SEBAGAI makhluk sosial, setiap individu manusia perlu memiliki kaedah dan tatacara tertentu untuk berkomunikasi dengan individu lain supaya keperluan mereka dapat dipenuhi dan dikongsi pula secara bersama oleh orang lain.
Manusia yang diciptakan Tuhan memiliki pelbagai jenis keperluan, baik secara peribadi mahupun dalam hidup bermasyarakat. Perlu difahami, manusia harus memenuhi keperluan seperti fizikal, mental dan emosi, rohani serta keperluan sosial.
Agama Islam juga selalu memperingatkan bahawa mereka perlu memenuhi keperluan berkenaan, tetapi hendaklah dengan cara seimbang atau tidak keterlaluan. Sebagai makhluk sosial, sudah pasti mereka perlu memenuhi keperluan untuk hidup bermasyarakat.
Ini kerana ada pelbagai keperluan diri dapat mereka penuhi daripada masyarakat dan begitulah sebaliknya. Malah tidak dinafikan ada juga individu sukar untuk hidup ketika bersendirian dan ada antara mereka kehidupannya tidak akan sempurna tanpa jiran dan anggota masyarakat lain.
Bagaimanapun, ada juga individu berasa seronok jika hidup berseorangan, malah akan mendapat tekanan atau masalah lain pula jika tinggal bermasyarakat. Mengapa perkara seumpama ini biasa berlaku ?
Sudah pasti alasan munasabah ialah kegagalan mereka untuk berhubung, berkomunikasi atau tatacara dalam suasana efektif dan positif serta mewujudkan suasana dan kesan harmonis kepada setiap anggota masyarakat berkenaan.
Namun yang pasti, mereka gagal dalam memanfaatkan kehidupan bermasyarakat dan perkara seperti ini sewajarnya tidak harus berlaku. Memang ada perbezaan dari segi personaliti individu dalam kelompok manusia ketika berhadapan dengan masyarakat. Contohnya, golongan introvert memperoleh kenikmatan hidup jika tinggal bersendirian atau dalam lingkungan masyarakat yang agak terhad, manakala golongan extrovert pula cuba berdepan dalam kelompok masyarakat luas bagi mengecap kenikmatan dan keseronokan hidup mereka.
Kesemua bentuk perhubungan yang berlaku dalam masyarakat bagi kedua-dua kumpulan ini ada kelebihan dan kebaikan tersendiri. Asalkan masing-masing memahami tatacara betul ketika berhubung antara satu sama lain, keharmonian akan sentiasa terjamin.
Tanpa mengira apa jua jenis personaliti, kepercayaan agama dan kebudayaan, setiap individu manusia perlu memiliki kemahiran sosial. Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu manusia lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan.
Sebab mengapa kemahiran ini perlu dimiliki adalah kerana ia mampu mencapai hasrat dan matlamat kita kepada orang lain di samping dapat menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta mampu pula untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya kita cuba berkomunikasi dengan mereka.
Ada dua kaedah biasa digunakan ketika berkomunikasi, iaitu kaedah verbal menekankan kepentingan bahasa perkataan dan kaedah bukan verbal atau tanpa penggunaan bahasa perkataan seperti isyarat tangan, mimik atau ekspresi muka, tahap intonasi suara, gaya berjalan dan sebagainya.
Berdasarkan kajian lalu, ada kewujudan dan kepentingan kemahiran sosial ini secara saintifik di samping kesan negatif yang berlaku jika terdapat kekurangannya. Malah, penyelidik pakar mengakui kemahiran sosial adalah sebahagian daripada kepintaran dan kecerdikan akal seseorang individu. Dalam membicarakan berkaitan kepintaran dan kecerdikan akal, sudah pasti ia berhubung secara langsung dengan tahap perkembangan otak sempurna sebagai kesan daripada kesempurnaan bahan genetik individu.
Tidak hairanlah kanak-kanak atau individu yang mengalami kemalangan trauma lalu mengakibatkan kecacatan otak akhirnya akan menjejaskan keupayaan sosial mereka. Ini tidak dapat dinafikan terutama bagi mereka mengalami kerencatan otak atau kemalangan yang menjejaskan fungsi otak pada bahagian hadapan dikenali sebagai prefrontal lobe, sekali gus menjejaskan personaliti dan keupayaan sosial mereka.
Selain itu, individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti antisosial atau avoidant personality atau gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial ini. Apapun, ada juga pengkaji melihat faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif sebenarnya mematangkan seseorang dan mendatangkan tahap kemahiran sosial baik dalam interaksi mereka.
Punca seseorang individu kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan mereka atau tidak ada pendedahan wajar untuk mereka atasi kekurangan itu, tetapi ia bukan diakibatkan sindrom kerosakan otak.
Atas kepercayaan inilah mereka menekankan bahawa latihan sosial tertentu amat penting untuk diajar kepada mereka bagi menampung kekurangan berkenaan. Walau apa pun teori atau pendapat mereka, apa yang penting bagi kemahiran sosial mesti mempunyai implikasi signifikan dalam kehidupan manusia selain daripada sekadar membantu dalam mewujudkan perhubungan positif sesama insan.
Kemahiran sosial dimiliki sebenarnya dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuhi aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat. Ia bertujuan untuk meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat dan perbezaan individu, mampu menghormati pandangan orang lain, bermurah hati dalam memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan, mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka sebagai sesuatu yang unik dan tidak perlu diperlekehkan.
Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan suasana tegang dan cemas dalam interaksi, tidak mampu menerima perbezaan pendapat, mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul, malah akan sentiasa mencari keburukan dan kesalahan orang lain. Pendek kata, kemahiran sosial adalah tatacara yang perlu dimiliki oleh semua orang, sama ada pelajar dan remaja, pemimpin, ulama dan pendakwah, suami dan isteri, ibu bapa dan sebagainya. Dengan tatacara ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi.
Mereka juga mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai pemimpin berbanding individu yang tidak berupaya menunjukkan tahap keyakinan diri yang baik atau tidak berani membuahkan pendapat dan idea kreatif.