Sedar atau tidak, negara kita sedang berusaha mewujudkan budaya kerja yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Salah satu strateginya, adalah melalui perlaksanaan e-government atau kerajaan elektronik.
Mungkin orang ramai masih tertanya-tanya apa itu e-government atau kerajaan elektronik? E-government ini merupakan satu kegunaan yang dilaksanakan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melalui Unit Pemodenan Tadbiran Pengurusan Malaysia (MAMPU). Kerajaan telah melancarkan pelan strategik ICT sektor awam Malaysia sejak Ogos 2003 lagi demi meningkatkan penggunaan ICT dalam sistem penyampaian.
Apa yang pasti, melalui e-government, satu pencapaian penting ialah pelaksanaan Portal Perkhidmatan Awam yang dikenali sebagai myGovernment. Melalui myGovernment ini ia dapat memberi maklumat terkini perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan. Sebagai contoh, sehingga akhir 2005, Portal Perkhidmatan Awam ini telah menyediakan akses kepada 900 laman web pelbagai agensi sama ada di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan.
Selain itu, melalui e-government, kerajaan dapat mengubah sistem perkhidmatann sektor awam yang dianggap tradisional kepada yang lebih moden, yakni daripada sistem manual kepada sistem elektronik. Pada masa yang sama, langkah ini dianggap dapat mengurangkan jurang digital dalam mengorak langkah yang baik ke arah dunia tanpa sempadan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada tahun 2005, Malaysia diletakkan di tangga 43 dalam perlaksanaan e-government. Sementara itu, dalam rantau Asia Tenggara juga, Malaysia masih lagi terkebelakang berbanding Negara Singapura, Jepun dan Korea.
(Laporan akhbar New Straits Times).
Hakikat yang perlu kita akui, ialah melalui e-government ini, segala pembayaran bil, semakan saman, hutang, dan sebagainya, dapat diketahui dengan mudah. Malah orang ramai dapat berurusan secara lebih berkesan bila-bila masa sahaja, selama 24 jam atau 7 hari dalam seminggu, begitu mudah sekali dan cepat. Tanpa perlu beratur atau berbaris di kaunter-kaunter bayaran, semakan dan sebagainya.
Dalam hal ini secara tidak langsung, ia dapat merungkai masalah yang berlaku dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Ini kerana kita tidak perlu lagi beratur atau berbaris panjang di kaunter-kaunter untuk menjelaskan bil dan sebagainya.
Di samping itu, langkah yang dijalankan ini juga dapat mengurangkan kerenah birokrasi yakni dengan mempermudahkan dan memperkemaskankan lagi sistem dan aliran kerja, serta dapat memantapkan pentadbiran sektor awam.
Hakikat yang boleh kita terima sekarang, apabila perlaksanaan e-government, yakni melalui portalnya, orang ramai dapat melayari internet dengan mudah. Jika dibandingkan satu ketika dahulu, sebagai contoh, para penganggur atau pencari kerja akan turun naik pejabat, iaitu di Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) untuk melihat kekosongan jawatan, atau membelek-belek pelbagai surat khabar untuk mencari peluang pekerjaan dan berbaris panjang hanya untuk mendapatkan sekeping borang. Namun dengan adanya sistem e-government, maka dengan mudah mereka dapat melayari internet untuk mengakses borang permohonan. Semua jawatan kosong dalam agensi kerajaan terkini tertera dalam laman web ini.
Selain itu, sistem e-government dijangkakan akan meningkatkan operasi dalaman kerajaan. Ianya bermatlamatkan memberi keselesaan, ketelusan dalam segala hal. Ini sekaligus, membaikpulih taraf aliran maklumat di dalam kerajaan bagi membangunkan dasar, menyelaras dan menguatkuasakannya secara lebih pantas dan berkualiti.
Di sebalik perlaksanaan e-government, apa yang cuba diperkenalkan ialah dari segi penjimatan kertas. Apabila pelanggan terus melayari internet ini, maka penggunaan kertas agak terhad sekaligus menjimatkan penggunaan kertas melalui borang-borang yang dijual.
Buat masa kini, kegunaan utama Kerajaan Elektronik antaranya adalah proses memperbaharui lesen memandu secara elektronik dan ujian teori memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sistem e-failing oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semakan daftar pemilih oleh Jabatan Pendaftaran Negara, jawatan kosong oleh agensi kerajaan dan sebagainya. Dengan adanya tetingkap perkhidmatan secara ‘one-stop’ yang disediakan oleh Kerajaan Elektronik kita dapat lihat dalam RMK- 9, dinyatakan sebayak 2.16 juta calon telah menduduki ujian memandu ini melalui projek e-khidmat ini.
Walau bagaimanapun, perlaksaananan e-government ini turut menuntut supaya penjawat awam hari ini mempunyai kemahiran dalam ICT sebagai nilai tambah untuk melancarkan lagi operasi ini. Tanpa kemahiran ICT, maka perlaksanaan secara menyeluruh di setiap agensi kerajaan mungkin mengalami kegagalan.
Dalam masa yang sama, usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan dalam perkhidmatan awam, perlulah dijadikan agenda berterusan seperti yang dikehendaki oleh kerajaan kita. Secara keseluruhannya, penggunaan sistem ICT ini juga baik dan mampu meningkatkan ketelusan, di samping mengurangkan berlakunya penyelewengan serta dapat mempercepatkan sesuatu proses dan permohonan berbanding perkhidmatan secara manual.
Justeru, dalam melahirkan perkhidmatan awam bertaraf dunia, yang sentiasa peka kepada arus perubahan, kerjasama semua pihak perlu di dalam melaksanakan konsep e-government secara menyeluruh ini. Namun begitu, latihan yang cukup perlulah diberikan kepada penjawat awam untuk memudahkan segala urusan apabila mengendalikan sistem ini nanti.
Apa yang lebih penting di sini, dalam memantapkan sistem penyampaian sektor awam, melalui e- government, usaha ini perlulah seiring dengan kesedaran masyarakat hari ini melalui kepentingan ICT. Hal ini penting untuk menjadikan sistem penyampaian perkhidamatan awam hari ini bertaraf antarabangsa akan tercapai. Apapun usaha yang dilaksanakan membabitkan ICT ini, semuanya terletak di hujung jari anda. Anda juga penentu kelancaran sistem ini supaya hasilnya lebih berkesan.