistem dan kurikulum pendidikan agama telah mengalami banyak perubahan, dengan penambahan tenaga pengajar yang berkelayakan dan berkemampuan tinggi dalam bidang agama.
Selain daripada itu buku-buku teks agama telah diterbitkan dengan banyaknya, termasuk buku-buku rujukan dalam bidang agama.
Maka menyedari akan hal ini kita menjadi bertambah terkejut dengan perkembangan yang berlaku tentang keruntuhan moral yang melibatkan pencemaran akidah di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang menyertai kumpulan Black Metal, termasuk pelajar-pelajar sekolah agama.
Kita tertanya-tanya apakah pelajaran agama yang mereka pelajari itu tidak sedikit pun memberi kesan ke arah penghayatannya di dalam kehidupan mereka?
Apakah pelajaran tentang rukun Islam dan rukun iman yang mereka pelajari itu tidak begitu teguh untuk menentang cabaran yang boleh menggoyangkan akidah dan iman mereka? Di manakah hilangnya pelajaran mereka yang telah disampaikan oleh guru-guru mereka yang berkemampuan dan berkelayakan itu?
Saya memang sedar bahawa semasa zaman saya dahulu, guru-guru agama saya hanya pandai membaca mukadam dan Quran sahaja, serta sedikit-sedikit ilmu tajwid dan ibadah, tetapi pada waktu itu iman kami nampaknya amat kuat.
Tetapi sekarang ini keadaan telah berubah, cara mengajar, pendekatan kejiwaan oleh para tenaga pengajar, ditambah pula oleh segala kemudahan sekolah, latihan guru, penyusunan buku teks yang baik, semuanya telah mencapai tahap yang tinggi. Jadi di manakah salahnya keadaan sekarang ini, termasuk proses pendidikan di sekolah agama?
Saya gembira juga mendengar bahawa dalam isu ini pihak Majlis Agama Islam Negeri telah pun menjalankan kajiannya sejak sekian lama dan telah mengetahui modus operandi gerakan ini.
Mereka memahami aktiviti kumpulan tersebut, sumpah dan sebagainya yang diamalkan sekian lama. Saya rasa apabila masalah ini telah diketahui oleh pihak yang berkuasa agama, maka agak mudahlah kejadian ini dicari penyelesaiannya dan merancang langkah-langkah yang perlu dilakukan supaya al ini tidak berpanjangan sehingga melibatkan masyarakat Islam yang lebih luas lagi.
Cuma yang menjadi kehairanan saya, kenapakah baru sekarang hal ini diketahui masyarakat. Kenapa media nampaknya telah mendahului pihak berkuasa agama dalam menonjolkan perkara ini secara besar-besaran sehingga menimbulkan gelombang kekecohan yang besar di dalam negara kita, khususnya orang-orang Islam?�
Namun apa pun yang terjadi, maka sekarang ini telah sampailah masanya bagi masyarakat Islam keseluruhannya berusaha mencari jalan untuk mencerminkan diri sendiri dan mencuba untuk memperbaiki mana-mana yang salah dan memperkemaskan mana-mana yang longgar di dalam diri masing-masing.
Kita perlu melakukan koreksi diri dengan penuh ikhlas dan jujur. Oleh itu saya merasakan bahawa hal ini mempunyai hikmah yang besar kepada masyarakat Islam di negara kita. Loceng jam telah bersuara dengan nyaringnya bagi menyedarkan kita daripada tidur nyenyak supaya segera bangun melakukan sesuatu untuk kepentingan anak cucu kita pada masa yang akan datang.
Orang Melayu tidak seharusnya sibuk dengan isu sampingan yang telah banyak menghabiskan masa kita sekian lama.
Masalah politiking sempit, siapa ke syurga atau ke neraka, nama asal penganut Islam perlu ditukar atau tidak, dan berbagai-bagai persoalan seperti ini telah banyak memakan masa kita dan sekiranya dibangkitkan lagi, maka ianya tidak akan habis-habis sehingga ke hari kiamat.
Sekarang cubalah setiap orang Islam bertanyakan diri sendiri apakah hubungannya dengan masalah yang dihadapi tentang penyelewengan akidah dan moral ini.
Apakah peranan masing-masing untuk mengatasi masalah ini atas sifat individu, keluarga, sekolah, masyarakat, pemerintah, pemimpin kaum dan sebagainya? Ataupun isu ini juga harus dipolitikkan?