DI tengah-tengah perkembangan pesat dan keghairahan terhadap pembangunan sekarang, sama ada sedar atau tidak, manusia sedang menghadapi dua pilihan yang sangat penting.
Pertamanya, manusia itu hidup sebagai pemegang amanah Allah untuk menjadi khalifah dan memakmurkan alam ini seadanya manakala pilihan kedua pula menawarkan kelonggaran ikatan yang kadang-kadang menafikan perhubungan perhambaannya dengan Allah sekali gus menjadi hamba kepada kebendaan.
Terdapat juga yang mencampur-adukkan kedua-duanya.
Ia akhirnya melahirkan jenis manusia sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: Dahuluilah olehmu dengan amal-amal soleh akan kedatangan huru-hara dahsyat sebagaimana saat-saat malam yang gelap gelita, yang pada waktu itu akan terjadi seorang pada paginya beriman dan petangnya kafir, atau petangnya beriman dan paginya kafir, agama dijual dengan keduniaan.
Keadaan ini sudah pasti bertentangan dengan syariat Islam yang mahukan pengikutnya melaksanakan Islam sepenuhnya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208, yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.
Dalam realiti pembangunan dunia sekarang – lebih global selain didominasi oleh liberalis dan kapitalis, kecenderungan manusia tentunya kepada pilihan kedua, walaupun kadang-kadang terselit unsur-unsur pembangunan yang kelihatan serasi dengan Islam.
Hal ini sebenarnya memang tidak menghairankan kerana asas yang membangunkan rangka kerja pembangunan itu sendiri tidak berunsur Islam dan sering menghasilkan manusia keliru lalu menjerumuskan mereka kepada pilihan kedua.
Mereka itu kelihatan membangun dari aspek fizikal dan kebendaan tetapi kosong jiwa serta rohani.
Kemajuan yang dibawa tidak dapat membangunkan manusia malah lebih untuk meruntuhkan kemanusiaan.
Ia diamalkan dengan berasaskan landasan yang asing daripada tuntutan Islam, bukannya mengikut pembahagian dan penekanan yang telah disyariatkan.
Justeru ia melahirkan manusia yang tidak jelas peribadi dan pembawaannya, walaupun dari segi kebendaan dan inteleknya tinggi.
Gabungan antara kebendaan dan intelektual ini pula seterusnya menimbulkan faktor lain yang turut menyumbang kepada kekeliruan dan kelemahan manusia, terutamanya umat Islam.
Hasil tujuan yang salah daripada pembangunan dan kemajuan, natijahnya jelas menghasilkan tamadun materialisme, iaitu satu peradaban kebendaan yang kini melanda setiap kehidupan manusia.
Tamadun ini menolak segala nilai yang tidak sehaluan dengannya dan setiap gerak manusia tertumpu kepada nilai tamadun ini semata-mata.
Bahkan ia sudah dianggap seperti `agama baru’ di zaman ini.
Menyentuh mengenai `agama baru’ ini, Maulana Syed Abul Hassan Ali Nadwi berkata: “Falsafah kebendaan yang berasal dari Barat ini telah menjadi satu agama baru, Ad-din kedua besarnya selepas Dinul Islam.
Ia dengan senang memikat hati orang-orang yang terpelajar sehingga mereka sanggup mengutuk dan memperkecil-kecilkan ajaran-ajaran lain yang bertentangan dengan Ad-din baru ini.
Barangkali ada di antara mereka ini mengakui beragama Islam, tetapi secara lisan sahaja, sedangkan perbuatan mereka dipengaruhi oleh falsafah kebendaan dari Barat yang menjadi asas penting bagi faham Mulhid.”
Selain daripada faktor `agama baru’ ini, soal kepimpinan juga sama penting dalam memainkan peranan mempengaruhi serta mewarnai gaya hidup manusia masa kini.
Faktor-faktor ini sebenarnya berkaitan di antara satu sama lain.
Bermula daripada kelonggaran pegangan manusia kepada akidah tauhid yang kudus sehingga ia merebak dan berkait dengan perihal manusia yang lain.
Kepimpinan dilihat sebagai salah satu faktor penting dalam Islam.
Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin utama dalam Islam adalah contoh yang paling unggul untuk dituruti diikuti oleh para sahabat dan ulama.
Kelesuan dan kedinginan ulama untuk berperanan secara sewajarnya turut menjadi faktor terpesongnya pembangunan manusia seperti mana yang diharapkan.
Kewujudan mereka sering dipersoalkan kerana seolah-olah tiada kewujudan itu dalam soal pembangunan masa kini.
Barangkali kalau ada sekalipun amat terbatas.
Peranan ulama di dalam pembentukan pelbagai cabang ilmu kurang mendapat tempat.
Begitu juga dalam bidang-bidang seperti ekonomi, kebudayaan, seni, sukan, hiburan, sosial dan sebagainya, peranan mereka hanya terkena `tempias’ sahaja.
Dengan kata lain, suara-suara mereka ditenggelami oleh gema lain yang lebih lantang dan bertenaga.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya para ulama mengembalikan martabat mereka kepada kedudukan sewajarnya.
Dalam hal ini pesanan Imam al Ghazali amat baik untuk dijadikan renungan: “Ulama janganlah menggunakan agama atau ilmunya sebagai alat untuk mencari kesenangan dunia. Perbuatan dan amalan hidup seharian ulama hendaklah sepakat dengan ilmu mereka. Ulama hendaklah tekun mengumpulkan ilmu yang berfaedah dan tidak menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu yang tidak ada gunanya…”
Susulan daripada tidak berkesannya ulama dalam menangani gejala keruntuhan manusia abad ini, `modenisme palsu’ ialah satu lagi faktor yang turut memberi sumbangan besar ke arah tersebut.
Aliran ini terhasil daripada ilmu sekular dan merupakan induk kepada tamadun materialisme.
Ia meletakkan manusia melebihi segala-galanya dan manusialah bertanggungjawab secara mutlak terhadap segala urusan di dunia.
Hidup hanya untuk dunia dan pada pandangan mereka konsep kehidupan di hari akhirat adalah dongeng yang menyekat kemajuan.
Modenisme palsu ini kemudiannya mencetuskan banyak fahaman-fahaman baru yang dianggap maju, progresif dan saintifik.
Aliran ini mencipta fahaman yang amat sempit kerana hanya berlegar pada perhubungan fizikal antara manusia dengan manusia dan benda sahaja.
Modenisme yang bertanggungjawab memusingkan ukuran dan penilaian sesuatu serta menimbulkan keraguan terhadap kebenaran ilmu-ilmu ketuhanan.
Sebaliknya ia meletakkan ilmu sains moden pada tahap tertinggi.
Segala aspek pembangunannya memberi keutamaan kepada tuntutan-tuntutan syahwat dan memberi tumpuan kepada kepuasan yang boleh dikecapi oleh pancaindera sahaja.
Perubahan demi perubahan dicipta hanya untuk kepuasan nafsu dan diterima pula sebagai pembangunan serta kemajuan.