Sistem perundangan yang mantap adalah antara prasyarat pembinaan negara dan seterusnya sebuah peradaban. Perkara yang tidak dapat dinafikannya keperluannya dalam pembentukan peradaban ialah kehidupan masyarakat yang teratur. Keteraturan sosial adalah prasyarat sebuah peradaban.
Dalam menyusun keteraturan sosial itu, pelbagai sudut dan ukuran kehidupan masyarakat perlu diberikan perhatian. Dalam melakukan itu sudah tentu perundangan tidak boleh ketinggalan dan undang-undang serta sistem perundangan hendaklah mempunyai hala tuju yang jelas dan tegas
Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah besar dan pernah menikmati mercu kejayaan hendaklah bersedia bergerak menuju wawasan bagi pembinaan peradaban tersebut. Dalam rangka tersebut Malaysia hendaklah mempunyai undang-undang dan sistem perundangannya yang tersendiri. Hanya undang-undang yang bercirikan identiti tersendiri dan meletakkan prinsip serta nilai agama boleh mendokong peradaban negara.
Sehingga ke hari ini Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri telah mampu membentuk perundangan yang stabil. Ini terbukti dengan terserlahnya kejayaan Malaysia mengekalkan kesejahteraan negara sehingga kita hampir mencecah enam puluh tahun merdeka.
Walaupun begitu, tinggalan atau legasi British dalam undang-undang dan sistem perundangan negera masih lagi kelihatan – bukan sahaja dalam undang-undang bertulis, tetapi juga dalam pemikiran sebahagian mereka yang terlibat dalam perundangan. Ini perlu ditamatkan. Saya tidak bermaksud menyatakan semua tinggalan British itu tidak baik; bukan semata-mata kerana mahukan ‘jatidiri’ kita membuang semua yang berasal daripada kuasa penjajah, tetapi, apa yang saya maksudkan ialah kita perlu bebas daripada legasi yang mengganggu proses pembentukan perundangan kita sendiri.
Sehingga kini kita telah berjaya melepasi legasi British mengenai perbicaraan dengan juri dalam kes-kes yang melibatkan hukuman mati. Kita telah memansuhkannya pada tahun 1995; hampir empat puluh tahun selepas kemerdekaan.
Kita juga telah bebas daripada rayuan kepada Majlis Privy. British meninggalkan Tanah Melayu dengan sistem rayuan kepada Majlis Privy, sebagai rayuan terakhir kes. Ini berlangsung hampir tiga puluh tahun selepas kemerdekaan. Selepas kemerdekaan, rayuan kepada Majlis Privy telah dimansuhkan secara berperingkat; bermula 4 Oktober 1975, rayuan ke Majlis Privy dalam kes-kes keselamatan telah dimansuhkan; dari Januari 1978, rayuan terhadap kes-kes jenayah dan Perlembagaan telah dimansuhkan dan rayuan kes-kes yang lain telah dimansuhkan mulai 1 Januari 1985. Kita bebas daripada legasi ini dalam masa tidak sampai tiga puluh tahun selepas merdeka. Ini adalah satu kejayaan.
Kini kita mempunyai sistem pentadbiran keadilan jenayah sebagaimana kehendak kita dan sistem mahkamah kita telah berdiri sendiri dengan susunan hierarki mahkamah yang tersendiri.
Tetapi beberapa lagi legasi British yang boleh dikira sebagai ‘mengganggu’ pembinaan perundangan kita masih menyerlah pengaruhnya. Antara lain, rujukan kepada common law sebagai salah satu elemen dalam tafsiran perkataan “undang-undang” seperti yang dinyatakan dalam perkara 160(2) Perlembagaan. Selain itu Akta Undang-Undang Sivil yang membolehkan mahkamah merujuk kepada common law di England. Seterusnya, legasi British yang setakat ini menimbulkan beberapa kontroversi dan polimik ialah sistem sistem dualisme – dalam bentuk undang-undang dan juga sistem mahkamah.
Mungkin apa yang kita bincangkan hari ini akan bermanfaat empat puluh tahun akan datang. Tidak sampai satu generasi sahaja lagi kita akan mencapai seratus tahun merdeka. Masa begitu pantas berlalu. Oleh itu kita harus melihat kedudukan perundangan negara dan kestabilannya untuk sekurang-kurangnya empat puluh tahun ke hadapan, apabila kita mencapai umur seratus tahun merdeka. Kita hendaklah bermula dan bergerak pantas dengan menggunakan segala nikmat teknologi semasa.
Kini, sudah menghampiri enam puluh tahun, kita tidak boleh terumbang ambing dalam menentukan prinsip dan falsafah perundangan negara. Kita hendaklah secara tegas dan yakin mengorak langkah untuk membentuk undang-undang dan sistem perundangan kita. Kita tidak boleh berada di persimpangan. Hal ini hendaklah difahami oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dalam perundangan negara; bermula daripada penyusun kurikulum di unversiti sehinggalah kepada para pengamal dan hakim di Mahkamah. Bahkan sebermula daripada pendidikan peringkat rendah dan menengah pendedahan kepada hasrat dan hala tuju undang-undang dan sistem perundangan perlu dilakukan.