KEINTELEKTUALAN adalah anugerah istimewa Ilahi kepada manusia yang menjadikan kita jenis makhluk pemikir. Anugerah ini dilengkapkan pula dengan anugerah besar wahyu samawi. Maka wujudlah paduan harmonis antara akal dengan fenomena alam.
Iman al-Ghazali mentakrif intelek sebagai “sesuatu yang tidak kelihatan, tidak terasa dan tidak berbau, tetapi ia pengaruh yang dipatuhi oleh seluruh anggota tubuh dan pemikir yang menyaksikan hakikat ghaybiyyat dengan pandangannya yang lebih luas dan lebih jelas daripada mata. Di situ letaknya perbendaharaan ilmu dan tersimpannya khazanah hikmah. Dengan bertambahnya ilmu, bertambahlah kekuatannya dan bertambah luas jangkauannya.”
Sebenarnya, pemikiran Islam atau akal jitu adalah satu-satunya cara atau jalan untuk memahami wahyu dan alam semesta ini.
Justeru, selagi kita menggunakan fikiran secara lurus bererti kita berpaut pada agama, menuruti fitrah serta terhindar daripada sebarang penyelewengan.
Persoalannya, di manakah kita di tengah-tengah agama kita? Apakah kita berlaku adil atau memberi penghormatan kepada agama dengan kemunduran yang kita ada?
Dalam cuba menjawab soalan ini, ilmu keduniaan sentiasa menghadapi perubahan.
Malangnya, orang Islam pada abad ini tidak memberi sumbangan pada perkembangan ini.
Apakah sebenarnya yang menjadi tumpuan orang Islam terkemudian ini?
Sebenarnya umat Islam kini sibuk membincangkan persoalan sama ada sesuatu itu ialah Islam atau tidak Islam.
Kejahilan mengenai ilmu keduniaan adalah pengkhianatan besar terhadap agama Islam dan al-Quran. Selain terhadap agama, ia adalah pengkhianatan kemanusiaan menyeluruh terhadap risalah Nabi Adam, yang mengajar kita semua nama benda dan dipermudahkan bumi ini serta memungkinkan untuk menguasai lautan dan angkasa.
Banyak sekali ilmu alam semesta dan kemanusiaan yang boleh mendorong kepada Allah yang sebenarnya. Setiap kemajuan ilmu pengetahuan menguatkan risalah kita, biar di mana sekalipun persekitaran ilmu itu muncul.
Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda- tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, hingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.
“Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fussilat, ayat 53)
Penguasaan aplikasi sains dan teknologi yang sering kali dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebenarnya ialah tuntutan Islam.
Ia penting bagi menentukan ketamadunan sesuatu bangsa, terutama masyarakat Islam itu sendiri. Ilmu itu juga yang akhirnya mampu mengangkat maruah agama Islam pada pandangan agama lain.
Menurut Ibn Khaldun dan Spengler, tamadun adalah bagaimana layaknya manusia itu hidup.
Pelaksanaan misi ketamadunan ini sebenarnya memerlukan pemimpin yang mempunyai minda eksploratif, bersifat meneroka, menyelidik dan mempelajari rahsia alam untuk kemudiannya dimanfaatkan.
Penyempurnaan misi kekhalifahan jelas memerlukan minda yang cukup tinggi daya produktiviti dan kreativitinya.
Ketika zaman globalisasi dan era revolusi digital ini, kepemimpinan tidak hanya tertumpu kepada perbincangan hal agama semata-mata.
Malah, sepatutnya negara yang mendapat kemuliaan wahyu lebih hampir kepada kematangan dan lebih stabil daripada negara yang tidak mengecapi kemuliaan wahyu. Ini kerana jalan untuknya telah disediakan, halangan dielakkan serta perjalanannya ditunjukkan arahnya dan keamanannya dilindungi.
Malangnya, mengapa ini tidak berlaku di kalangan umat Islam?
Dalam masyarakat Islam itu sendiri, sentiasa wujud perbezaan pandangan iaitu wujudnya konflik dan pertentangan hingga hari ini.
Misalnya, konflik antara golongan Mu’tazilah dan ahli Sunnah Wal-Jamaah; konflik antara Ibn Sina daripada mazhab falsafah dan Imam al-Ghazali daripada mazhab kalam; serta konflik antara kaum tua dan muda.
Di Eropah, ketika kesarjanaan dan keintelektualan Islam bertelingkah akibat perbalahan antara masyarakat Islam itu sendiri, masyarakat Eropah berusaha keluar daripada kegelapan. Mereka beralih ke zaman kebangkitan yang membawa kepada penemuan saintifik, penghasilan teknologi baru untuk kemudahan manusia sejagat.
Masyarakat Eropah mula membina penjelajahan minda iaitu mewujudkan budaya bertanya, membaca dan berbincang.
Mereka membina tapak yang menjadi asas untuk pemikiran saintifik. Akhirnya, pusat tarikan ekonomi berpindah daripada bumi Islam ke Barat.
Hari ini, ledakan sains dan teknologi masyarakat Barat sentiasa ke hadapan dan sukar ditandingi oleh umat Islam. Negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Russia dan Jepun menjadi gagah kerana kemajuan sains dan teknologinya.
Pada masa sama, ada negara Islam yang dianugerahkan Allah kekayaan minyak, yang mungkin melebihi kekayaan Qarun, tetapi malangnya hanya dijadikan kuda tunggangan oleh negara Barat.
Persoalan yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana umat Islam mampu memanfaatkan ayat suci al-Quran, terutama berkaitan sains dan teknologi?
Adakah memadai bagi kita dengan membaca, menghafal atau mempertandingkan ayat itu saja?
Atau fikirkan lebih jauh maksud yang tersirat daripada firman Allah, iaitu “sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka melakukan perubahan pada dirinya.”
Setiap asas teori dalam al-Quran adalah benar dan tentu ada kelebihannya. Ia seharusnya dieksploitasi ke tahap maksimum oleh setiap umat Islam.
Siapakah yang diharapkan untuk mengeksploitasinya?
Kita mungkin boleh memperkatakan atau membahaskan sesuatu isu yang membabitkan orang lain, namun, kita jarang bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya sumbangan yang pernah dilakukan untuk dunia Islam?
Apakah kita pernah menghasilkan sesuatu atau menterjemahkan idea agar dapat dimanfaatkan oleh seluruh penduduk dunia atau saudara seagama kita?
Adakah penulisan ilmiah kita dapat diterima sebagai rujukan untuk generasi akan datang?
Islam menyuruh kita menuntut ilmu dan membangunkan teknologi, bukan menggunakan ilmu agama itu untuk memecahbelahkan saudara seagama dikasihi.
Justeru, amat wajar bagi umat Islam hari ini mengetepikan perbezaan sesama sendiri dan menumpukan tenaga kepada usaha untuk membangunkan ilmu pengetahuan berlandaskan ajaran al-Quran seperti yang dituntut oleh agama.