KES jenayah yang membabitkan rakyat negara ini dari pelbagai peringkat umur, khususnya kanak-kanak (remaja) amat membimbangkan.
Maka, banyaklah pihak yang mengadakan perbincangan, rasmi mahupun tidak untuk membincangkan penyelesaiannya secara tuntas.
Pelbagai faktor dikemukakan sebagai sebab yang mendorong kanak-kanak terbabit dalam jenayah seperti kurangnya pendidikan Islam, rapuhnya institusi keluarga, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media serta persekitaran dan sebagainya. Kebimbangan ini juga menimbulkan pelbagai persoalan dan teka-teki yang seolah-olah tiada jawapannya.
Antaranya ialah adakah pendidikan formal dan tidak formal yang diterima oleh remaja tidak lagi berkesan, lalu gagal membina keimanan kental dan keperibadian unggul.
Kerana tidak memiliki keimanan teguh dan keperibadian unggul inilah, mereka dengan mudah terjebak dengan pelbagai kegiatan salah laku.
Kecenderungan dan keinginan untuk melakukan kesalahan sebenarnya adalah tabiat manusia biasa.
Bagaimanapun, iman dan akal yang memberikan kata putus kepadanya sama ada untuk meneruskan niat buruk yang terdetik dalam hati atau membatalkannya saja, demi ketakwaan kepada Allah.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang kamu berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran al-Quran serta dia takut (melanggar perintah Allah) al-Rahman ketika dia tidak dilihat orang dan ketika dia tidak melihat azab Tuhan.” (Surah Yaasin, ayat 11).
Disebabkan kepentingan iman yang teguh inilah, maka kita bersetuju bahawa setiap kanak-kanak perlu diberikan pendidikan Islam sempurna yang merangkumi semua aspek agar mereka bersedia menghadapi dunia sekeliling ketika dewasa kelak.
Di sini timbul pula satu lagi persoalan berkaitan persoalan sebelum ini. Bagaimanakah, caranya untuk memberikan pendidikan berkesan dalam jiwa kanak-kanak agar mereka sekurang-kurangnya berasa ‘asing’ dengan salah laku dan perbuatan jenayah?
Pembabitan kanak-kanak negara ini dalam jenayah bukan saja mendatangkan kerugian besar kepada negara, malah kanak-kanak itu sendiri.
Negara amat memerlukan kanak-kanak berkualiti minda dan keperibadiannya untuk menjadi pemimpin masa depan serta warga yang bijak mengurus pembangunan serta kemakmuran negara.
Bagi kanak-kanak yang membabitkan diri dengan jenayah, mereka hanya dibiarkan meruntuhkan masa depan yang gemilang.
Ia sekali gus pula mereka memberikan tanggungjawab amat besar, yang kadang kala tidak terpikul kepada semua pihak terbabit, keluarga dan masyarakat. Sekali lagi, negara terpaksa memulihkan serta memastikan mereka kembali ke jalan yang benar.
Mukadimah Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas menerangkan peranan yang ada pada kanak-kanak dan bagaimana ia memberikan pengaruh yang besar terhadap pembinaan masyarakat Malaysia yang berjaya.
Ia terkandung dalam enam kenyataan dasar yang dibentangkan oleh mukadimah akta itu yang turut mengiktiraf bahawa seseorang kanak-kanak bukan saja suatu bahagian sesebuah masyarakat, malah kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu; mengakui bahawa seseorang kanak-kanak.
Oleh sebab ketidakmatangan fizikal, mental dan emosinya, memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran. Ini untuk membolehkannya turut serta dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul. Begitu juga mengiktiraf bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan. Mengakui bahawa keluarga adalah kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya. Mengiktiraf peranan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat.
Jika kita meneliti keenam-enam dasar ini akan lebih jelas dan bertambah fahamlah kita bahawa kanak-kanak adalah asas penting dalam masyarakat.
Mereka ini perlu diberikan pendidikan dan asuhan sempurna bagi memastikan mereka membesar menjadi warga berguna serta dapat menunaikan tanggungjawab membina negara gemilang.
Justeru, banyaklah tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang berkaitan dengan mereka seperti keluarga, khususnya ibu bapa, guru atau pendidik, pendakwah, anggota masyarakat dan sebagainya.
Kita mungkin dapat melaksanakan pelbagai program bagi memastikan pendidikan dan asuhan dapat diberikan kepada kanak-kanak negara ini.
Apa yang lebih penting dan sangat diperlukan oleh kanak-kanak ini ialah teladan yang benar-benar dapat dijadikan contoh oleh mereka dalam menjalani kehidupan seharian serta menghadapi cabaran dunia moden yang amat membimbangkan.
Jika hal ini tidak dapat kita laksanakan, maka akan berkekalan dilema yang membelenggu diri dalam membendung jenayah kanak-kanak yang peratus kes semakin meningkat dan jenis kesalahannya kian pelbagai.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menunjukkan bahawa sepanjang tempoh 2000-2002, seramai 15,785 kanak-kanak didapati salah. Purata sebulan ialah 439 kes dan setiap hari kira-kira 15 orang kanak-kanak didapati bersalah oleh Mahkamah Kanak-Kanak (sebelum ini Mahkamah Juvana).
Sepanjang tiga tahun lalu, 15, 797 kes didaftarkan dan daripada jumlah itu, 8,448 kes membabitkan harta benda, iaitu mencuri dan menyimpan harta curi. Kesalahan bersabit dengan manusia seperti bergaduh, mencederakan orang lain, memukul dan membunuh (1,593 kes).
Sebanyak 1,510 kes penagihan dadah dan pengedaran dadah selain beberapa jenis kesalahan lain.
Usaha memulih dan memastikan kanak-kanak yang terbabit dengan kegiatan salah laku serta jenayah agar mereka kembali menjalani kehidupan bersih, bukanlah sesuatu yang mudah.
Terlalu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan bagi memastikan usaha murni ini berjaya. Umpamanya, banyak tenaga yang diperlukan, selain buah fikiran serta perancangan rapi yang perlu dicetuskan.
Demikian juga masa dan wang yang perlu diperuntukkan bagi menjalankan program tertentu untuk mereka yang terbabit.
Hukuman adalah mekanisme yang digunakan untuk memulihkan pesalah kanak-kanak dan muda.
Penghukuman ini bertujuan memberikan peluang kepada pesalah yang didapati salah melakukan jenayah untuk menukar corak kehidupan mereka kepada yang mulia dan bermakna.
Institusi pemulihan seperti Sekolah Tunas Bakti, Taman Seri Puteri dan asrama akhlak yang berada dalam kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Sekolah Henry Gurney yang melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah, sudah dan sedang menjalankan program pemulihan yang sewajarnya. Selain itu, mereka mengharapkan cadangan dan bantuan penambahbaikan daripada pelbagai pihak seperti organisasi serta pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan.
Jika peranan institusi pemulihan ini lebih cenderung kepada ‘perawatan’, maka seluruh anggota masyarakat, khususnya ibu bapa perlu memberikan sokongan padu dengan memberikan tumpuan terhadap aspek ‘pencegahan’ pula.
Pencegahan jenayah kanak-kanak dan generasi muda juga membabitkan usaha memberikan bimbingan kepada mereka untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan yang berliku agar mereka berupaya membina kehidupan yang diredai Allah.
Tidak ada sesiapa pun yang dapat menerima perlakuan kejam oleh pesalah kanak-kanak dan muda terhadap rakan sebaya atau orang lain.
Oleh itu, kita harus melakukan sesuatu, menggembleng tenaga dan mengatur strategi yang betul dan pantas bagi memastikan kanak-kanak bebas daripada perlakuan jenayah.
Dan yang lebih penting, kita hidupkan semula budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati walau kepada anak-anak yang bukan anggota keluarga sendiri.
Namun seperkara yang perlu diingat, yang memberi nasihat dan menunjukkan jalan wajiblah membetulkan tingkah laku agar senada dengan yang ditutur.
Tidaklah kelak dikata seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul atau pandai seperti pisau raut, bengkok orang dapat dibetul, bengkok sendiri kekal.