Sebagaimana besar badai dan gelora Lautan Hindi, demikian juga hebatnya gejolak perasaan yang menyelubungi keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MAS MH370 ketika ini. Malah kesedihan yang ditanggung turut dikongsi seluruh rakyat negara ini dan di seluruh dunia. Misteri yang seolah-olah sukar dirungkai sejak lebih dua minggu yang lalu dikejutkan dengan kenyataan memilukan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2014. Perjalanan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, utara Antartika.
Apa pun juga keadaannya, Allah Yang Maha Pengasih telah mengabulkan sebahagian doa dan hajat agar misteri kehilangan tersebut diberikan penunjuknya. Maka kepada Allah jualah Yang Maha Mengetahui segala-galanya, dikembalikan segala urusan. Dialah yang telah mengizinkan peristiwa yang mendukacitakan itu berlaku dengan hikmahnya yang tertentu. Golongan yang beriman meyakini bahawa Allah S.W.T. tidak akan mentakdirkan sesuatu ujian di luar kemampuan hamba-hamba-Nya. Dalam situasi sebegini hanya Allah sahajalah sebaik-baiknya diadukan kedukaan dan kesedihan. Hal ini sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ya`qub A.S. yang dirundung dukacita akibat kehilangan putera kesayangannya, Nabi Yusuf A.S. Al-Qur’an merakamkan (maksudnya), “Nabi Ya`qub menjawab, “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah….” (Surah Yusuf 12 : 86).
Krisis besar yang melanda negara ini membolehkan kita mengamati tindak balas setiap pihak yang terbabit; sama ada wajar diberikan pujian atau kritikan. Kritikan atau pujian itu pula haruslah adil sifatnya. Dengan kata-kata lain, tidak semua yang dilakukan ditolak sama sekali atau sebaliknya diterima tanpa dikritik. Sikap yang adil ialah menerima dan mengiktiraf usaha yang telah dilaksanakan atau sikap yang ditunjukkan. Sebaliknya pula kritikan membina diberikan terhadap kelemahan atau kesilapan yang telah dilakukan. Kepemimpinan negara pada semua peringkat yang teruji dengan krisis ini umpamanya perlu dinilai melalui neraca yang adil ini. Tidak mungkin semua tindakan yang diambil dikatakan salah dan mustahil pula semuanya betul tanpa cacat celanya. Sebagai contoh, penyelarasan operasi mencari dan menyelamat yang bermula di Laut China Selatan, Selat Melaka, dan akhirnya ke Koridor Utara, dan Selatan wajar diiktiraf dengan hati yang terbuka. Begitu juga tugas-tugas lain yang membabitkan perbincangan dengan keluarga penumpang, khususnya dari China yang terbaru dilaporkan mengadakan protes di Kedutaan Malaysia negara itu.
Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, kelemahan ketara dan kesilapan yang dilakukan harus diakui. Betapa dalam krisis yang melibatkan dunia dan masyarakat antarabangsa ini, kepemimpinan negara dan pelbagai agensi itu telah tercabar untuk menonjolkan ciri-ciri kepemimpinan sebenar. Kelemahan yang mengundang kritikan bukan sahaja wajar diterima dengan terbuka malah perlu ditangani segera. Hal ini khususnya apabila negara memasuki fasa krisis seterusnya yang lebih hebat cabarannya. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa kritikan yang diterima tidak perlu diberi tindak balas secara berlebih-lebihan sehingga gagal melihat motif atau agenda jahat pihak luar.
Di samping kumpulan kepemimpinan, tindak balas yang ditunjukkan anggota keluarga yang terbabit juga pelbagai sifatnya. Selain beberapa buah keluarga penumpang warga asing seperti Australia, tindak balas keluarga juruterbang, anak kapal, dan penumpang warga tempatan yang terdiri daripada pelbagai agama serta kaum, layak diberikan pujian. Emosi dan tindakan berusaha dikawal dengan sebaik-baiknya. Tidak dipamerkan tindak-tanduk keterlaluan bagi meluahkan kesedihan yang ditanggung. Sikap atau tindak balas anggota keluarga berkenaan secara tidak langsung menunjukkan akhlak luhur dan budaya terpuji masyarakat tempatan. Bagi keluarga yang beragama Islam, tindakan mereka menepati peringatan Nabi S.A.W., “Bukanlah daripada kalangan kita orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan kocek baju, dan meratap-ratap sebagaimana ratapan golongan jahiliah.” (Bukhari)
Pemerhatian kita seterusnya tertumpu pula pada media asing. Sebahagian mereka sejak awal lagi tidak mempamerkan sikap bertanggungjawab dan beradab. Mereka begitu ghairah membentuk teori tertentu dan menyebarkan maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya. Daily Telegraph UK misalnya tanpa segan-silu menyiarkan transkrip komunikasi terakhir antara pesawat MH370 dengan menara kawalan yang ternyata tidak tepat dan tidak dapat dipastikan sumbernya. Malah transkrip berkenaan juga melalui proses penterjemahan sebanyak tiga kali.
Media asing juga dengan sewenang-wenangnya memberikan tohmahan dan label buruk kepada pemimpin, pihak berkuasa tempatan dan pasukan penyiasat. Meskipun mengakui insiden membabitkan MH370 adalah yang pertama seumpamanya di dunia, bahkan ditegaskan Andy Pasztor daripada Wall Street Journal sebagai tugas berat sehingga banyak negara lain juga mungkin gagal, mereka terus mengecam Malaysia semahu-mahunya. Kebebalan mereka juga ketara, misalnya melalui Fox News kerana kekal dengan pandangan stereotaip terhadap umat Islam sebagai pengganas. Hanya disebabkan juruterbang dan pembantu juruterbang serta penumpang beragama Islam, maka mereka mengaitkannya dengan kehilangan pesawat MH370. Saingan terdekat media itu, CNN pula membuat spekualsi secara berterusan dan keterlaluan berhubung dengan tragedi tersebut.
Kebiadaban media asing juga ketara dalam kesungguhan mereka mencemarkan nama baik juruterbang dan pembantu juruterbang dengan pelbagai spekulasi. Mereka seterusnya cuba mengaitkan juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan tragedi yang menimpa pesawat yang dikendalikannya. Tanpa sebarang bukti, beliau dikaitkan dengan tindakan membunuh diri; perbuatan yang dilarang keras oleh agama dan diyakini kita semua tidak sama sekali akan dilakukan beliau. Sebagai Muslim, kedua-duanya, Kapten Zaharie dan Fariq Abdul Hamid pasti mengetahui batas atau sempadan yang ditetapkan agama. Kecintaan Kapten Zahar ie yang besar terhadap kerjayanya juga terserlah. Maka sudah pasti beliau memiliki komitmen tinggi untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah tanpa mengira apa juga situasi yang melanda. Tidak berputus asa dengan kegagalan membuktikan kebenaran teori itu, mereka cuba pula beralih kepada isu lain. Antaranya termasuklah kecenderungan fahaman politik beliau sehingga memungkinkan tindakan protesnya berikutan perkembangan baru dalam negara. Begitu juga pengalaman luas yang dimiliki sehingga mungkin dihubungkan dengan kenyataan pesawat diterbangkan tanpa pengesanan radar. Bahkan hal-hal kekeluargaan beliau turut didedahkan untuk tatapan umum demi mencapai matlamat jahat mereka.
Dakwaan-dakwaan liar yang menyakitkan itu jelas menggambarkan usaha mereka untuk menghukum Kapten Zaharie sebagai individu yang bertanggungjawab dan bersalah. Maruah diri juruterbang yang disanjung sebagai wira oleh Chris Goodfellow, bekas juruterbang Kanada yang memiliki pengalaman selama 20 tahun itu tidak diberikan pertimbangan sama sekali. Demikian juga perasaan anggota keluarga beliau. Justeru, kita begitu mengharapkan pendirian tegas MAS sebagai syarikat penerbangan yang terlibat untuk mempertahankan sepenuhnya kewibawaan Kapten Zaharie dan semua anak kapal pesawat MH370 serta seluruh kakitangannya yang masih berkhidmat pada ketika ini.
Sebagai warga negara ini, kita harus berhati-hati dalam mengikuti laporan media asing yang diketahui merupakan salah satu pihak yang mewakili kepentingan barat. Usah sesekali kita diperbodoh-bodohkan atau diperdaya dan dilaga-lagakan sesama sendiri. Barat juga tidak terlepas daripada kegelojohan menegakkan kepentingan peribadi dan melakukan kesalahan. Kesalahan itu sebagaimana sering dilihat, diselindungkan dengan menuding jari kepada orang lain. Maka dalam insiden kehilangan pesawat yang dihasilkan mereka, barat ternyata perlu melakukan sesuatu bagi mempertahankan maruah dan keegoannya yang tercalar. Justeru tidak mustahil mereka menggunakan kita sebagai bahan untuk dihenyak dan diperkatakan sesuka hati. Jika kita mahu menggunakan cara yang sama digunakan mereka untuk menyalahkan kepemimpinan negara, syarikat penerbangan, dan semua agensi tempatan yang terlibat, kita malah juga boleh misalnya mempertikaikan kebenaran dakwaan pengeluar pesawat 777-200ER, iaitu Boeing bahawa pesawat yang dihasilkannya itu merupakan salah satu pesawat yang paling selamat.
Sikap barat melalui medianya, jelas terserlah melalui insiden menyayat hati yang menimpa pesawat MH370 ini. Betapa mereka telah bersedia sejak awal dengan deretan isu yang perlu dibesar-besarkan meskipun tiada asas bagi membuktikan kebenarannya. Persoalannya di sini, mungkinkah tindakan itu merupakan salah satu cara bagi mengalihkan perhatian kita daripada isu atau perkara sebenar yang berlaku? Jauhari jualah yang mengenal manikam, hanya yang bijak sahajalah yang berupaya mentafsir dan menilai.