Hal berkaitan pembinaan negara dan identiti nasional telah banyak diperkata. Dalam ruang akademik sudah banyak kajian dan literatur yang ada. Begitu juga dengan dasar negara. Silibus pendidikan sivik dan kewarganegaraan serta mata pelajaran sejarah adalah antara contoh yang dikenalpasti dalam dunia pendidikan yang bertujuan memupuk identiti nasional.
Namun begitu, kita masih lagi mendepani cabaran-cabaran yang agak besar. Sebagai contoh, parti-parti politik banyak membawa isu identiti nasional ke persada awam dan disampaikan dengan cara yang tidak menyenangkan.
Nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara seperti perpaduan, keadilan, pendekatan yang liberal atau terbuka terhadap kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat, dan sikap progresif terhadap sains dan teknologi merupakan dimensi-dimensi penting dalam usaha menentukan identiti nasional.
Dalam pengamatan saya, masih ada lagi kelompok yang tidak sepakat atas prinsip-prinsip dasar kenegaraan. Kenapa saya berkata begitu?
Walaupun kita telah mendahului masa dengan merangkumkan prinsip asas kenegaraan itu dalam bentuk Rukun Negara, kita masih tidak dapat bangun bersama-sama mempertahankan identiti nasional atau prinsip asas kenegaraan itu. Bahkan apabila bercakap tentang identiti nasional ada yang menggelarkannya sebagai perkauman, terutamanya apabila kita bercakap tentang kedudukan agama atau bangsa. Masih ada lagi kelompok yang tidak boleh membezakan perkauman dan kenegaraan.
Ini adalah cabaran dan banyak lagi cabaran yang perlu dihadapi. Umpamanya, dalam menegakkan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama, ada kelompok yang mempromosi kepada prinsip tiadanya agama. Dalam cadangan deraf Rang Undang-Undang Harmoni contohnya, perkara ini cuba ditonjolkan
Dalam meletakkan Kesetiaan kepada Raja dan Negara, ramai yang menghina institusi Raja (bukan setakat menghina individu raja). Ramai juga yang tidak dapat menghayati hubungan antara raja dan negara serta masih lagi gagal melihat kepentingan institusi tersebut. Lantas ada yang mencadangkan pemansuhannya.
Begitu juga dengan Keluhuran Perlembagaan. Dalam menjunjung Keluhuran Perlembagaan, masih ramai yang tidak faham perkara asas dalam Perlembagaan; masih mempersoalkan inti pati Perlembagaan. Malah, masih ada lagi kelompok yang mahu membahaskan dan mahukan penilaian semula prinsip-prinsip asas Perlembagaan.
Dalam mengangkat prinsip Kedaulatan Undang-Undang, penguatkuasaan undang-undang masih lagi menjadi pertikaian. Begitulah juga dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan. Masih ada yang tidak memahami kedudukan dan kepentingan kemoralan, kesopanan dan kesusilaan. Maka kita nampak ada kelompok yang menggalakkan kebebasan peribadi walaupun amat jelas kesannya ke atas prinsip kesopanan dan kesusilaan.
Dalam keadaan kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, masyarakat kita sentiasa mengalami ketidakserasian tentang elemen identiti nasional ini. Keadaan ini adalah lumrah dalam sebuah negara berbilang kaum, berbeza budaya dan menganut dan mengamal agama yang berbagai-bagai.
Oleh itu, dalam kepelbagaian tersebut, identiti nasional hendaklah dipertegaskan. Tiada kompromi yang boleh dibenarkan.
Semua lapisan masyarakat perlu tegas, bukan sahaja mengharap kepada kerajaan untuk memperkasa nilai identiti negara atau identiti nasional ini.
Mana-mana parti politik, sebagai contoh, tidak boleh mempersoalkan identiti nasional. Perjuangan parti-parti politik, perjuangan akademik, atau apa juga perjuangan yang dilaungkan oleh mana-mana kumpulan, identiti nasional hendaklah dijadikan pedoman dan asas mereka.
Identiti nasional bukan milik dan tanggungjawab satu pihak. Ia milik semua pihak. Oleh itu, ia adalah tanggungjawab semua pihak dan semua pihak itulah yang seharusnya bertanggungjawab membina dan mempertahankan identiti nasional tersebut.
Masyarakat Melayu terutamanya hendak berpegang kepada identiti nasional kerana kesemua prinsip itu adalah berteraskan bangsa dan agamanya. Bagi bangsa atau kaum lain pula, mereka hendaklah lebih terbuka dalam menerima identiti nasional. Bukalah sedikit ruang untuk menerima prinsip kenegaraan dan identiti nasional yang seharusnya menjadi payung kepada pembinaan negara bangsa.
Parti-parti politik, walaupun berbeza ideologi perjuangan, hendaklah meletakkan identiti nasional yang bersandarkan kepada Perlembagaan dan nilai-nilai yang ada.
Oleh itu, masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, tidak kira generasi tua atau generasi muda, tidak boleh berpura-pura tentang identiti nasional. Kita perlukan kejituan dalam menentukan identiti nasional kerana ia adalah dasar kepada penyatuan. Identiti nasional hendaklah sama-sama diperkasa dan dirasa, bukan diperkata hanya untuk berpura-pura.