Mengimbau perjuangan kemerdekaan tanahair suatu ketika dahulu akan mengingatkan kita kepada satu perjuangan untuk membina satu bangsa yang merdeka, terpimpin dan bebas dari segala belengu penjajahan. Berbanding dengan zaman sekarang, adakah perjuangan yang sedemikian masih lagi wujud atau sejauh manakah perjuangan tersebut masih lagi dihayati, dikenang dan diambil pengajaran daripadanya. Di saat kehangatan 50 tahun kemerdekaan masih lagi terasa, mungkin wajar ramuan-ramuan yang dapat memugar kembali semangat cintakan tanahair dan berjuang mempertahankan kemerdekaan tersebut diberi nafas baru agar bangsa yang telah merdeka ini sentiasa menjadi bangsa yang merdeka dan berupaya memimpin anugerah kemerdekaan itu di atas landasan yang betul.
Sejarah telah memperlihatkan bahawa kesinambungan hidup bangsa yang merdeka sering dikaitkan dengan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Kegagalan untuk menyesuaikan diri bermakna menempah maut. Memang sebagai satu bangsa yang telah merdeka, kita harus berubah tetapi bukan dalam semua hal. Dalam hal-hal yang tertentu kita perlu beristiqamah, namun dalam perkara-perkara tertentu kita juga boleh berubah selagi mana ianya tidak bercanggah dengan landasan utama agama. Bagi kita umat Islam, kita adalah umat pilihan yang dilahirkan dengan tujuan dan matlamat. Kita mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan risalah Islam. Iaitu risalah yang bersifat kamil dan syumul untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Risalah yang tidak mengenal sempadan negara selagi mana ada makhluk yang bernama manusia maka risalah ini akan disampaikan.
Menyampaikan risalah Islam tidak mengenal sempadan, bangsa, budaya. Bahkan Allah SWT. sendiri telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa manusia itu dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Firman Allah SWT. yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali” (al-Hujurat 13).
Inilah yang menerangkan Kebesaran penciptaan Allah SWT. bahawa manusia itu dicipta daripada lelaki dan perempuan, dan kemudian hidup berbangsa-bangsa dan bersuku-suku. Oleh itu, tidak menjadi salahnya apabila kita berbicara tentang bangsa Melayu, kerana bangsa Melayu juga ciptaan Tuhan. Kita juga tidak berasa bersalah apabila memperkatakan tentang kedaulatan bahasa Melayu dan indahnya budaya Melayu, kerana Allah juga menciptakan bangsa, bahasa dan budayanya itu sebagai tanda KekuasaanNya.
Inilah antara unsur yang menjadi tulang belakang perkembangan kemerdekaan Tanah Melayu. Umat Islam di Tanah Melayu yang kebanyakannya orang Melayu telah wujud sejak seawal-awalnya lagi. Cuma istilah sahaja yang mungkin berbeza. Ada yang menggunakan istilah ummah, dan ada pula menggunakan perkataan bangsa, dan tidak kurang pula yang menggunakan istilah ‘khayra ummah’ atau bangsa terbaik dan cemerlang. Sekiranya semua istilah yang dimaksudkan ini merujuk kepada dasar-dasar al-Quran dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas utama kebangkitan dan perjuangan kemerdekaan, maka tidak ada perbezaan untuk diperselisihkan.
Lahirnya pejuang-pejuang kemerdekaan yang tulen adalah ditunjangi oleh kesedaran perjuangan untuk membina khayra ummah atau menjadi bangsa terbilang. Seringkali kita dapati daripada pembacaan sejarah bahawa munculnya pejuang-pejuang kemerdekaan adalah untuk memperbaiki nasib bangsa yang ditindas dan dizalimi oleh penjajah sehingga menjadi bangsa yang mundur dan hanya bergantung kepada belas ehsan kuasa asing.
Atas sebab itu jugalah kita melihat ramai pemikir dan penulis Islam membincangkan persoalan ini, iaitu bagaimana untuk ummah atau bangsa yang sentiasa ditindas ini bangkit dari kemunduran. Maka untuk itu, kita orang Islam, telah diingatkan oleh Allah SWT. dengan firmaNya yang bermaksud, “Dan kemuliaan itu adalah bagi Allah, rasul-Nya dan bagi sekelian orang yang beriman”. (al-munafiqun 8). Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan ‘izzah’ iaitu yang boleh ditakrifkan sebagai kemuliaan atau kecemerlangan ummah atau bangsa. Maka ianya merupakan satu dorongan untuk kita isikan anugerah kemerdekaan ini dengan konsep ‘izzah’ yang telah diungkapkan oleh al Quran. Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat ramai pejuang Islam abad ke 19 dan 20 turut menggunakan istilah ‘izzah’ ini dengan melahirkan konsep ‘wataniyyah izzah’ iaitu sejenis perjuangan untuk mencapai semula kemuliaan ummah yang telah hilang itu.
Lanjutan daripada itu, apakah ramuan yang paling mujarab untuk mengisi kemerdekaan ini agar ummah ini kembali menjadi ummah terbilang dan unggul. Tidak ada jalan lain kecuali kembali menghayati al-Quran dan sunnah RasulNya serta melihat tentang sejarah jatuh bangunnya umat-umat terdahulu. Allah telah mengutuskan Rasul dan al Quran sebagai kitab hidayah untuk dijadikan panduan. Kemudian setelah tiada lagi Nabi dan Rasul, maka Allah bangkitkan pula dikalangan ummah itu pemimpin yang menghayati hidayah dan memperjuangkan kitab hidayah itu. Selagi mana kitab hidayah itu diperjuangkan, maka selagi itu ‘izzah’ akan terpacul keluar dari ummah yang terbilang.
Begitu juga sebaliknya, selagi mana kitab hidayah ini tidak dihayati, maka tidak akan ada kebangkitan dan kemerdekaan yang mempunyai roh ‘izzah’. Mungkin di sana ada kemerdekaan yang dilihat maju dan kaya, tetapi ianya penuh dengan amalan kebendaan yang sarat dengan fahaman ‘sekularisme’, ‘kapitalisme’, ‘sosialisme’ dan sebagainya. Tidak ada satupun yang dapat menepati syarat ‘izzah’ seperti yang digambarkan oleh al Quran, iaitu pemimpin di kalangan ummah yang menghayati hidayah dan cekal memperjuangkan kitab hidayah. Dan bukan pula pemimpin dan ummah yang leka dengan keindahan duniawi dengan sentiasa mengharapkan imbuhan dunia sebagai balasan, sesuai dengan firman Allah SWT. yang maksudnya: “Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Yaasin 21)
Inilah yang ingin kita isikan menerusi sambutan kemerdekaan yang ke 50 ini, iaitu pemimpin dan rakyat yang istiqamah dan komited dengan kitab hidayah serta tidak meminta upah sebagai balasan duniawi, yang tidak ada kepentingan diri, keluarga atau kelompok. sama ada kepentingan ekonomi atau kepentingan peribadi untuk menjadi terkenal. Malah mereka ini ikhlas menawarkan diri untuk memikul amanah kitab hidayah kerana berasa bertanggungjawab di hadapan Tuhan.
Maka dari sinilah bangunnya jiwa merdeka dan berputiknya semangat dan perjuangan kemerdekaan. Jiwa merdeka lahir daripada tawhid dan iman yang memberi keyakinan kepada seseorang tentang harga diri, maruah, kepercayaan dan keupayaan dirinya sendiri. Oleh itu, umat Islam suatu ketika dahulu walaupun belum sempat mencapai kegemilangan kebendaan yang tinggi, tetapi telah dapat menakluki dunia, sehingga ke Rom dan Parsi. Sebabnya ialah kita mempunyai iman, kita memiliki hidayah dan kita mempunyai sesuatu yang orang lain tidak ada. Ketika itu Rom dan Parsi jauh lebih kaya dan mempunyai pelbagai anugerah duniawi yang hebat, tetapi mereka tidak mempunyai senjata yang sangat penting iaitu iman dan hidayah sehingga mereka menjadi bangsa yang dapat dikalahkan oleh golongan mukmin.
Inilah yang telah diperlihatkan oleh Rabi’ b. Amir seorang tentera Islam yang berjiwa merdeka, yang tulus ikhlas dalam memperjuangkan kitab hidayah, yang berasa bangga dengan iman dan Islamnya, dan yang tidak berasa rendah diri apabila berada di hadapan Rustam seorang Panglima tentera Parsi seraya berkata “…kami datang untuk menyelamatkan kamu. Kami datang kerana Allah memerintahkan kami untuk membebaskan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia, dengan hanya menyembah Allah SWT, dan memerdekakan kamu daripada kezaliman agama kamu kepada keadilan Islam”.
Inilah ciri ummah merdeka yang mempunyai matlamat dan tanggungjawab. Iaitu yang mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menyakinkan orang lain tentang kebaikan yang mereka miliki. Jika inilah ada pada setiap seorang Muslim, tidak kira pemimpin ataupun rakyat, iaitu yang sanggup melakukan apa saja tanpa memikirkan untung rugi duniawi, malahan mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi, maka ‘izzah’ yang diimpikan itu tidak mustahil dapat dijelmakan kembali dalam kesuraman dunia Islam masa kini. Inilah gagasan perjuangan kemerdekaan ummah yang perlu dicanangkan, bahkan yang sudah dimulakan oleh nama-nama besar dalam sejarah dan tamadun Islam.
Sesungguhnya nama-nama yang abadi dalam sejarah ialah mereka yang berkorban untuk memperjuangkan dan meninggikan kalimah Allah dan kitab hidayahNya. Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik adalah antara mereka yang berada di dalam barisan perjuangan kitab hidayah. Orang-orang seperti ini namanya kekal dalam sejarah dan menjadi sebutan sepanjang zaman.
Justeru, kita yang sudah 50 puluh tahun merdeka, adakah persoalan-persoalan ini dapat menjengah jauh ke lubuk sanubari jiwa, apakah benar kita memiliki jiwa merdeka yang dapat mempertahankan anugerah kemerdekaan ini? Atau kita hanya menjadi jasad bernyawa yang hanya melaksanakan kerja-kerja penjajah yang sudah berpuluh tahun meninggalkan kita. Sesungguhnya rahsia kejayaan mempertahankan kemerdekaan itu terletak pada keberkatan Tuhan, iaitu dengan adanya amalan yang diikhlaskan kepada Allah SWT. mentaati segala perintah dan larangannya, dan juga tidak meminta habuan duniawi, juga tidak minta dihargai atau dipuji.