Dalam beberapa hari saja lagi kita bakal menyambut 1 Mei yang merupakan Hari Pekerja, atau dikenali sebagai Hari Buruh suatu ketika dahulu. Sebelum tibanya detik tersebut pada tahun ini, cuba kita renungkan dan perhatikan kepada diri kita sendiri sebagai pekerja ikhlaskah kita bekerja? Cemerlangkah hasil-hasil kerja kita? Mampukah kita menyiapkan kerja yang dipikul dalam tempoh masa yang telah ditetapkan? Jujurkah sumbangan kita kepada masyarakat? Berapa ramaikah antara kita benar-benar jujur, ikhlas, bersungguh-sungguh dan bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan?
Sebenarnya kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan kerja ini adalah sangat dituntut oleh Allah S.W.T. Hal ini penting untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam pencarian rezeki yang halal untuk diri dan keluarga. Dalam agama sendiri, ibadah tidak hanya memberi tumpuan kepada sembahyang, berzikir dan bertasbih sahaja, tetapi digalakkan juga umat Islam untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, dengan hati yang ikhlas dan niat yang betul dimana semua pekerjaan baik yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan tidak bercanggah dengan pandangan alam, ia adalah satu tuntutan dan dikira sebagai satu ibadah.
Selain itu, dalam pada mengejar budaya kerja cemerlang ini para pekerja perlulah mempunyai ciri-ciri seperti rajin berusaha, tekun, berdisiplin, sabar, amanah dan bertanggungjawab dengan segala tugas yang dipikul. Jangan jadikan kerja-kerja tersebut sebagai satu bebanan. Ini kerana punca rezeki kita adalah daripada hasil kerja yang kita cari.
Justeru, untuk mengejar budaya kerja cemerlang, di mata majikan, rakan sejawat dan yang penting di sisi Allah S.W.T, faham kejujuran dan keikhlasan wajar menjadi rujukan utama. Akhlak dan nilai-nilai baik perlulah ditanam dan diterapkan di kalangan pekerja bagi menjamin mutu kerja yang lebih berkesan. Para majikan pula perlu menjadikan kakitangannya sebagai aset yang sangat bernilai dalam memastikan matlamat jabatan dan organisasi tercapai.
Majikan juga mempunyai hak memberi ganjaran, latihan dan kursus kepada pekerjanya demi memantapkan mutu kerja kakitangannya. Janganlah lupa tentang pengorbanan yang dilakukan oleh para pekerjanya. Seandainya hak pekerja dinafikan, maka para pekerja menganggap diri mereka teraniaya dan mungkin timbul pula gejala-gejala yang buruk seperti sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri seperti cemburu, hasad dengki, riya’, takabbur, syak wasangka, tidak boleh ditegur dan seumpamanya. Ada segelintir pekerja juga yang bertungkus lumus menjalankan kerja cuma apabila berada di hadapan ketua, dan ada juga pekerja yang dianggap pengampu dan pembodek nombor satu. Kesemua sifat inilah yang menjadi pendorong kepada terjejasnya mutu kerja yang cemerlang. Jika dilihat sifat-sifat seperti inilah yang menjadi punca kegagalan umat Islam untuk bersaing dengan bangsa yang lain.
Sekiranya diambil contoh negara Jepun, misalnya mengamalkan budaya kerja SAMURAI. Budaya kerja ini menekankan kepada kesefahaman bersama seperti kecekapan berjuang, kesetian, dan pengabdian diri kepada ketua dan pemimpin, bekerja bermati-matian, ini menjadikan negara Jepun berjaya menterjemahkan budaya kerja mereka sehingga mereka menjadi satu bangsa yang berjaya mendaulatkan kekuatan pasaran perdagangan dan perindustrian yang unggul di dunia. Misalnya, mereka berjaya dalam mengeluarkan industri elektronik dan industri kereta yang terkenal dengan teknologi yang canggih. Jadi budaya kerja dan cara hidup orang Jepun ini telah menjadikan mereka beroleh kejayaan sampai sekarang.
Jika diimbas kembali, kempen gerakan kerja cemerlang yang telah dilancarkan di negara kita pada 27hb November 1989, mempunyai matlamat utama, iaitu untuk meningkatkan taraf hidup melalui tahap budaya kerja sehari-hari. Sempena sambutan hari pekerja yang bakal menjelang, kita perlu bersatu, sentiasa berkorban, menggembleng pemikiran serta tenaga, untuk memastikan kerjaya kita dirahmati Allah S.W.T. Kita tanamkan azam dalam diri kita dengan bertekad dalam diri untuk berjaya dan menjadikan kerjaya kita sebagai satu ibadah. Jadi sebagai pekerja kita perlulah hargai masa yang ada kerana kalau dilihat diluar sana masih lagi terdapat lebih kurang dua puluh ribu orang yang masih lagi menganggur. Oleh itu, kita perlulah bersyukur di atas rezeki yang dilimpahkan dan terus berusaha memantapkan kerjaya yang cemerlang.
Adakah dikatakan budaya kerja cemerlang jika segelintir pekerja masih lagi melakukan tugas-tugas secara sambil lewa, cuai, tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi mereka yang bersikap suka membuang masa, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tidak menyimpan rahsia, pecah amanah, melakukan rasuah dan sebagainya. Ini semua melambangkan sikap pekerja yang tidak berakhlak dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Bukan itu sahaja, segelintir pekerja juga ada yang melakukan kerja hanya kerana terpaksa atau sekadar melepas batuk di tangga dan bukannya untuk mencari keredaan daripada Allah S.W.T. Jadi kerja yang dilakukan itu hanya sia-sia sahaja. Oleh sebab itu, kita pada hari ini perlu bangkit dalam memperkasakan kecemerlangan dan meningkatkan budaya kerja cemerlang. Sehubungan itu, untuk meningkatkan mutu kerja kita apa yang perlu, kita disarankan belajar semula daripada kesilapan kerja-kerja lepas.
Dalam pada itu, sambutan hari pekerja yang bakal menjelang juga turut ditunggu-tunggu oleh segelintir kakitangan awam iaitu kira-kira 1.2 juta orang. Mungkin ada satu pengumuman dan berita gembira berkaitan semakan gaji baru iaitu kenaikan gaji antara 10 peratus hingga 40 peratus. Semakan gaji yang hampir 15 tahun tidak disemak ini akan sedikit sebanyak boleh menjadi pengubat rasa dan perangsang kepada kakitangan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi taraf mereka dalam menghasilkan kerja-kerja yang lebih bermutu.
Namun, keseimbangan bekerja dan beribadat perlulah seiring dalam melahirkan insan yang cemerlang dan hasil kerja yang bermutu. Tidak ada jalan lain, untuk memantapkan budaya kerja cemerlang ini. Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. Sesungguhnya budaya kerja cemerlang ini merupakan tuntutan di kalangan perkhidmatan awam sebagai satu cabaran menjelang dekad 2020.
Sehubungan itu, nilai dan akhlak yang murni perlulah menjadi kayu ukur untuk menuju kecemerlangan tersebut. Oleh sebab itulah kita perlu bersatu, bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan agar pendapatan yang kita perolehi itu adalah daripada sumber rezeki yang halal. Dalam usaha untuk menyuburkan budaya kerja cemerlang ini marilah kita sama-sama bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab agar kita mendapat kejayaan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.