Sejak sekian lama mengisi ruang di akhbar Utusan Malaysia ini, beberapa kali juga penulis diberi peluang untuk berbicara pada minggu-minggu kemerdekaan. Menulis dalam tema kemerdekaan merupakan sesuatu yang membuatkan saya amat teruja kerana dapat bersama-sama memeriahkan lagi suasana kemerdekaan dalam akhbar kesayangan ini. Malangnya keterujaan itu tidak lagi begitu bersemarak seperti masa lalu lantaran suasana sekeliling juga agak suram dan semangatnya seakan-akan sudah tidak lagi begitu membara.
Ketika karya ini disediakan hanya kurang dua minggu tibanya ulang tahun hari kemerdekaan atau hari kebangsaan, barangkali pada ketika ini pembaca juga turut menyedari bahawa di sekeliling kita jalur gemilang sangat kurang dipasang, dikibarkan atau direntangkan di mana-mana tempat. Berdasarkan pengamatan dan tinjauan penulis, tempat-tempat yang masih konsisten melakukannya adalah di bangunan-bangunan yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pihak kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah atau tadika. Sebaliknya premis persendirian begitu kurang memasang bendera Malaysia, kalau ada pun boleh dikira dengan jari.
Bahkan di jalan-jalan raya, yang sebelum ini begitu meriah pemandangannya dengan kenderaan yang gah mengibarkan bendera Malaysia sudah tidak semeriah masa lalu. Bukan sahaja pengibaran bendera negara sudah di tahap yang suram, malah amat menyedihkan ada kalangan warganegara yang begitu biadab sengaja mengibarkan jalur gemilang secara terbalik! Dan ia dipertontonkan kepada awam tanpa sedikit pun rasa bersalah. Individu seperti ini tidak ada langsung pemahaman sebagaimana sebuah peribahasa Melayu menyebut, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Jika di negara ini kita dilahirkan dan membina kehidupan, hormatilah dan hargailah apa yang menjadi nadinya.
Pengibaran jalur gemilang tanpa mengira apa pun saiznya oleh warganegara Malaysia walaupun tidak pernah dipaksa oleh mana-mana pihak sebenarnya merupakan tanda ingatan tentang kelahiran negara tercinta ini serta pengiktirafan terhadap sejarah yang mewujudkan sebuah negara bernama Malaysia. Hal ini juga merupakan manifestasi yang memperlihatkan rasa kasih dan kecintaan setiap anak watan sebagai bangsa Malaysia. Juga sebagai tanda syukur dengan nikmat kemerdekaan yang diberikan Allah. Malah tanda penghargaan terhadap perjuangan generasi terdahulu yang berhabis-habisan berkorban agar keamanan dapat diraih, yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepas mereka. Bukan sahaja kepada anak cucu turun-temurun tetapi sesiapa sahaja yang dilahirkan selepas itu.
Dalam hal ini penulis tidak menafikan penghasilan iklan yang bertemakan hari kebangsaan di media massa tentu sekali membuktikan masih ada yang serius menghargai erti kemerdekaan. Semoga kita tidak akan melupakan usaha mereka, keringat yang mengalir dan air mata darah yang pernah menitis membasahi bumi demi suatu kebebasan hidup bernegara.
Suramnya pengibaran bendera negara merupakan perkara yang agak menyedihkan sebenarnya. Dan yang menambah rasa sedih itu apabila ruang maya yang terisi pada ketika ini bukanlah berkenaan perkara yang mampu membangkitkan rasa teruja untuk menyambut hari kebangsaan, sebaliknya isu yang tidak wajar dibangkitkan, malah ia dinyatakan secara sinis atau provokatif seperti isu pengenalan tulisan khat Jawi; persendaan terhadap institusi raja dan pertikaian fungsi anggota tentera.
Meskipun ada antaranya yang telah ditarik balik, dan disusuli dengan permohonan maaf, tetapi timbul persoalan di sini, mengapakah sebahagian (barangkali masih segelintir) rakyat Malaysia tidak memikirkan semasak-masaknya terlebih dahulu sebelum isu sensitif seperti itu ditimbulkan? Dengan usia kemerdekaan negara ini yang telah mencapai tahap umur yang amat matang, iaitu 62 tahun, isu sensitif tidak harus dijadikan bahan untuk menguji sensitiviti sesama masyarakat di negara ini. Dan lebih malang lagi provokasi ini tidak betul-betul lenyap bahkan ia datang silih berganti dengan pelbagai isu.
Selanjutnya, penangkapan kalangan individu yang amat berani melanggar tatasusila masyarakat Malaysia oleh pihak berkuasa seakan tidak memberi kesan kepada yang lain. Tidakkah mereka terfikir bahawa isu-isu sensitif yang dicetuskan, yang sebenarnya telah pun mempunyai tempat yang tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan malah dilindungi, jika tidak dibendung boleh membesarkan saiz provokasi sesama kaum dan rakyat Malaysia sendiri. Natijahnya nanti sama ada cepat ataupun lambat, akan merugikan setiap orang yang berdiam di negara ini ibarat peribahasa Melayu yang berbunyi, “Menang jadi arang, kalah jadi abu.”
Senario yang diperlihatkan ini benar-benar tidak mencerminkan semangat tema hari kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi, “Sayangi Malaysia ku: Malaysia Bersih,” yang meletakkan keutamaan perpaduan dan semangat cinta kan negara demi kesejahteraan dan keharmonian sejagat.
Berdasarkan tema ini, sekurang-kurangnya kita harus memahami bahawa apabila kita menyayangi negara ini sebagai negara tumpah darah kita, kita harus membersihkan atau memurnikan kehidupan kita dari semua aspek. Dari sudut akhlak Islam, ia adalah sebahagian daripada proses bermuhasabah. Iaitu ia bermula dengan membersihkan hati daripada sifat-sifat kotor dan keji. Kemudian, mengamalkan nilai-nilai murni tanpa mengira tempat dan suasana. Selanjutnya membudayakannya apabila berinteraksi dengan orang lain kerana itulah asas hidup bermasyarakat dan bernegara.
Malaysia akan bersih apabila rakyatnya bersih daripada sikap mementingkan diri sendiri, mendukung Perlembagaan sebagai teras dan mengutamakan perpaduan kerana hasil yang akan dinikmati nanti ialah kesejahteraan dan keharmonian.