Sejak beberapa tahun kebelakangan, terdapat kisah-kisah masyarakat setempat mengenai nasib anak-anak yatim yang kurang baik, kerabat atau pengurus harta anak yatim yang melakukan perkara-perkara yang menyeleweng seperti; menahan harta anak yatim untuk diserahkan kepada pentadbir harta anak yatim yang dilantik atau kepada anak (yatim) yang telah sampai umur; memakan harta anak yatim secara batil; menyalah guna derma orang ramai kepada anak yatim; dan lain-lain.
Kisah-kisah seperti ini mempamerkan sifat tamak yang menguasai sifat ihsan dalam diri manusia. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa. Jika sebelum si bapa meninggal dunia, hubungan kekeluargaan sangat akrab. Namun segalanya berubah sebaik sahaja si bapa meninggal dunia dan harta menjadi taruhan. Bagi umat Islam, kita diwajibkan untuk mengambil cakna akan urusan penjagaan dan pentadbiran harta anak yatim, khususnya dalam kalangan kerabat sendiri. Sengaja melakukan penyelewengan akan menyebabkan kita menerima azab yang pedih di akhirat kelak.
Dalam Islam, anak yatim merujuk kepada anak-anak yang telah kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Dari segi adat pula, anak yatim dalam Bahasa Melayu bermaksud anak yang kematian ibu atau bapanya manakala yatim piatu merujuk kepada anak yang kematian kedua-dua ibu bapanya.
Adapun dari segi agama dan adat membawa makna yang berbeza, setiap kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa, atau kedua-duanya hendaklah disantuni dengan baik kerana mereka masih kecil dan tidak memahami perkara yang berlaku ke atas diri mereka. Tidaklah pula dibenarkan anak-anak kecil yang kematian ibu untuk diabaikan atau diselewengkan harta mereka oleh bapa atau kerabat disebabkan anak ini bukan termasuk dalam golongan anak yatim menurut Islam.
Hal demikian kerana, perbuatan seperti itu sudah jelas haram kerana memakan harta secara batil dan menganiaya anak-anak kecil. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan tauladan yang baik terhadap kanak-kanak. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami), orang yang tidak menyayangi orang yang muda (lebih kecil usia) dan orang yang tidak menghormati orang yang dewasa (lebih berusia)” (Riwayat al-Tirmidhī).
Umumnya, individu yang dipertanggungjawabkan ke atas urusan anak yatim ialah kaum kerabat yang terdekat bermula daripada datuk sebelah ayah. Bagi yang tiada waris, tanggungjawab ini jatuh kepada pihak berkuasa. Tanggungjawab ke atas anak yatim bukan sahaja bermaksud menyediakan keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan, akan tetapi turut merangkumi kasih sayang dan menjaga harta anak yatim sehinggalah saat ia diserahkan kembali kepada mereka.
Dalam perihal mengurus harta anak yatim pula, orang yang berhak untuk mengambil alih tugas tersebut ialah individu yang telah diwasiatkan oleh bapa kepada anak yatim untuk menjaga harta mereka. Sekiranya tiada wasiat begitu, maka tanggungjawab menguruskannya adalah terletak pada datuk yakni ayah kepada si mati, kemudian ibunya, ataupun daripada kaum kerabatnya seperti saudara lelaki, bapa saudara, dan seumpamanya (Bayan Linnas Siri ke-72).
Bagaimanapun, hakim boleh memerintahkan individu yang difikirkan paling layak untuk menguruskan harta anak yatim tersebut. Selain itu, individu yang didaftarkan sebagai penama kepada harta alih (seperti wang simpanan dalam institusi kewangan) atau tidak alih (hartanah) tertentu si mati juga menjadi pentadbir harta sebaik sahaja harta itu bertukar menjadi harta pusaka.
Hal ini jelas sebagaimana yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-49 bahawa, penama bagi wang simpanan KWSP dan seumpama dengannya bagi ahli yang beragama Islam yang meninggal dunia ialah wasi atau pentadbir harta sahaja. Pentadbir hendaklah membahagi harta itu mengikut hukum faraid. Oleh itu, orang yang bertanggungjawab menafkahi anak yatim tidak semestinya orang yang berhak mengurus harta anak yatim tersebut.
Pengurus harta anak yatim hendaklah mempunyai sifat amanah, cerdik dan boleh mengurus harta dengan baik agar harta itu dapat dikembangkan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat” (Riwayat al-Tirmidhī). Orang-orang yang diketahui mempunyai sifat khianat, fasiq dan mempunyai masalah moral hendaklah tidak dilantik sebagai pentadbir harta anak yatim.
Sifat-sifat mahmudah dalam diri seorang pentadbir atau pengurus harta anak yatim ini penting bagi menjamin harta itu terpelihara sementelah anak yatim tidak berupaya untuk membela nasib diri mereka sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT telah memberi peringatan keras dalam Al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala” (Surah al-Nisāʾ: 10).
Dibolehkan juga bagi pengurus harta anak yatim untuk mengambil sedikit daripada harta tersebut untuk kegunaan yang makruf (Surah al-Nisāʾ: 6). Para ulama berpandangan yang dimaksudkan dengan makruf itu termasuklah mengambilnya dengan niat berhutang, memakannya sekadar untuk keperluan dan tidak berlebih-lebihan, mengambilnya sebagai upah dan juga dalam keadaan darurat.
Harta anak-anak yatim ini kemudiannya hendaklah diserahkan kembali kepada tuan yang asal setelah sampai umur baligh (Surah al-Anʿām: 152). Aspek baligh ialah syarat utama kepada penyerahan harta anak yatim. Bagaimanapun, anak itu juga hendaklah mempunyai kelayakan sempurna (Ahliyyat al-Ada’ al-Kamilah) untuk menunaikan tanggungjawab syarak ke atas dirinya yakni mencapai akil baligh dan berakal bagi mengurus hartanya sendiri. Ini adalah bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menyebut untuk tidak menyerahkan harta individu di bawah jagaan, yang belum sempurna akalnya (Surah al-Nisāʾ: 5).
Di Malaysia, kelaziman masyarakat menganggap anak-anak di bawah usia 18 tahun sebagai belum dewasa, sekalipun telah baligh secara biologi disebabkan akal yang dianggap belum sempurna. Oleh itu, hakim boleh memerintahkan harta anak-anak yatim diserahkan kepada mereka sebaik sahaja mencapai usia dewasa 18 tahun yang dilazimi. Begitu juga dengan perintah untuk menafkahi anak-anak yatim boleh dilanjutkan sehingga 18 tahun atau sehingga satu umur tertentu seperti 21 tahun yang kebiasaannya anak-anak masih berada dalam sistem pendidikan. Peraturan dalam pentadbiran harta anak yatim mengandungi pelbagai hikmah dan menguji ketakwaan hamba-Nya. Setiap waris, wali atau pentadbir harta khususnya bagi pihak anak-anak yatim hendaklah berusaha menunaikan tanggungjawab yang teramanah di bahu masing-masing. Sesungguhnya kebaikan yang dilakukan terhadap anak-anak yatim tidak sia-sia kerana akan mendapat balasan yang baik di dunia dan di akhirat.