KEGIATAN jenayah yang melibatkan kematian semakin menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dan ini amat menakutkan setiap anggota masyarakat yang cintakan keamanan. Jika dahulu, trend jenayah yang berlaku hanya melibatkan kekerasan atau keganasan tanpa kehilangan nyawa serta jenayah harta benda, tetapi kini ia melibatkan kematian.
Jenayah bukan sahaja dilakukan oleh golongan dewasa, tetapi juga golongan kanak-kanak dan remaja yang masih lagi di alam persekolahan. Gambaran ini menunjukkan bahawa terdapat segelintir anggota masyarakat yang tempang dan keliru dalam menilai kepentingan nyawa dan memelihara kesejahteraan diri dan masyarakat.
Keadaan ini sudah pasti menuntut sesuatu dilakukan oleh pihak berkuasa dan orang ramai untuk menjernihkan suasana dan mengembalikan keamanan.
Memang ada kebenarannya terhadap anggapan bahawa pendatang asing menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini jika ditinjau dari statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Berdasarkan kepada maklumat dari Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman, terdapat 156,315 kes jenayah pelbagai kategori dilakukan oleh pendatang asing sepanjang tahun lalu.
Statistik ini hanyalah gambaran betapa pendatang asing menjadi sebahagian daripada punca peningkatan pelbagai kes jenayah di negara ini. Perkara ini juga mengingatkan kepada masyarakat tempatan bahawa kejadian jenayah yang dilakukan pendatang asing ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada hidup mereka. Ada kemungkinan juga bahawa merekalah yang telah mempromosi pelbagai jenis jenayah dan keganasan termasuk jenayah yang melibatkan kematian dan pembunuhan yang akhirnya menjadi ikutan rakyat tempatan.
Ini kerana pegangan nilai-nilai moral dan pandangan hidup para pendatang amat jauh berbeza dengan norma-norma hidup masyarakat tempatan dan faktor ini akhirnya mendatangkan konflik hingga menyebabkan pencabulan terhadap undang-undang negara. Suatu perkara yang tidak dapat dielak akibat kebanjiran pendatang asing walau dari mana sekalipun negara sumbernya adalah latar belakang dan pengaruh budaya yang berbeza yang mereka bawa ke negara ini.
Mereka datang dengan pelbagai ragam dan fahaman yang akhirnya terpaksa dikompromi pula oleh rakyat tempatan yang selama ini terkenal dengan sikap lemah lembut dan murah hati kepada orang luar.
Di samping mahu memenuhi tuntutan asas kehidupan seperti mencari makanan dan tempat tinggal, sesetengah anggota masyarakat tempatan terpaksa pula bersaing dengan pendatang asing terutamanya dalam mencari sumber kewangan. Peluang mendapat pekerjaan yang terhad ketika ini amat ketara apabila persaingan turut melibatkan golongan terpelajar lepasan kolej dan universiti yang semakin ramai menganggur saban tahun.
Suasana ini akhirnya menyebabkan golongan yang lemah iman dan keliru percaturan mindanya, ditambah pula oleh desakan demi sesuap nasi terpaksa mengambil jalan pintas dan mudah memenuhi impian sekali pun bertentangan dengan agama dan undang-undang. Manakala golongan remaja pula, akibat tercabar oleh minda yang sempit, demi mahu dianggap moden dan tidak mahu ketinggalan dengan budaya hiburan dan fesyen yang keterlaluan, terus sahaja berlumba-lumba menjelajahi perkembangan arus hiburan liar yang semakin melata bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Walau apa pun kategori jenayah yang dilakukan, ia tetap salah di sisi undang-undang. Bagi membanteras gejala ini, pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi wajar diperkukuhkan. Pendekatan pendidikan perundangan perlu turut didedahkan kepada anggota masyarakat terutamanya remaja dan ibu bapa supaya tindakan mereka tidak tersasar jauh di samping pengukuhan penghayatan ajaran agama dan moral.
Remaja perlu didedahkan dengan pendekatan ini pada peringkat awal lagi, mungkin dengan cara yang lebih formal seperti ketika di alam persekolahan peringkat rendah. Ini kerana dikhuatiri mungkin ramai yang meninggalkan alam persekolahan sebelum sempat memasuki pendidikan menengah supaya tujuan murni ini tidak mustahil dicapai.