Islam diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membentuk keperibadian individu yang sempurna dan menyusun masyarakat umat manusia semoga keharmonian dan kesejahteraan manusia setempat dan sejagat dapat dicapai. Mengikut fitrah kemanusiaan, manusia dicipta Allah bukan sahaja dengan memiliki sifat ‘makhluk individu’, ia juga memiliki sifat `makhluk sosial’. Bahkan tema isi kandungan al-Quran menumpu kepada kelakuan manusia di peringkat individu dan di peringkat masyarakat.
Shah Waliullah, seorang ulama yang terkenal dalam abad kelapan belas berpandangan bahawa tujuan Islam diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan sifat keperibadian manusia dan menyedarkan diri manusia kepada kehendak Ilahi melalui pembentukan sebuah masyarakat yang tersusun dan harmonis di mana manusia dapat menyempurnakan kemampuannya dengan sepenuhnya.
Abu Ali Ahmed Miskawayh seorang ahli falsafah dan sejarawan Islam dalam bukunya Tahdib al-Akhlaq Wa Ta’thir al-A’raq mengutarakan teori bahawa manusia pada fitrahnya memiliki sifat sosial. Justeru itu individu perlu bersama dengan masyarakat.
Al-Farabi, seorang lagi ulama besar juga berpandangan bahawa untuk manusia meningkatkan kesempurnaannya, dia perlu pada dasarnya kepada banyak keperluan di mana dia tidak mungkin dapat menyediakan oleh dirinya sendiri. Oleh itu manusia perlu menjalani proses pertukaran barangan dan perkhidmatan di antara satu sama lain. Dengan kata lain manusia memerlui di antara satu sama lain dalam menjalani hidup yang bermakna dan sempurna.
Pada satu segi yang lain manusia memiliki kecenderungan untuk menjamin kepentingan dirinya senantiasa terpelihara. Kepentingan atau menyayangi kepada diri sendiri adalah sifat semulajadi yang terdapat dalam diri manusia. Islam tidak sekali-kali menghapuskan sesuatu yang tersedia ada dalam diri manusia. Islam hanya cuba menyempurnakan sifat ini dengan mengimbangkan keharmonian kepentingan individu dengan kemuslihatan masyarakat.
Dari dua sifat yang dimiliki oleh manusia, sistem kemasyarakatan mengikut Islam akan disusun bersandarkan kepada semangat keadilan dan kerjasama. Justeru itu kesejahteraan masyarakat akan dapat disusun melalui keharmonian keperluan menjaga kepentingan diri individu dan kemuslihatan masyarakat. Dalam usaha ke arah matlamat tersebut, Islam meletakkan institusi pemerintah sebagai amanah untuk menjamin tercapainya ketersusunan masyarakat. Institusi pemerintah atau khilafah atau sektor awam yang mantap dan berwibawa dianggap sebagai asas utama kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah masyarakat bernegara.
Teras utama kepada penyusunan dan penglibatan sektor awam hendaklah berpandu kepada semangat musyawarah dalam mengenali pemerintahan negara. Asas ini penting demi untuk menghasilkan pemerintahan negara menepati semangat agama. Amalan musyawarah dapat mempengaruhi pengubalan struktur institusi pemerintahan, cara pemilihan pemimpin dan corak perlaksanaan dasar pemerintahan negara menepati agama dan seterusnya mewujudkan kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Musyawarah adalah kaedah terbaik di mana buah fikiran di kalangan bijak pandai dan ahli masyarakat pada keseluruhan diberi peluang untuk berperanan pada peringkat masing-masing untuk memandu haluan perjalanan pemerintahan negara.
Al-Quran menjelaskan dengan maksud berikut :
“Bermesyuaratlah kamu dengan mereka dari hal urusan”
(Al-`Imran : 159)
“Dari orang-orang yang mengikut perintah Tuhan, mengerjakan sembahyang, urusan mereka dengan bermesyuarat sesama mereka dan mendermakan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka”.
(Asy-Syuuraa : 38)
Berasaskan semangat musyawarah, sesebuah negara Islam mampu membentuk struktur sistem pemerintahan negara sesuai dengan keadaan setempat dan semasa dalam mendaulatkan syariah Islam.
Tugas utama sesebuah pemerintahan dalam Islam adalah untuk menjamin kebajikan sosial masyarakat di kalangan kesemua lapisan rakyat tercapai. Ibn Taymiya berpandangan kecapaian kebajikan sosial dalam sesebuah negara akan merapatkan pertalian di antara pemerintah dengan rakyat. Keadaan sedemikian sangat perlu dalam menjaminkan kestabilan politik dan kebajikan ekonomi tercapai. Ia juga akan dapat meneruskan usaha pemerintah dalam membangunkan negara.
Kebajikan sosial membawa erti yang syumul dan mendalam. Ia meliputi dan memenuhi kesemua aspek keperluan manusia di peringkat individu dan masyarakat. Pertama, kebajikan sosial akan tercapai apabila individu dan masyarakat menghayati kehidupan yang berakhlak tinggi menepati tuntutan Islam. Akhlak yang mulia adalah asas kepada kemanusiaan dan tamadun masyarakat itu sendiri. Justeru itu mendidik dan memelihara akhlak di kalangan pemimpin dan rakyat adalah tugas yang penting.
Kedua, membasmi kemiskinan mutlak di kalangan rakyat. Kemiskinan mutlak tidak seharusnya wujud. Kesemua ahli masyarakat mesti dapat berperanan dan melibatkan dengan kegiatan ekonomi. Rakyat mesti dididik untuk bekerja dan memiliki kemampuan untuk menyelesaikan keperluan asasi dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi secara berterusan dengan meningkatkan kekayaan ekonomi negara.
Ketiga, harta negara dan individu perlu sentiasa mengalir dalam kegiatan ekonomi. Pembekuan, pembaziran dan penyalahgunaan harta hendaklah dikurangkan dan jika boleh dihapuskan. Pengaliran kekayaan negara dalam kegiatan ekonomi akan memberi manfaat kepada keseluruhan lapisan masyarakat.
Keempat, pengurusan sumber negara hendaklah teratur dan tersusun mengikut keutamaan keperluan ekonomi negara semasa. Negara dengan itu mesti berkemampuan menghasilkan ahli-ahli cendikiawan dan pakar yang mahir dalam mengendalikan pengurusan ekonomi negara.
Kelima, setiap rakyat berhak memiliki harta peribadi, kebebasan menentu kegiatan ekonomi yang ingin disertai dengan menepati syariah dan menjalankan amalan perniagaan melalui institusi pasar.
Di samping peranan sektor awam, sektor swasta yang merangkumi sektor isi rumah dan sektor firma turut sama berperanan dalam membangunkan negara dalam kesemua aspek termasuk akhlak dan kemajuan ekonomi. Sesuai dengan kehormatan dan keyakinan Islam terhadap kedudukan individu, sektor swasta dalam pemerintahan Islam adalah rakan kongsi yang akan menentu bersama kemajuan negara. Bahkan dalam Islam, sesuai dengan fitrah penyusunan negara, sektor swasta seharusnya mempelopori dalam usaha ke arah memajukan negara.
Islam mempunyai pandangan bahawa usaha membangun dan memaju sesebuah masyarakat atau negara memerlukan kepada pengembelengan usaha di peringkat individu isi rumah dan firma. Tindakan individu dalam suasana yang sesuai dengan kedudukan dan kebebasan yang diperuntukan kepada individu akan menjadi faktor penentu kepada kemajuan sesebuah negara. Islam memberi penumpuan kepada pendekatan berbentuk sukarela dari usaha individu daripada pendekatan mengawal setiap tindak tanduk individu seperti dalam sistem sosialis dan komunis. Islam mempunyai pendekatan yang berbeza berkaitan dengan kebebasan individu dibandingkan dengan kebebasan individu dalam sistem liberal demokratik kapitalis. Islam memberi penekanan kepada pembentukan akhlak individu. Kesepaduan kemantapan akhlak dan kebebasan tindak tanduk individu dalam suasana wujudnya budaya Islam akan menghasilkan satu masyarakat yang bermutu dan bertrampilan. Akhlak mulia adalah asas dan penggerak kepada pencapaian kecekapan dalam diri manusia. Individu yang berakhlak adalah individu yang bertanggungjawab dan sekaligus berperanan positif kepada pembangunan negara. Justeru itu seseorang yang berakhlak tinggi akan senantiasa mencuba membaiki prestasi pekerjaannya ke mercu yang mampu dicapai.
Sektor firma adalah lebih kecil dari segi saiz organisasi. Mereka juga lebih menjurus dari segi bidang usaha dan objektif yang hendak dicapai. Justeru itu mereka lebih cepat dan mudah membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Ciri-ciri ini memudahkan mereka mencapai matlamat mereka. Jika kesemua organisasi firma dalam negara dapat digembeleng semoga dapat berperanan secara positif dan bertepatan kepada keperluan negara, mereka pasti akan dapat mendukung matlamat negara.
Jika sektor swasta dapat berperanan secara positif dan produktif, sudah pasti sektor awam akan dapat dikurangkan dalam memenuhi peranan tuntutan negara. Tindakan pemerintah dalam mengurangkan saiznya seperti melalui dasar penswastaan adalah usaha yang sihat demi mengurangkan saiz tanggungan pemerintah. Pendekatan ini perlu diambil untuk mencapai kecekapan dan sekaligus menepati fitrah bernegara.
Oleh kerana Islam menghormati hak individu dalam negara, kedudukan istimewa sektor swasta untuk berperanan dalam menentu kegiatan ekonomi menepati semangat ini. Islam mementingkan kepada roh keadilan dalam menyusun struktur pemerintahan bernegara dengan aktiviti ekonomi. Kedudukan dan peranan sektor awam dalam penyusunan ekonomi negara tidak dapat dinafikan. Islam hanya mengharmonikan peranan sektor awam dan sektor swasta dalam penyusunan ekonomi. Yang penting ialah keharmonian dalam negara tercapai dimana kedudukan hak individu terjamin dan nilai kemanusiaan bermasyarakat tercapai yang membolehkan negara terus mantap dimana pembangunan ekonomi yang berterusan dicapai.
Di Barat dan negara yang mengamal sistem liberal demokrasi kapitalis, saiz birokrasi sektor awam makin bertambah besar dan penting walaupun pada dasarnya sistem tersebut menganjur kebebasan mutlak individu dan sekaligus mendukung peranan penting sektor swasta. Keadaan sebenar ini yang bercanggah dengan matlamat sistem tersebut adalah disebabkan asas falsafah sistem kapitalis apabila dilaksana pasti menimbulkan banyak permasaalahan kepada masyarakat seperti wujudnya masalah kemiskinan, ketidakadilan dalam pengagihan pemilikan harta dan kekayaan, kesan luaran yang negatif dan sebagainya. Sistem liberal demokrasi kapitalisme yang berlandaskan kepada asas materialisme, individualisme, dan naturalisme apabila dilaksana akan memerlui pada akhirnya kepada peranan sektor awam yang besar demi untuk menangani masalah masyarakat yang ketara hasil dari perlaksanaan sistem tersebut. Ini adalah kerana asas falsafah sistem tersebut akan melahir individu yang rakus untuk dirinya dimana kebajikan masyarakat akan diabaikan.
Bertolak dari itu pemahaman Islam berkaitan dengan kedudukan sektor awam dan swasta dalam penyusunan sesebuah ekonomi merupakan asas utama dalam menyusun dan membangun ekonomi sesebuah negara pada masa ini.