Sambutan Bulan Membaca Kebangsaan – yang bertemakan `Rajin Membaca Pasti Berjaya’ telah masuk hari kelapan. Apakah sambutan ini membawa perubahan kepada tabiat membaca kita? Apakah kita juga meraikannya dengan mengambil daya usaha untuk mengisi masa dengan membaca? Atau tabiat membaca kita sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain – kurang membaca?
Masyarakat Islam tiada alasan untuk malas membaca kerana perintah membaca itu menjadi satu tuntutan dalam Islam. Malah, itulah perintah pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Jika membaca itu satu tuntutan yang penting mengapa masyarakat Islam bukan merupakan masyarakat yang membaca?
Kajian yang dijalankan sedekad yang lalu mendapati bahawa secara purata rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun. Agak menarik untuk kita ketahui, sejauh manakah Bulan Membaca – yang diadakan pada setiap tahun dapat memperbaiki tabiat membaca di kalangan masyarakat Malaysia?
Sambutan Bulan Membaca ini merupakan kemuncak kempen galakan tabiat membaca yang dijalankan sepanjang tahun. Namun, oleh kerana publisitinya agak lebih sedikit sepanjang Bulan Membaca ini, penulis merasakan bahawa ia tidak dapat meningkatkan tabiat membaca rakyat Malaysia.
Ini kerana tabiat membaca berkait rapat dengan minat dan minat membaca bukanlah sesuatu yang boleh ditanam melalui penganjuran Bulan Membaca seperti ini. Sebaliknya, menanam minat membaca memerlukan masa dan ia dipengaruhi oleh beberapa faktor yang saling berkait.
Pertama, faktor kebiasaan. Minat membaca akan timbul jika kita telah terbiasa dengan aktiviti membaca. Ini boleh berlaku kepada mereka yang memperuntukkan masa untuk membaca pada setiap hari. Orang yang jarang membaca tidak mungkin dapat menanamkan minat membaca dalam diri mereka.
Kedua, faktor keseronokan membaca. Minat membaca akan timbul jika pembaca merasa seronok dengan aktiviti tersebut. Keseronokan itu dinikmati kerana membaca memberikannya apa yang dicari. Misalnya, dengan membaca, dia mengetahui sejarah hidup tokoh-tokoh dunia; dia mendapat ilmu kemahiran menguruskan kewangan; atau dapat merasakan kebahagiaan dilamun cinta.
Menemui apa yang dicari akan memberikan kepuasan yang begitu menyeronokkan. Keseronokan membaca inilah yang membezakan orang biasa dengan mereka yang minat membaca.
Ketiga, faktor peneguhan dari persekitaran. Minat membaca akan subur jika persekitaran individu itu adalah persekitaran yang menggalakkannya membaca. Contoh, ibu bapa yang menggalakkannya membaca dengan memperuntukkan masa membaca untuk keluarga dan membekalkan bahan-bahan bacaan yang menarik; atau kawan-kawan yang suka membaca dan sebagainya. Agak sukar untuk seseorang itu mempunyai minat membaca jika persekitarannya tidak mengizinkannya berbuat demikian.
Ketiga-tiga faktor ini melibatkan aspek dalaman dan persekitaran individu. Penganjuran Bulan Membaca tidak banyak mempengaruhinya.
Walau bagaimanapun, Bulan Membaca dapat meningkatkan aktiviti membaca (bukan minat membaca) rakyat Malaysia sekiranya ia disokong oleh semua pihak – individu, ibubapa, guru, majikan dan sebagainya.
Di pihak individu, kesedaran tentang sambutan Bulan Membaca boleh memotivasikannya untuk memperuntukkan masa membaca pada setiap hari. Dapatkan sebuah buku – beli atau pinjam – peruntukkan masa 30 minit sehari untuk membaca. Jika ia benar-benar melaksanakannya, di hujung bulan ini, ia telah meluangkan 15 jam untuk membaca.
Mendengar
Di pihak ibu bapa, selain memastikan mereka sendiri membaca, boleh dipastikan seluruh ahli keluarga juga membaca dengan mewujudkan masa membaca untuk keluarga. Ini boleh dilakukan dengan mengumpulkan ahli keluarga pada setiap malam, tutup televisyen selama 30 minit dan membaca bersama-sama.
Para guru juga boleh meningkatkan aktiviti membaca para muridnya dengan mengadakan sesi berkongsi pengalaman membaca buku sebelum pelajaran bermula. Ini akan mendorong murid untuk membaca supaya ada yang boleh dikongsikan dengan kawan-kawan pada keesokan harinya.
Begitu juga dengan majikan. Mungkin boleh diadakan sesi seperti ini seminggu sekali, untuk meningkatkan aktiviti membaca di kalangan para pekerja. Para pekerja sering diberi masa untuk mendengar kuliah atau ceramah agama – tetapi mereka amat jarang diminta untuk membaca.
Ini mungkin kerana tradisi lisan dalam masyarakat kita dahulu membuatkan kita lebih mudah menganjurkan sesi-sesi `mendengar’ ini berbanding membaca dan kemudian berkongsi pandangan mengenai apa yang dibaca.
Namun, untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan kritis, sesi membaca dan berbincang adalah lebih sesuai, tambah pula di peringkat pekerja yang lebih dewasa dan matang.
Tidak dapat dipastikan berapa ramai rakyat Malaysia yang berazam untuk meningkatkan aktiviti membaca sepanjang Bulan Membaca ini. Mungkin faktor masa menjadi halangannya. Bagaimana mencari masa 30 minit untuk membaca bila 10 minit pun agak sukar dicari.
Tetapi, kita boleh membaca ketika menunggu giliran di bank, ketika di dalam komuter, ketika menunggu mesyuarat bermula, ketika tunggu anak keluar sekolah dan sebagainya. Inilah yang dilakukan oleh rakyat negara maju. Mengapa kita tidak sedemikian?
Kata orang, sesuatu yang dilakukan secara berulang untuk satu jangka masa yang panjang akan menjadi sebahagian daripada tabiat kita. Oleh itu, tingkatkanlah aktiviti membaca kita di bulan Julai ini.
Siapa tahu daripada aktiviti itu timbul minat membaca dalam diri kita. Ini penting kerana membaca adalah asas kepada penguasaan ilmu pengetahuan yang merupakan salah satu prinsip dalam pendekatan Islam Hadhari yang diketengahkan oleh kerajaan.