Di penghujung tahun 2023 ini beberapa isu yang berlegar-legar di media sosial yang hangat diperkatakan oleh netizen. Banyaklah ‘pakar-pakar’ yang tak bertauliah yang memberi komen-komen mereka samada yang menyokong atau membangkang isu-isu tersebut. Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi rakyatnya bebas memberi pandangan mengenai sesuatu isu tetapi mesti dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang di negara ini.
Janganlah seperti kata pepatah ‘kerana mulut badan binasa” tetapi kini bukan hanya kerana mulut semata-mata akan binasa tetapi kerana jari jemari yang membuat ‘posting’ di media sosial yang mana akhirnya akan dihadapkan ke mahkamah dunia dan akan menunggu satu lagi perbicaraan atau balasan iaitu di akhirat nanti.
Dalam Al-Quran Allah SWT kabarkan kepada hamba-hambaNya bahawa setiap amal kebaikan atau keburukan walau sebesar ‘zarah’ pun pasti akan menerima balasannya masing-masing. “Maka, sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”. [Surah al-Zalzalah;7-8]
Isu Identiti Digital Nasional ( Digital ID Nasional), siasatan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin, isu doktor hamil 4 bulan ditemui mati tergantung, lambakan warga asing, amaran serangan siber dan terkini mengenai adik Zyan Rayyan yang hilang di Damansara Damai yang disyaki dibunuh dan isu luar negara yang paling menyedihkan kita semua adalah isu Palestin yang melibatkan korban nyawa setakat ini adalah 17,487 orang. [Astro Awani, 9 Disember 2023].
Apabila kita memperkatan mengenai ID Digital Nasional, daripada tinjauan saya di laman sosial apa yang membimbangkan sebahagian dari rakyat Malaysia adalah berkaitan keselamatan data tersebut dan undang-undang siber di Malaysia ini. Apa yang dapat dirisaukan ialah data-data rakyat Malaysia akan dijual di “dark web” atau dijual kepada pihak tertentu seperti pengutip hutang, penyiasat persendirian dan lain-lain. Jika ini berlaku siapakah yang perlu bertanggungjawab atau akan dikenakan tindakan undang-undang? Aktiviti penjualan data-data peribadi ini sukar untuk dikesan terutama apabila melibatkan ‘orang dalam’.
Kesan daripada kebocoran data peribadi ini telah muncul begitu banyak ‘scammer-scammer’ yang memperdayakan rakyat Malaysia mengakibatkan kerugian berjumlah RM1.2 bilion dari Jan hingga Sept 2022. Isu ini seakan-akan tiada titik noktah kerana pihak scammer akan sentiasa menukar modus operandi mereka.
Isu kutipan derma daripada orang awam ini telah lama berlaku tanpa ada satu mekanisme khusus untuk mengawal selia kutipan dana tersebut. Dengan menggunakan imej-imej Islam mereka ini menggunakan berbagai-bagai kaedah untuk mengaburi rakyat Malaysia. Kalau dahulu kutipan ini berlaku dari rumah ke rumah, di masjid-masjid, surau-surau atau di stesen-stesen minyak tetapi kini dilakukan pemindahan wang secara atas talian, penggunaan kad kredit, QR Code dan lain-lain lagi.
Saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar diwajibkan kepada pihak-pihak yang ingin mengutip derma menggunakan satu sistem yang berasaskan “blockchain”. Sistem ini akan dapat menjejak setiap sen yang diterima dan ke mana wang tersebut dibelanjakan secara ‘real time’ atau masa sebenar. Jadi, pihak berkuasa dapat mengakses atau mengaudit akaun tersebut secara atas talian dan pada bila-bila masa. Saya pernah berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran yang telah membangunkan sistem ini dan dapat melihat bagaimana ianya dapat menyelamatkan berbilion-bilion duit rakyat Malaysia.
Isu doktor hamil mati tergantung. Saya tidak bermaksud untuk mengulas isu ini tetapi apa yang ingin saya perkatakan ialah berkaitan dengan ‘work life balance’ iaitu keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan kita. Sejak kebelakangan ini kita dapati ramai warga Malaysia yang membunuh diri atas berbagai faktor seperti tekanan di tempat kerja, faktor kewangan, hilang pekerjaan, masalah rumahtangga, kemurungan dan lain-lain.
Kes bunuh diri di Malaysia meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 631 kes pada 2020. Jumlah ini adalah berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
Kerajaan kini sedang membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan yang dijangka siap tahun 2023. Sistem ini disenaraikan di bawah rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membangunkan sistem ini.
Jika kita renung kembali di era 70an, 80an ketika saya sedang membesar jarang sangat saya mendengar orang Melayu Islam yang membunuh diri tetapi kini dengan kecanggihan teknologi perkataan bunuh diri semakin biasa kedengaran. Perbezaan antara dahulu dan sekarang ialah dari segi kecanggihan teknologi. Mesej-mesej samada daripada Whatsapp, e-mail, telegram, audio, video, dan berbagai-bagai lagi yang diterima di luar waktu pejabat merupakan salah satu punca kita tidak ada lagi “work life balance” dan ini menyumbang kepada stress serta kemurungan.
Pihak kerajaan dan majikan sepatutnya mempunyai satu Pekeliling atau garis panduan berkaitan perkara ini. Cuba kita fikir sejenak, mengapa sebelum WhatsApp ini diperkenalkan iaitu sekitar tahun 2009, atau e-mail serta lain-lain kita telah mencapai berbagai-bagai kecemerlangan dan Malaysia pernah dikenali sebagai “Asian Tiger” sebelum ini. Begitu juga dengan Zaman Kegemilangan Tamadun Islam yang membangun tanpa teknologi seperti sekarang ini.
Sebagai renungan kita bersama, kita diciptakan adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Allah SWT sebagaimana Firman Allah dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat ke 56 mafhumnya “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Maka, Allah SWT jadikan malam itu pula untuk kita berehat kecuali tugasan-tugasan tertentu. Ini dapat kita lihat dalam Firman Allah di dalam beberapa ayat antaranya Surah al-Mukmin ayat 61 “Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat pada nya…..”.Begitu juga pada Surah al-Naml ayat 86 mafhumnya “Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk merea berehat padanya…..” dan pada Surah Naba’ ayat 9-8 mafhumnya “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. Dan Kami menjadikan malam(dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi”.
Di keheningan malam ini juga bangunlah untuk menunaikan solat Tahajud sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al Muzammil ayat 1-8 dan Surah As-Sajadah ayat 16 dan juga Surah Al-Israa’ ayat 79.
Jika dilihat makna kejayaan dari perspektif Islam ianya bukan diukur dari kejayaan material semata-mata seperti memiliki kereta mewah, rumah banglo, simpanan jutaan ringgit tetapi kejayaan yang merangkumi kebahagiaan dunia dan akhirat. Apa yang kita nikmati sekarang ini mungkin kita berfikiran ianya adalah hasil dari usaha kita yang bekerja keras tetapi hakikatnya kesemuanya itu adalah anugerah dari Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu tanpa izin Allah tidak mungkin sesuatu itu akan berlaku.
Akhir sekali, pada pandangan saya, ianya sejajar dengan hasrat kerajaan Madani yang ingin membina satu masyarakat yang beradab, menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, serta maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.