Satu sidang media sempena sambutan 25 tahun IKIM yang akan disambut pada 18 Februari 2017 bersamaan 21 Jamadilawal 1438H tahun ini telah diadakan pada 12 Januari 2017. Sidang media ini bertujuan untuk mewar-warkan sambutan yang akan dilaksanakan pada tahun ini bersempena penubuhan IKIM yang telah mencapai usia 25 tahun.
IKIM ditubuhkan pada 18 Februari 1992 bersamaan 14 Sya’ban 1412H di bawah Akta Syarikat 1965. Tujuan utama IKIM ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kefahaman Islam dari pelbagai sudut ilmu untuk orang Islam dan bukan Islam. Di antara objektif utama penubuhan IKIM adalah memberi kefahaman Islam untuk memmenjalankan penyelidikan dan perundingan sudut pandangan kerohanian, di samping menyediakan satu forum bagi sarjana Islam dan bukan Islam untuk berbincang dan menganalisis pelbagai isu untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman yang mendalam mengenai isu-isu semasa serta menjadi sumber maklumat kepada umat Islam dan bukan Islam di peringkat lokal dan global.
Sebagai pembuka tirai, sebuah Seminar Antarabangsa “Religion and Civilizational Sustainability” akan diadakan pada 20-21 Februari 2017 di Dewan Besar IKIM. Sebanyak 27 program telah diatur sepanjang tahun ini dan IKIM juga akan melancarkan 25 judul buku pada tahun ini. Manakala untuk meraikan para pendengar Radio IKIMfm yang kini berjumlah lebih 1 juta dan penonton tvIKIM, Pusat Media IKIM akan menganjurkan karnival IKIM dan konsert khas di antara 31 Mac hingga 2 April 2017 nanti. Sepanjang tahun 2017 ini, logo khas akan digunakan untuk urusan rasmi. Penyampaian hadiah turut diadakan kepada pemenang pencipta logo khas 25 tahun IKIM iaitu Encik Muhammad Shafawi bin Hamzah dan Tuan Haji Mohamad Rohaizad bin Haji Mohamad Rasid.