Isu ketidakcukupan wang simpanan bagi mereka yang bakal bersara merupakan satu isu yang sering diperkatakan oleh banyak pihak, baik daripada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri, pakar ekonomi mahupun pihak pembuat dasar. Pelbagai data dan angka diberikan bagi menunjukkan bahawa simpanan KWSP tidak mencukupi bagi menampung keperluan hari tua para pekerja.
Pada Jun 2022 sebagai contoh, Dewan Negara diberitahu 3.2 juta orang ahli KWSP mempunyai simpanan yang amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000. Data yang terkini yang dipetik daripada jawapan bertulis Perdana Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini pula menunjukkan sehingga 31 Disember 2022, 6.7 juta atau 51 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia di bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun masing-masing. Dengan jumlah sebanyak ini, secara purata pencarum tadi akan memperoleh pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun yang berikutnya selepas persaraan beliau.
Walaupun sering diketengahkan, namun pihak-pihak tersebut tidak mengaitkan isu yang dibangkitkan mereka dengan punca yang menyumbang kepada timbulnya masalah ketidakcukupan wang simpanan persaraan ini iaitu gaji dan upah yang rendah yang diterima oleh pekerja di Malaysia.
Secara asasnya, jumlah simpanan terkumpul pencarum adalah bergantung kepada jumlah gaji yang diterima pekerja setiap bulan. Walaupun kadar gabungan caruman wajib yang ditetapkan oleh pihak KWSP kepada pekerja dan majikan adalah tinggi iaitu sekitar 23 peratus daripada upah atau gaji pekerja (iaitu 11 peratus daripada gaji pekerja dan 12 peratus caruman majikan dan angka caruman yang tepat perlu mengikut Jadual Ketiga Akta KWSP 1991), namun jika upah atau gaji yang diterima pekerja adalah rendah, maka jumlah yang terkumpul setiap bulan juga adalah rendah. Situasi ini diburukkan lagi oleh kos sara hidup dan juga masalah pandemik yang berlaku sebelum ini yang merencatkan kegiatan ekonomi penduduk. Bagi membantu rakyat, pihak kerajaan telah membenarkan 4 pengeluaran KWSP oleh ahli. Kesannya RM145 bilion telah dikeluarkan oleh ahli dan 71 peratus atau dua pertiga daripada ahli KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah yang aktif mencarum berada dalam satu situasi di mana mereka dikhuatiri akan bersara di bawah paras kemiskinan.
Isu gaji dan upah yang rendah yang diterima oleh masyarakat pekerja di Malaysia bukan satu perkara baru. Malah 10 tahun lepas, pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013, telah pun memperakui bahawa majoriti pekerja di Malaysia menerima gaji dan upah yang rendah. Keadaan ini menyebabkan simpanan persaraan penduduk juga menjadi rendah. Bersandarkan kepada purata jangka hayat di Malaysia ialah 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 bagi wanita (purata jangka hayat semasa laporan dibuat), pihak UNDP menjangkakan pesara di Malaysia hanya mampu menjalani satu kehidupan asas untuk sekitar 1.8–4.6 tahun sahaja dengan wang simpanan yang ada selepas persaraan mereka. Manakala untuk tempoh lebih 10 tahun berikutnya pihak UNDP meramalkan majoriti penduduk Malaysia tidak akan mempunyai sebarang simpanan bagi menyara kehidupan mereka. Hal yang didedahkan oleh pihak UNDP ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pada 2013, secara keseluruhan, 76.8% atau lebih tiga perempat pencarum KWSP berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan daripada jumlah keseluruhan pencarum aktif, 2.1 juta atau 1/3 menerima gaji kurang daripada RM1000 sahaja sebulan.
Sementara itu penyelidik Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2018 pula mendapati upah semasa bagi pekerja di Malaysia adalah tidak sejajar dengan tahap produktiviti yang mereka hasilkan. Selepas mengambil kira pelarasan produktiviti kerana output di negara penanda aras lebih tinggi disebabkan faktor penggunaan teknologi, analisis nisbah upah kepada produktiviti pekerja Malaysia berbanding pekerja di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jerman dan Singapura mendapati bagi setiap output bernilai USD1,000 yang dihasilkan, para pekerja Malaysia hanya dibayar sebanyak USD340 berbanding USD510 yang diterima oleh pekerja-pekerja di negara penanda aras tersebut. Analisis tersebut turut menemukan kebanyakan industri di Malaysia membayar upah atau gaji yang rendah kepada pekerja berbanding dengan negara penanda aras.
Isu gaji pekerja yang rendah ini juga mendapat perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) apabila ia menyelar Malaysia sebagai “paling kedekut” dalam kalangan negara ASEAN dari segi memberi upah kepada pekerja. Menurut MTEM, jika gaji minimum diukur dan dikaitkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, pekerja di Malaysia hanya menerima 25 peratus daripada KDNK per kapita negara, sedangkan rakan mereka di Indonesia dan Filipina masing-masing menerima sebanyak 84 peratus dan 76 peratus. Walaupun angka ini dibuat berdasarkan kepada gaji minimum terdahulu, yakni sebelum ia ditetapkan pada RM1500 mulai tahun ini, namun situasi ini masih lagi tidak banyak berubah. Malah menurut MTEM, gaji minimum sekarang sebenarnya masih lagi rendah. Ini kerana jika faktor-faktor garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna (IHP) diambil kira dalam pengiraannya, gaji minimum di Malaysia sepatutnya berada pada RM1,832.
Seharusnya penetapan gaji minimum di Malaysia perlu berada di atas PGK atau pada satu tahap yang membolehkan pekerja di Malaysia menjalani satu kehidupan wajar iaitu satu kehidupan yang dirujuk oleh tokoh ilmuwan Islam negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi sebagai tahap kehidupan di mana seseorang individu itu diwajibkan membayar zakat yakni dia sudah melepasi had kifayah atau penentu garis kemiskinan yang digunakan oleh pusat zakat setempat.
Dari sudut yang berbeza, gaji minimum RM1500 mahupun RM1832, masih lagi rendah jika dibandingkan dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu RM2,208. Malah jika PGK ini dijadikan asas, ia juga dilihat masih rendah kerana pihak KWSP sendiri baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan bahawa untuk bersara dengan selesa di Lembah Klang seorang pencarum bujang memerlukan RM2,500 sebulan daripada simpanan persaraan untuk keperluan hariannya. Memandangkan Malaysia sekarang sudah dikategorikan oleh pihak Bank Dunia sebagai sebuah negara menua (negara yang mempunyai lebih 7 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas) dan kadar penuaan penduduk di negara ini dikatakan lebih pantas daripada yang dialami negara maju seperti Perancis, Australia dan Amerika Syarikat, isu gaji rendah yang diterima pekerja Malaysia ini perlu ditangani dengan segera oleh pihak berwajib. Penyelesaian yang tuntas untuk masalah ini bukan sahaja dapat membantu rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua mereka, bahkan ia juga dapat membantu negara keluar daripada perangkap status negara berpendapatan sederhana, status yang dipegang sejak 1992 kepada negara berpendapatan tinggi sebelum 2028.