Dalam mendidik anak-anak, satu perkara penting yang ditekankan oleh ibubapa ialah keselamatan diri. Lazimnya, ibubapa akan berpesan kepada anak-anak supaya tidak bermain api agar tidak terbakar tangan. Begitu juga, ibubapa sentiasa berpesan agar anak-anak berhati-hati ketika melintas jalan agar tidak dilanggar kereta. Pesanan seumpama ini bertujuan untuk mengelakkan anak-anak tadi dari bahaya-bahaya fizikal.
Bagaimana dengan bahaya ‘seksual’? Apakah pesanan yang telah kita berikan kepada anak kita untuk mengelakkan mereka dari serangan seperti ini? Apakah kemahiran yang telah kita berikan kepada mereka untuk mengelak atau menghentikan serangan seksual? Memadaikah dengan berpesan, “Jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali”?
Dalam suasana semasa bila mana anak-anak dihantar ke pusat jagaan mahupun ke rumah pengasuh; dalam keadaan di mana anak-anak menaiki bas atau van ke sekolah biasa atau sekolah agama; dan, dalam keadaan di mana anak-anak terdedah kepada kemungkinan bersendirian dengan orang asing dalam lif di kediaman yang bertingkat; mereka perlu diberi kemahiran untuk mengelakkan serangan seksual dan memaklumkan kepada kita sekiranya perkara itu berlaku kepada mereka.
Keperluan ini semakin mendesak bila mana saban hari kita mendengar atau membaca kejadian-kejadian jenayah seperti sumbang mahram dan pencabulan terhadap kanak-kanak – baik perempuan mahupun lelaki – oleh orang-orang yang dikenali dan hampir dengan mereka seperti bapa, abang, pengasuh, guru, pakcik di sebelah rumah dan sebagainya. Dalam suasana seperti ini, mendidik anak-anak dengan kemahiran untuk mengelak dan menghentikan serangan seksual menjadi satu kewajipan bagi ibubapa.
Pendidikan mengenai bahaya seksual dan cara menghentikannya memerlukan beberapa langkah tertentu. Pertama, ia perlu dimulakan dengan mengenalkan mereka tentang bahagian sulit tubuhnya dan hakikat bahawa bahagian tersebut merupakan sebahagian dari aurat dan hendaklah sentiasa ditutup dari pandangan umum. Sebagaimana dia tidak boleh mempertontonkan bahagian sulitnya itu kepada umum, dia juga tidak boleh melihat bahagian sulit orang lain.
Kedua, anak-anak perlu dimaklumkan bahawa hanya orang tertentu yang boleh menyentuh bahagian-bahagian tersebut (ibu/ayah) dan dalam keadaan tertentu sahaja iaitu bagi tujuan membersihkannya.
Ketiga, anak-anak perlu dimaklumkan tentang jenis sentuhan yang ‘dibolehkan’ dan sentuhan yang tidak boleh diterima. Sentuhan untuk membersihkan pastinya berbeza dari belaian yang tidak diperlukan.
Keempat, anak-anak perlu dididik untuk membantah atau menghentikan sentuhan yang membuatkannya tidak selesa, walaupun sentuhan itu bukan pada alat sulitnya. Sebagai contoh, ketika berada di dalam lif, pipi mereka dibelai oleh seorang lelaki dewasa yang tidak dikenali. Mereka perlu diperkasakan untuk berkata, “Hentikannya! Saya tak suka awak buat begitu”. Dengan cara ini, anak-anak akan mampu menghentikan bunga-bunga perbuatan cabul pada ketika dan saat ianya berlaku.
Akhirnya, anak-anak perlu dipesan untuk memaklumkan kepada orang dewasa yang dipercayainya – biasanya ibu – tentang sentuhan-sentuhan yang telah menimbulkan ketidakselesaan pada dirinya agar tindakan dapat diambil untuk menghentikan perbuatan-perbuatan tersebut.
Orang dewasa yang menerima aduan tentang perlakuan cabul dan sumbang itu wajib memastikan kejadian yang sama tidak berulang. Ini penting supaya kepercayaan anak tadi terhadap kita sebagai orang yang boleh melindungi mereka tidak terjejas.
Ada kanak-kanak malang yang menjadi mangsa kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang telah diperlakukan ke atas mereka merupakan satu pencerobohan seksual. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak pernah diajar mengenainya. Mereka anggap sentuhan-sentuhan tersebut adalah sentuhan-sentuhan yang boleh diterima sebagai tanda sayang ayah atau abangnya. Ada juga di antara mereka yang di’gula-gula’kan dengan wang atau hadiah tertentu untuk menutup mulut. Lebih malang lagi, ada di antara mereka yang bila mengadu kepada ibu, ibu menganggap mereka menipu. Kadangkala, ada ibu yang percaya namun enggan berbuat apa-apa kerana takutkan suami atau bimbangkan masa depan jika suami ditangkap atau malu akan mengaibkan keluarga sendiri.
Sebagaimana kita mahu mengelakkan anak kita dari bahaya fizikal, kita juga sepatutnya mahu mengelakkan mereka dari bahaya seksual. Untuk itu, kita perlu mendedahkan kepada mereka tentang apa itu pencerobohan seksual dan bagaimana untuk melindungi diri darinya. Dengan kemahiran tersebut, kita akan lebih yakin tentang keselamatan mereka. Di masa yang sama, menjadi tanggungjawab kita untuk mempercayai mereka bila mereka melaporkan sesuatu kejadian pencerobohan seksual. Ambillah tindakan yang wajar walaupun terhadap mereka yang hampir dengan diri kita kerana Islam menuntut agar kita berlaku adil walaupun ia bermaksud melaporkan perbuatan salah yang dilakukan kaum kerabat kita sendiri.
Dalam Islam, anak-anak adalah amanah Allah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Jika tidak, ibubapa akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Ini jelas dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya.” Memberi kemahiran kepada anak-anak untuk mengelakkan diri dari serangan seksual adalah salah satu unsur penting dalam pemeliharaan amanah ini. Semoga kita tidak tergulung dengan mereka yang telah mempersia-siakan amanah tersebut.