Penglibatan dalam jenayah oleh golongan remaja dan kanak-kanak merupakan isu yang sentiasa sahaja mengundang perbincangan hangat. Jenayah atau kesalahan yang melibatkan golongan ini sebagaimana yang dinyatakan dalam laporan Perangkaan Penglibatan Juvana dalam Jenayah 2003, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, merangkumi jenayah kekerasan seperti bunuh, cubaan membunuh, samun bersenjata api dan tanpa bersenjata api, rogol serta mencederakan manusia; jenayah harta benda seperti pecah rumah, mencuri, mencuri kenderaan, mencuri dalam bangunan dan merusuh dengan membawa senjata api; dan juga jenayah-jenayah lain seperti memeras ugut, memiliki barang curi, menipu serta melakukan khianat.
Hasil kajian dan pemerhatian yang mendalam menunjukkan bahawa antara faktor yang menyebabkan golongan remaja dan kanak-kanak ini terbabit dengan jenayah termasuklah disebabkan kurangnya pendidikan Islam, longgarnya ikatan kekeluargaan, ketidakselesaan tempat tinggal, kesan persekitaran yang tidak sihat, pengaruh negatif rakan sebaya, media massa, telekomunikasi serta IT dan sebagainya.
Faktor-faktor inilah juga yang diistilahkan sebagai faktor tarikan dan tolakan oleh Jabtan Kebajikan Masyarakat Malaysia.Faktor-faktor ini sekali gus turut memberikan isyarat bahawa hanya satu jalan penyelesaian bagi menyelesaikan kemelut ini, iaitu kerjasama yang padu dan jitu oleh semua pihak yang terbabit, iaitu ibu bapa, guru, anggota masyarakat, kementerian, organisasi serta pertubuhan yang berkaitan dan juga badan kehakiman, iaitu mahkamah dan penasihat (yang berperanan menasihati Majistret
Ini memberi maksud walau apa jua program serta kempen yang dianjurkan, setiap pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan komitmen yang tinggi.Ini bagi memastikan remaja dan kanak-kanak yang terlibat dalam kegiatan salah laku dan jenayah dapat dibimbing untuk kembali ke pangkal jalan dan juga bagi membendung gejala ini daripada turut menular di kalangan remaja serta kanak-kanak yang lain.Bagi mahkamah pula, dalam mengadili kes-kes jenayah atau kesalahan yang membabitkan pesalah muda dan pesalah kanak-kanak, hak pesalah-pesalah ini untuk memperoleh peluang bagi menukar corak kehidupan kepada yang lebih baik lagi mulia wajarlah diambil kira.Tn. Mohd. Zaki bin Abdul Wahab, Hakim Kanan Mahkamah Sesyen/Majistret dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Perintah Mahkamah Terhadap Pesalah Juvana Perspektif Hakim” (Seminar Kebangsaan “Pencegahan Jenayah Juvana Menurut Perspektif Islam” 10 -11 Februari 2004) menyatakan, “Mahkamah bagi Kanak-Kanak perlu memberikan pertimbangan teliti terhadap prinsip penghukuman apabila mengenakan perintah hukuman.”Penelitian lebih teliti terhadap tujuan dan kesan perintah perlu diberikan berbanding dengan penghukuman terhadap seorang dewasa Walaupun kepentingan awam mungkin memerlukan hukuman penjara dijatuhkan dalam keadaan biasa, keperluan ini tidak harus menghalang pesalah diberikan peluang untuk dipulihkan.
Menyentuh khusus tentang peranan ibu bapa, umum mengetahui bahawa di bahu ibu bapalah tergalasnya tanggungjawab mendidik anak-anak supaya memiliki keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t. dan menerapkan pendidikan Islam yang sempurna agar kelak setelah dewasa, akhlak anak-anak mereka benar-benar mencerminkan keperibadian serta tingkah laku Muslim yang sejati. Walau bagaimanapun, bagi ibu bapa hari ini, mereka bukan sahaja memikul tanggungjawab yang amat besar lagi mencabar disebabkan perubahan struktur sosial tetapi turut mendepani cabaran dunia moden yang membawa bersama-sama dengannya pelbagai bentuk ancaman.Ancaman-ancaman ini lazimnya dibawa oleh pelbagai bentuk teknologi seperti internet, media elektronik dan sebagainya.
Berbicara tentang ancaman atau pengaruh negatif daripada internet seperti laman web lucah yang merosakkan minda, jiwa serta pemikiran kanak-kanak serta remaja, Sheikh Muhammad Iqbal Nadvi, Imam Masjid Calgary, Alberta, Kanada yang juga merupakan mantan Profesor di Universiti King Saud, Riyad, Arab Saudi menegaskan bahawa terdapat banyak cara atau kaedah untuk mengelakkan anak-anak dan juga diri kita daripada perkara-perkara yang haram.Antaranya termasuklah yang pertama, membentuk jurang antara diri kita dengan dosa dan kedua, mencari alternatif yang dapat menjauhkan diri kita daripada perkara yang haram.Khusus bagi ibu bapa yang mahu melindungi anak-anak mereka daripada bahaya internet, mereka haruslah mewujudkan saluran komunikasi yang sihat serta tegas dengan anak-anak di samping menjelaskan kedudukan Islam berhubung dengan perkara ini dan bagaimana cara untuk menanganinya kepada anak-anak mereka.
Cara terbaik bagi mencapai tujuan ini adalah dengan menjadi teladan yang terbaik bagi anak-anak sendiri, kerana jika anak-anak melihat ibu bapa mereka sebagai contoh yang baik, maka mereka akan mempelajari perkara-perkara yang baik daripada ibu bapa lalu menurutinya. Bagi tujuan memperkenalkan alternatif kepada anak-anak, ibu bapa boleh mencadangkan agar anak-anak mereka melayari laman web Islam.Terdapat banyak laman web Islam yang baik dan bermanfaat yang boleh dilayari oleh anak-anak dan mereka dapat mempelajari banyak perkara daripadanya.Di samping itu, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak supaya memilih sahabat yang sebenarnya, yang sangat prihatin terhadap ajaran Islam selain dapat mendorong mereka untuk tidak mendekatkan diri kepada perkara-perkara yang haram.
Allah s.w.t. berfirman, “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seseorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosa selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.” (Surah al-Nur 24 : 21)