Bayangkan situasi-situasi berikut:
Pertama, bayi anda selamat dilahirkan. Majikan anda atau majikan pasangan anda meraikan kelahiran bayi tersebut dengan menghadiahkan keluarga anda dengan wang tunai RM4,000. Jumlah yang sama akan diberikan setiap kali berlaku kelahiran baru dalam keluarga anda.
Kedua, anda baru sebulan masuk kerja setelah tiga bulan cuti bersalin. Anda telah diminta untuk bekerja di luar kawasan. Oleh kerana anda menyusukan bayi, majikan membenarkan anda membawa bayi tersebut, beserta seorang ahli keluarga – untuk menjaga bayi itu ketika anda bekerja. Jika tiada ahli keluarga yang boleh membantu, majikan akan menyediakan penjaga dari pusat asuhan kanak-kanak di pejabat anda. Semua kos ini akan ditanggung oleh majikan demi memastikan proses penyusuan bayi berjalan lancar.
Ketiga, anda dan pasangan adalah ibu bapa yang bekerja. Ketika bekerja, kedua-dua orang anak anda yang berusia dua dan lima tahun dihantar kepada pengasuh. Pada suatu pagi, pengasuh anda sakit kuat dan tidak dapat menjaga anak-anak anda. Anda pula perlu bekerja di luar kawasan manakala pasangan anda perlu hadir ke satu mesyuarat yang amat penting. Namun, majikan pasangan anda sentiasa bersedia untuk membantu mendapatkan penjaga sementara untuk saat-saat genting seperti ini.
Apa yang anda rasakan jika berada dalam salah satu situasi ini? Rasa seronok, lapang, tenang, sayang pada majikan, akan taat setia pada majikan dan akan berkorban demi majikan, bukan? Namun, kembali ke dunia nyata, anda mungkin akan berfikir bahawa situasi-situasi tadi hanyalah khayalan yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Sebenarnya, ketiga-tiga situasi ini adalah amalan sebenar di tiga dari 16 buah syarikat di Amerika Syarikat yang memiliki polisi-polisi yang mesra ibu bapa, atau mudahnya, mesra keluarga.
Facebook menghadiahkan USD4,000 kepada warga kerjanya yang mendapat anak. Dari segi itu, ia adalah sebuah syarikat yang mengutamakan keluarga. Malangnya, ramai pengguna Facebook yang mengabaikan keluarga kerana leka ber”main-main” dalam media sosial ini.
Patagonia – jenama pakaian dan peralatan sukan luar rumah – sememangnya menyokong amalan penyusuan bayi dalam kalangan warga kerjanya sehingga sanggup menanggung kos membawa bayi dan penjaga bayi ketika warga kerjanya bertugas di luar kawasan. Selain itu, ibu pejabat Patagonia juga menyediakan pusat jagaan kanak-kanak untuk warga kerjanya. Bagi anak-anak yang bersekolah, bas disediakan untuk mengambil anak-anak dari sekolah-sekolah di sekitarnya, untuk dibawa ke pusat jagaan di ibu pejabat untuk penjagaan selepas waktu persekolahan.
Microsoft pula, walaupun tidak menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, tetapi memberi subsidi untuk penjagaan kanak-kanak dan membantu warga kerjanya mendapatkan “penjaga sementara” di waktu-waktu yang tidak terduga.
Di Malaysia, polisi-polisi yang mesra keluarga di tempat kerja lazimnya merangkumi tiga perkara utama. Pertama, cuti bersalin bergaji penuh selama tiga bulan, terhad kepada lima orang anak. Kedua, cuti tujuh hari untuk para ayah yang mendapat bayi baru. Ketiga, pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Di Barat, polisis-polisi mesra keluarga ini telah menjadi begitu terkehadapan dan menjadikan ketiga-tiga amalan kita di Malaysia ini seolah-olah jauh ketinggalan. Dalam hal cuti bersalin, yang menjadi amalan bukan setakat tiga bulan tetapi, empat hingga enam bulan. Suami pula boleh mendapat empat minggu atau lebih cuti bergaji untuk menjaga anak. Manakala pusat penjagaan kanak-kanak mereka telah mengambilkira penjagaan selepas waktu sekolah.
Jika kita lihat kembali keenam-enam polisi ini – tiga situasi di atas dan tiga lagi dalam para sebelum ini – ternyata polisi-polisi tersebut lebih Islamik dari yang diamalkan di negara Islam sendiri. Cuti bersalin yang panjang membolehkan bayi berada dalam jagaan ibunya, serta disusu badan oleh ibunya untuk waktu yang lebih lama. Bila si ayah pula boleh mengambil cuti yang panjang, ia boleh menjaga anaknya di rumah tanpa melepaskan penjagaan anak itu ke tangan orang lain yang bukan keluarga. Penjagaan selepas waktu persekolahan akan memastikan anak-anak terkawal dan tidak bebas mengisi masa mereka tanpa diawasi oleh orang dewasa.
Bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan wang RM4,000 dari majikan sebagai hadiah kelahiran anak. Pastinya majlis aqiqah menduduki tempat pertama di hati kita.
Polisi-polisi mesra keluarga ini jika dilihat dalam konteks maqasid syariah, memainkan peranan yang besar. Maqasid syariah bertujuan untuk memelihara lima perkara penting dalam kehidupan kita iaitu agama, akal, keluarga, nyawa dan harta. Sebagai individu Muslim, maqasid syariah ini perlu menjadi panduan untuk menjalani dan mengurus kehidupan demi mendapat rahmat dan barakah dari Ilahi.
Di peringkat organisasi, pihak pengurusan yang mengutamakan rahmat dan barakah Ilahi, perlu juga menjadikan maqasid syariah ini sebagai panduannya untuk mengurus organisasi. Dalam usaha untuk memajukan syarikat atau organisasi demi mencapai matlamatnya, patut menjadi agendanya juga untuk memastikan agama, akal, keluarga, nyawa dan harta warga kerjanya terbina dan terpelihara.
Setiap aspek ini memerlukan pendekatan yang berbeza. Dalam konteks membina dan memelihara keluarga warga kerja, mewujudkan polisi-polisi mesra keluarga adalah salah satu caranya. Sudah pasti ia memerlukan kos. Namun, kos ini amat berbaloi kerana kajian mendapati bahawa polisi-polisi mesra keluarga ini membuatkan para pekerja lebih setia, lebih bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban demi kejayaan organisasi.
Polisi-polisi mesra keluarga mewujudkan situasi “menang-menang” untuk organisasi dan warga kerjanya. Warga kerja beruntung kerana keluarganya dijaga dengan baik oleh organisasi. Mana kala, organisasi pula beruntung dari dua segi. Pertama, ia memiliki warga kerja yang setia dan berdedikasi untuk mencapai matlamat organisasi – keuntungan duniawi. Kedua, ia juga mendapat rahmat dan barakah Ilahi kerana mematuhi salah satu objektif syariah – keuntungan ukhrawi.