Masih teruja. Itu semangat yang biasanya ada dalam meniti hari dalam tahun yang masih baru menjelang. Pelbagai azam disemat dan tentunya akan memberikan pulangan yang baik kepada diri sendiri sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Mengumpul sejumlah wang, mencapai sasaran tertentu dalam bekerja, menunaikan ibadah penting seperti umrah atau haji, membuang sikap negatif, menurunkan berat badan untuk mencapai berat badan ideal, atau mengurus masa secara lebih efektif adalah sebahagian daripada perkara yang biasanya dipilih untuk dijadikan sebagai matlamat seseorang dalam tempoh tertentu.
Semua bentuk impian yang cuba dicapai tentunya sesuatu yang menguntungkan dan memberi kepuasan kepada diri individu. Keuntungan yang diraih oleh individu berkenaan seharusnya turut memberi kesan yang baik kepada keluarga masing-masing sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, kerana individu dan keluarga adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan.
Dari sudut kekeluargaan, setiap ahli keluarga mempunyai peranan tersendiri kerana ia akan memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga masing-masing. Ini suatu perkara yang tidak boleh dinafikan, untuk menyatakan bahawa kesejahteraan sesebuah keluarga hanya dapat dibina secara bersama oleh semua ahli keluarga yang ada.
Jika ada ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab, tidak menghormati ahli yang lain, mementingkan diri sendiri atau pelbagai sikap yang negatif dan gagal menjaga keharmonian rumah tangga atau keluarga, tentunya boleh menyebabkan kesan buruk yang lebih besar.
Sedangkan keluarga merupakan perkara yang amat penting dalam membincangkan apa juga isu yang berkaitan dengan kesejahteraan negara. Ia merupakan unit asas kepada pembentukan dan pembinaan peradaban manusia. Sebelum masyarakat dapat dibentuk, ia memerlukan unit-unit keluarga yang dapat dikumpulkan dan saling berinteraksi. Di situlah bermulanya pembinaan kumpulan manusia yang lebih besar sehingga terbinanya sebuah negara dan tamadun.
Sejak beberapa dekad yang lalu, institusi kekeluargaan di mana juga berada, berdepan dengan pelbagai cabaran hebat sebagai kesan daripada kepesatan berbagai-bagai bentuk pembangunan. Pembangunan fizikal, kemajuan sains dan teknologi, dan konsep dunia tanpa sempadan antaranya, tidak dinafikan telah memberikan pelbagai manfaat kepada manusia dan kehidupan manusia, tetapi dari satu sudut yang lain fenomena ini telah memberi impak yang amat besar kepada institusi kekeluargaan. Gejala sosial dan meningkatnya kadar jenayah adalah sebahagian daripada kesan buruk yang lahir daripada arus pemodenan dan kemajuan sesebuah negara, dan ia tentunya ada hubung kait dengan institusi kekeluargaan.
Berdasarkan keadaan ini, mengapa tidak untuk setiap daripada kita mengambil kesempatan sementara semangat tahun baharu masih segar untuk kita membuat kebaikan kepada keluarga sendiri? Bermuhasabah dan membuat pemeriksaan jika masih ada perkara-perkara yang perlu dibaiki, dan seterusnya menjadikan kesejahteraan keluarga sebagai sebahagian daripada azam kita.
Mungkin masih ada pihak yang tidak merasakan bahawa keluarga yang sejahtera adalah sumber ketenangan diri. Sedangkan sebenarnya apabila sebuah keluarga dapat dibina dengan landasan yang kukuh, diisi dengan kasih sayang dan dikukuhkan dengan sikap tolak-ansur, banyak kejayaan dan nikmat yang boleh dicapai dan dinikmati. Sebarang masalah yang dihadapi juga lebih mudah untuk diselesaikan, atau sekurang-kurangnya kebarangkalian untuk mencari jalan penyelesaian itu menjadi lebih besar kerana di belakangnya ada orang-orang tersayang yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan.
Di celah-celah kehidupan ini, ada suami isteri yang duduk sebumbung tetapi tidur berbeza bilik dan sudah lama tidak bertegur sapa. Di atas kertas ada janji termeterai untuk sehidup semati tetapi realitinya mereka saling menolak antara satu sama lain.
Ada juga adik-beradik yang tidak berhenti daripada berkelahi dan saling bercakaran kerana berebut tanah pusaka walaupun luasnya mungkin hanya sekangkang kera. Hukum faraid memberi kelebihan kepada anak lelaki kerana di sebaliknya ia turut memberi mandat atau amanah yang besar, tetapi kita masih mendengar terdapat saudara-saudara perempuan yang kurang bernasib baik tidak diambil peduli oleh abang atau adik lelaki sendiri.
Terdapat juga kalangan mereka yang mahu duduk berkumpul hanya ketika ibu dan ayah masih bernyawa. Apabila orang tua telah tiada, masing-masing membawa haluan sendiri. Belum lagi kisah orang tua yang dipinggir anak-anak sendiri atas pelbagai alasan.
Sebenarnya, terlalu banyak cerita malang dan sedih dalam masyarakat kita yang berkaitan dengan rumah tangga dan keluarga.
Pembinaan keluarga sejahtera yang perlu dibina bukan hanya perlu dilihat pulangannya dari aspek duniawi semata-mata, tetapi yang lebih utama adalah kerana ia ada penilaian di sisi Allah SWT. Penilaian ini amat penting demi mencapai keredaan-Nya.
Melalui al-Quran, banyak firman Allah SWT yang memperlihatkan kepada kita tentang pengukuhan institusi keluarga. Begitu juga melalui Hadis dan Sunnah Rasulullah SAW. Ia dimulakan dengan ketaatan anak-anak terhadap ibu bapa. Selanjutnya, seorang lelaki itu diangkat darjatnya sebagai suami kerana ia mendapat mandat dan tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin keluarganya.
Begitu juga pelbagai dalil sama ada secara langsung ataupun tidak langsung yang fungsinya adalah untuk mengukuhkan keluarga, selain amaran keras kepada mereka yang memutuskan silaturrahim.
Jika kita benar-benar insaf bahawa kehidupan ini hanya sementara, apatah lagi dengan pelbagai tanda bahawa kita sesungguhnya telah berada di akhir zaman, maka kasih sayang sesama ahli keluarga akan kita pertingkatkan. Perasaan ego, dendam, pilih kasih, pentingkan diri sendiri akan dibuang dan diganti dengan rasa sayang, memaafkan, berlaku adil dan bertolak-ansur serta berlebih kurang.
Sambutlah tahun baharu ini dengan azam yang paling soleh di sisi Allah SWT, dan kita letakkan keluarga kita di dalam azam itu supaya Allah SWT akan merahmati dan memberkati kehidupan kita berkeluarga.