Hari ini, masuk 10 hari umat Islam menjalankan ibadah puasa. Mengikut sepotong hadis, ini adalah masa di mana hari-hari pintu rahmat dibuka akan digantikan dengan hari-hari di mana keampunan diberi.
Dalam kita melakukan sebanyak mungkin amalan yang berkait dengan ibadat demi mendapatkan ganjaran sepanjang Ramadan ini, kita tidak sepatutnya lupa bahawa amalan seharian kita juga boleh mendatangkan ganjaran sekiranya kita melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t.
Jika kita perhatikan prinsip-prinsip pendekatan Islam Hadhari satu persatu, kita akan mendapati bahawa bulan Ramadan ini memudahkan kita melaksanakannya. Fitrah bulan Ramadan yang menyebabkan kita mendekatkan diri kepada Allah memudahkan lagi prinsip-prinsip tersebut dilaksanakan dan dihayati.
Prinsip keimanan dan ketakwaan begitu menyerlah sekali dalam bulan ini kerana sesungguhnya puasa itu difardukan ke atas umat Islam supaya kita bertakwa (al-Baqarah: 183).
Di bulan-bulan yang lain juga kita beriman dan bertakwa, tetapi khusus di bulan ini, keimanan dan ketakwaan itu kita hayati dengan penuh sedar kerana boleh dikatakan kita beribadat sepanjang hari bermula dengan ibadat puasa dari Subuh hingga ke Isyak dan disambung dengan solat sunat tarawih selepas itu.
Prinsip kedua ialah kerajaan adil dan amanah. Keadilan serta keamanahan sesebuah negara bukan sahaja terletak kepada dasar-dasar yang diwujudkan tetapi juga sejauh mana dasar-dasar itu dilaksanakan untuk mencapai matlamat kewujudannya. Siapa yang melaksanakan dasar-dasar ini? Pastinya para penjawat awam atau semua pekerja di sektor awam.
Bagaimana Ramadan mendorong pelaksanaan prinsip ini? Janji bahawa ganjaran yang berlipat kali ganda akan diberi bagi setiap perbuatan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini adalah pendorong utama kita melaksanakan segala tugasan dengan adil dan amanah.
Jika ini dikaitkan pula dengan konsep kerja sebagai ibadah, pastinya setiap pekerja mahu melakukan yang terbaik, demi memelihara amanah yang dipikul di bahu masing-masing. Maka tiadalah yang akan mencuri tulang atau yang asyik bersembang kosong atau yang tiada di tempat kerana pergi makan atau minum.
Sikap pekerja yang rajin dan cekap akan menyumbang kepada prinsip kerajaan adil dan beramanah yang menjadi salah satu tonggak pendekatan Islam Hadhari.
Berbanding bulan-bulan yang lain, bulan Ramadan adalah bulan yang paling berjaya mendorong umat Islam menghayati konsep iqra. Sepanjang bulan ini, bukan sahaja bilangan yang membaca al-Quran itu begitu ramai, baik secara bersendirian mahupun bertadarus, malah jumlah ayat serta surah yang dibaca juga meningkat. Ini kerana membaca al-Quran di bulan ini amat dituntut dan ramai umat Islam yang berusaha untuk memenuhi tuntutan ini.
Tetapi, konsep iqra tidak terhad kepada membaca al-Quran sahaja. Sebaliknya, kandungan al-Quran itu juga perlu difahami supaya kita dapat memahami pengajaran yang ingin disampaikan dalam setiap ayat tersebut.
Begitu juga, konsep iqra tidak terhad kepada membaca al-Quran semata-mata, tetapi juga semua bahan bacaan lain yang dapat menyumbang kepada penguasaan ilmu untuk kemajuan ummah.
Ramadan juga membawa bersamanya peluang perniagaan. Kita dapat saksikan bazar dan pasar Ramadan tumbuh bagai cendawan. Itu belum dikira perusahaan-perusahaan kecil di rumah yang mengambil tempahan membuat kuih dan baju raya. Dalam perkataan lain, bulan ini menyuburkan keusahawanan di mana sembilan per sepuluh rezeki terletak dalam bidang ini.
Tiada sebab untuk menganggur di sepanjang bulan ini kerana peluang perniagaan terbuka dengan luas sekali. Sekiranya semangat keusahawanan ini diteruskan di bulan-bulan lain pastinya ekonomi umat Islam akan lebih baik lagi. Ini adalah sebahagian dari penyumbang kepada pelaksanaan prinsip ekonomi seimbang dan komprehensif dalam gagasan pendekatan Islam Hadhari.
Ramadan juga menyumbang kepada prinsip kehidupan berkualiti. Dalam kehidupan berkeluarga misalnya, jika di bulan lain kita hanya berkesempatan untuk makan semeja dengan ahli keluarga sekali dalam sehari, tetapi di bulan Ramadan ini kita ada dua kesempatan iaitu di waktu sahur dan waktu berbuka.
Dari sudut kesihatan tubuh badan pula, setelah perut kita bekerja tanpa henti sepanjang 11 bulan, bulan inilah ia berehat dan kerehatan ini ada kebaikannya yang tersendiri untuk kesihatan.
Amalan berbuka dengan buah kurma yang merupakan sunah Rasulullah s.a.w. sebenarnya satu kaedah yang memberi kesan yang positif kepada tubuh badan kita. Segala khasiat dari buah-buahan itu akan lebih mudah diserap ketika perut kosong menjadikannya sebagai `makanan pembuka’ yang baik dan bukannya sebagai `pencuci mulut’.
Solat tarawih pada setiap malam pula adalah latihan jasmani yang baik untuk pencernaan makanan dalam perut sebelum kita masuk tidur.
Ramadan juga menyumbang kepada kehidupan berkualiti kerana sepanjang bulan ini umat Islam lebih terdorong menguruskan masa secara seimbang untuk kehidupan dunia dan akhirat. Ini kerana di bulan ini kita akan mengatur masa supaya dapat bersahur dan berbuka mengikut waktu yang ditetapkan. Masa untuk bersembahyang, berzikir dan membaca al-Quran dapat dilakukan dengan tenang. Kita juga lebih pandai `mencari masa’ agar dapat bersolat Isyak dan tarawih secara berjemaah dalam kariah.
Masa yang terurus dengan baik untuk keperluan dunia dan akhirat ini menyumbang kepada kehidupan berkualiti untuk setiap umat Islam berbanding kehidupan yang `kacau’ kerana tidak cukup masa sepanjang sebelas bulan yang lain.
Sebenarnya, jika kita meneliti dengan lebih mendalam semua prinsip pendekatan Islam Hadhari, kita akan mendapati bahawa Ramadan boleh menyumbang kepada pelaksanaan dan penghayatan setiap satu prinsip tersebut. Latihan sepanjang Ramadan ini diharap berjaya mengubah tabiat kita ke arah yang lebih baik. Jika ini berlaku, matlamat gagasan pendekatan Islam Hadhari untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun akan tercapai dengan lebih cepat lagi.