ANTARA perkara pokok artikel 10 dalam Deklarasi Hak Asasi Sejagat (UNDHR) ialah kebebasan kehakiman. Manakala jaminan Islam untuk memberikan keadilan sebenar kepada umat manusia melangkaui keperluan untuk melahirkan konsep tertentu dalam sistem pemerintahan seperti konsep pengasingan kuasa yang antara tujuannya keadilan dapat ditegakkan tanpa rasa berat sebelah, bimbang atau pilih kasih.
Bagaimanapun, Islam tidak menolak sebarang pendekatan sesuai yang dihasilkan oleh rasional manusia sekiranya pendekatan tersebut dapat menegakkan keadilan dan mempertahankan hak manusia. Semuanya ini adalah disebabkan kuasa perundangan dalam Islam pada dasarnya berada pada Allah s.w.t.
Ketika Rasulullah s.a.w. berperanan sebagai ketua pemerintah di Kota Madinah, baginda bertindak sebagai ketua eksekutif yang turut menghakimi pihak-pihak yang bertikai dan datang kepada baginda. Penghakiman yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah berdasarkan wahyu yang diturunkan kepada baginda.
Maka, penghakiman pada ketika ini dapat dilaksanakan dengan mudah. Manakala sahabat-sahabat r.a. yang dihantar oleh baginda ke wilayah-wilayah Islam diberi mandat untuk menyampaikan dakwah Islam, menjaga keamanan wilayah tersebut, mengurus hal ehwal pentadbiran dan turut berfungsi sebagai hakim.
Seterusnya, apabila Khalifah Abu Bakar dilantik sebagai pengganti Rasulullah s.a.w. untuk menerajui pemerintahan Islam, beliau meneruskan tradisi sebagaimana yang diamalkan oleh baginda s.a.w. Iaitu, tanpa pemisahan antara urusan pemerintahan dengan kehakiman. Khalifah Abu Bakar menunaikan tanggungjawab sebagai hakim dengan dasar, prinsip dan kaedah-kaedah yang bersumberkan wahyu.(Md Saleh Hj Md @ Haji Ahmad, Kebebasan Institusi Kehakiman dalam Islam, Jurnal Syariah 3 Bil. 2) sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum itu. Beliau pernah menyerahkan urusan kehakiman kepada Umar bin al-Khattab tetapi bukan sebagai suatu jawatan yang tetap sehingga menggelarkan jawatan tersebut sebagai kadi.
Sekalipun sistem ini nampak ringkas tetapi ia sangat kukuh. Sistem kehakiman yang berdasarkan kepada nas-nas wahyu ini berada di kedudukan yang tinggi malah seseorang Imam yang melakukan kesalahan tidak akan dapat mengelakkan diri daripada dibicarakan di mahkamah. Islam menjadi agama yang sangat mementingkan keadilan adalah disebabkan ia mempunyai prinsip perundangan `sama rata di hadapan Syariat’ dan `tidak harus taat kepada mana-mana makhluk dalam penderhakaan kepada Khaliq (Allah s.w.t.)’.
Sistem perundangan yang ringkas ini menjadi sangat harmoni apabila ia dibantu oleh kehidupan masyarakat Islam dan bukan Islam pada ketika itu yang sangat sejahtera. Masyarakat pada ketika itu warak dan mudah untuk bertolak ansur apabila berlaku perselisihan faham. Sehinggakan ketika Umar bin al-Khattab mengendalikan tugas-tugas kehakiman di bawah arahan Khalifah Abu Bakar, tidak ada sebarang aduan yang datang atau pihak-pihak bertikai di hadapan beliau selama tempoh dua tahun.
Pemisahan kuasa kehakiman dari kuasa eksekutif bermula pada era pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab apabila wilayah Islam semakin meluas dan bentuk permasalahan masyarakat ketika itu menjadi lebih kompleks. Khalifah Umar melantik sahabat-sahabat seperti Abu Darda’, Syuraih bin Harith, Abu Musa al-Asy’ari dan Uthman bin Qais menjadi kadi atau hakim di wilayah Madinah, Kufah, Basrah dan Mesir yang di wilayah-wilayah tersebut berada di bawah bidang kuasa gabenor tertentu bagi mewakili tugas khalifah.
Terdapat satu kisah ketika di bawah pemerintahan Khalifah Umar bagaimana seorang hakim mempunyai hak milik yang eksklusif dan keputusannya tidak boleh dipertikai hatta oleh pihak pemerintah. Al-Auza’i melaporkan bahawa, “orang pertama yang memegang jawatan kehakiman di Palestin ialah Ubadah bin al-Samit dan gabenor Palestin pada ketika itu ialah Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai wakil Khalifah Umar. Pernah satu ketika Muawiyah menyalahkan Ubadah dalam satu kes yang dibantah semula oleh Ubadah (sebagai seorang hakim). Muawiyah membalas semula secara sangat kasar yang menyebabkan Ubadah berkata, `Aku tidak akan bersama denganmu di atas bumi yang sama selama-lamanya’. Lantas terus meninggalkan Palestin untuk pulang ke Madinah. Khalifah Umar menemuinya dan bertanya mengapa Ubadah perlu pulang. Lalu Ubadah menceritakan keadaan yang berlaku. Selepas itu Umar berkata kepadanya, `Kamu mesti pulang semula ke tempat kamu, Allah akan memburukkan bumi yang padanya tiada kamu dan orang seperti kamu’.
Khalifah Umar mengusulkan arahan tersebut dengan menghantar surat kepada Muawiyah dengan kandungan yang berbunyi, `Tidak ada kuasa bagi kamu ke atas Ubadah’.”
Berdasarkan ayat ke-58 surah al-Nisa’ yang antaranya bermaksud, Dan apabila kamu menghukum di antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil menunjukkan bahawa perlunya kebebasan bagi seseorang hakim daripada unsur-unsur yang boleh menyebabkannya terhalang untuk berlaku adil.