Usaha-usaha ke arah memperkasakan institusi keluarga merupakan agenda utama dalam pembangunan negara kerana kerajaan menyedari bahawa institusi ini sedang menghadapi keretakan yang serius.
Kerajaan mengambil inisiatif mengatasi masalah ini melalui dasar-dasar dan program-program pembangunan insan seperti kempen Rumahku, Syurgaku, Utamakan Keluarga-Semakin Hari Semakin Sayang dan Smart Start Campaign. Kempen-kempen sebegini diharapkan dapat menyalurkan maklumat yang berguna dalam pengukuhan sesebuah keluarga.
Bagaimanapun, kejayaan menangani gejala sosial ini sebenarnya terletak kepada institusi keluarga itu sendiri. Kerajaan hanya boleh membantu tetapi ahli-ahli keluargalah yang perlu menentukan hala tuju dan kejayaan keluarganya. Agama Islam sendiri menekankan tanggungjawab menjaga kebajikan ahli keluarga kepada keluarga itu sendiri.
Pengukuhan institusi keluarga ini sangat bergantung kepada beberapa faktor terutamanya penghayatan kepada agama yang tinggi. Penghayatan yang tinggi ini akan memastikan keluarga tersebut berada di landasan yang diredhai Allah s.w.t.
Penghayatan dan amalan agama yang konsisten juga akan menjamin keselamatan dan kestabilan institusi keluarga. Justeru, setiap ahli keluarga akan memperoleh perasaan aman dan tenteram. Ini pasti akan mewujudkan keharmonian dalam keluarga itu sendiri
Dalam masa yang sama, setiap ahli keluarga juga perlu memahami peranan masing-masing. Agama Islam telah menggariskan peranan setiap ahli keluarga dengan begitu teratur.
Suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Isteri pula wajib mentaati suami dan memberikan kasih sayang serta pendidikan kepada anak-anak.
Anak-anak pula wajib menghormati dan mentaati kedua ibu bapanya. Selain itu, ahli-ahli keluarga yang lain juga perlu dihormati dan dikasihi.
Kesejahteraan dan kejayaan sesebuah keluarga juga bergantung kepada ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek. Setiap individu dalam sesebuah keluarga terutamanya ibu bapa perlu meningkatkan ilmu pengetahuan agar keluarga itu dapat dipandu ke arah kejayaan. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu boleh diwariskan kepada anak-anak agar mereka dapat membentuk kejayaan dalam hidup.
Teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa dalam melayari hidup berkeluarga boleh dijadikan contoh oleh anak-anak untuk membina sebuah keluarga yang juga cemerlang.
Satu aspek lagi yang juga penting dalam memperkukuhkan institusi keluarga adalah amalan syura. Amalan syura perlu dipraktikkan agar segala permasalahan dalam keluarga dapat diatasi secara kolektif.
Melalui amalan ini, ibu bapa sebagai anggota paling dominan dalam keluarga perlu bersedia mendengar pendapat daripada anak-anaknya. Anak-anak pula akan merasakan bahawa diri mereka mempunyai peranan yang penting dalam keluarga itu. Proses sebegini pastinya akan lebih mengeratkan hubungan setiap ahli keluarga.
Daripada saranan-saranan yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat pelbagai lagi cara untuk membina kekuatan keluarga sendiri. Pun begitu, saranan ke arah memperkukuhkan keluarga tidak terhad kepada yang dinyatakan di atas. Apa sahaja cara yang baik dan bersesuaian perlulah diambil teladan dan diguna pakai untuk membina kekuatan keluarga.
Secara asasnya, sesuatu niat yang baik dan betul akan menjana hasil yang diredhai Allah s.w.t.
Akhir sekali, institusi keluarga yang kuat memang diperlukan dalam membendung gejala sosial masa kini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli keluarga untuk membina ciri-ciri quwwah (kekuatan) dalam diri agar dapat membentuk sebuah keluarga yang menjadi benteng terhadap pengaruh gejala sosial kini.
Ciri-ciri quwwah itu perlulah berlandaskan kepada amalan agama dan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika ini dapat dicapai, faktor-faktor negatif di persekitaran sesebuah keluarga pasti dapat dinilai dan ditangkis dengan bijak.