SALURAN penyiaran berkonsep Islam sepenuhnya, radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), IKIM.fm menyusun beberapa program baru khusus diudarakan sepanjang Ramadan ini.
Selaras dengan konsep dan matlamat sebagai saluran penyiar bagi menyebar dan memandu pendengar dengan nilai-nilai keIslaman, IKIM.fm menyiapkan 14 program khas untuk para pendengar setianya.
Ketua Pengarahnya, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata, program khas sempena Ramadan itu disusun bertujuan memberi pengisian ilmiah dan rohani kepada para pendengar dalam menjalankan ibadah puasa.
Menurutnya, program-program yang disediakan meliputi segala aspek khususnya permasalahan dan pengalaman budaya hidup dan amalan masyarakat pelbagai sukuan kaum umat Islam di negara ini.
“Terdapat amalan keluarga sukuan kaum seperti di Sabah dan Sarawak yang hidup sebumbung dengan anutan agama berlainan untuk dikongsi bersama dan didedahkan kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan kepada MEGA, semalam.
IKIM.fm melalui krew penyiarnya kata Syed Ali, telah meninjau dan menemu bual sendiri suasana dan pengalaman kehidupan sukuan kaum di Sabah dan Sarawak untuk sajian pendengar.
“Kami harap program khas sepanjang Ramadan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pendengar tetapi turut berazam untuk meletakan stesen radio penyiaran ini sebagai sumber ilmu dan maklumat bermanfaat sesuai dengan peranannya sebagai perantara masyarakat,” ujarnya.
Antara rancangan yang mampu membuka minda pendengar itu nanti termasuklah ‘tahan tak tahan’ yang meninjau pandangan kanak-kanak yang mula belajar berpuasa sebagai sasaran.
Program ‘pisang setandan’ dan ‘fitrah Ramadan’ pula akan mendedahkan suasana, cabaran dan pengalaman umat muslim dari pelbagai sukuan di Sabah dan Sarawak menjalani ibadah sepanjang Ramadan.
Lapan orang penyiar terlibat dalam mengendalikan 14 program yang telah disusun untuk siaran udara sepanjang Ramadan ini.
Antaranya ialah Mohd. Erwan Johari, Nik Hasnah Ismail, Mazlina Ismail, Zarita Kassim, Mona Jasman dan Siti Rohani Surani.