AKHBAR-akhbar di United Kingdom pada 17 dan 18 April lalu dipenuhi berita tentang kisah seorang wanita bernama Liz yang mati akibat digilis kereta perompak yang telah merompak beg tangannya.
Sebelum itu Liz dilaporkan bergelut beberapa ketika di atas bonet kereta itu dengan memegang penyapu air hujan cermin depan kereta yang sedang bergerak laju ke depan dan ke belakang oleh perompak itu, maka akhirnya dia terjatuh betul-betul di hadapan roda depan kereta perompak itu, dan tanpa sebarang rasa belas kasihan atau berperikemanusiaan, perompak itu terus melanggarnya dengan amat kejam sekali.
Liz merupakan seorang daripada ribuan mangsa rompakan dan pembunuhan yang berlaku di bandar-bandar besar Eropah, malah di negara-negara lain juga di seluruh dunia masa kini.
Tambah menyedihkan kematian Liz secara yang amat kejam itu adalah disebabkan oleh rompakan yang hanya melibatkan wang sebanyak dua puluh pound sahaja, iaitu kira-kira tidak sampai RM120.
Jumlah wang sebanyak inilah yang terdapat di dalam beg tangan wanita itu ketika dia dirompak oleh sepasang perompak di dalam sebuah kafe di stesen kereta api Euston di bandar raya London ketika dia sedang minum bersama suaminya sementara menunggu kereta api untuk pergi ke satu tempat bagi merayakan hari jadi bapanya.
Keganasan manusia yang dilambangkan oleh sepasang perompak muda itu bukanlah kejadian sekali sekala dalam masyarakat manusia maju ini, malah kejadian ini mungkin hanya satu lagi kejadian serupa yang sering berlaku dalam masyarakat manusia yang bertamadun pada zaman ini.
Tidak menghairankan juga sekiranya kejadian sebegini akan terus menerus berlaku dengan berlipat ganda pada masa akan datang.
Manusia kini menjadi makhluk yang amat gelojoh dan tamak serta bersifat kebendaan melulu yang tidak lagi menghiraukan nilai moral dan akhlak, apa lagi menghormati etika dan harga nyawa orang lain di sekelilingnya.�
Nyawa manusia pada hari ini mungkin lebih murah daripada nyawa seekor semut bagi manusia kejam dan bersifat kebinatangan ini.
Ketika membicarakan kes jenayah seperti yang berlaku itu, akhbar British juga telah melaporkan satu perakuan oleh Sir Robin Auld, seorang hakim Mahkamah Rayuan, yang sedang melakukan kajian semula tentang sistem mahkamah jenayah di negara itu.
Antara lain beliau mengesyorkan supaya ratusan ribu kesalahan kecil tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah yang perlu dibawa ke mahkamah.
Beliau mencadangkan supaya kesalahan kecil seperti tidak memiliki lesen TV, atau tidak mempamerkan cakera lesen kereta, malah berkeadaan mabuk yang tidak menunjukkan salah laku dan tidak membahayakan orang lain, tidak perlu dihadapkan ke mahkamah.
Ini kerana kes-kes kecil seperti itu telah meletakkan beban yang amat berat ke atas mahkamah dan melibatkan wang kira-kira satu bilion pound bagi satu tahun sebagai kos mahkamah dan peguam.
Kerajaan sepatutnya menjimatkan wang sebanyak itu untuk usaha membanteraskan jenayah lain yang lebih besar dan lebih serius lagi. Kesalahan begini bolehlah dikenakan denda sahaja, dan sekiranya denda tidak dibayar melalui cara ini, maka pesalah seharusnya dihantarkan terus ke penjara.
Cadangan ini dibuat kerana kesalahan kecil itu terlalu banyak dilakukan oleh orang yang tidak bertang-gungjawab. Contohnya;
* Kesalahan tidak mempamerkan cakera lesen kereta, atau tidak mendaftarkan kenderaan baru sudah berjumlah 220,000 setahun.
* Kesalahan tidak mengambil lesen TV berjumlah 130,000 setahun.
* Kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, atau gagal menunjukkannya kepada polis ketika diminta, berjumlah 110,000 setahun.
* Kesalahan berkeadaan mabuk yang tidak disertai oleh keganasan atau salah laku berjumlah 30,000 setahun.
Bagaimanapun cadangan ini masih menjadi bahan debat di kalangan pihak-pihak tertentu, terutamanya di kalangan masyarakat yang mengkritik kerajaan sekarang yang telah berjanji untuk memerangi sekeras-kerasnya sebarang jenayah dan dorongan jenayah.
Namun begitu terdapat hujah yang mengatakan bahawa kerana terlalu banyak tenaga dan wang yang dicurahkan untuk jenayah-jenayah kecil, maka jenayah besar yang juga semakin berleluasa tidak mendapat perhatian yang sama dari segi belanjawan dan tenaga serta masa daripada pihak yang berkenaan.
Bagi kita, sebarang hujah dan alasan apa sekalipun atas kesalahan manusia dari segi jenayah, moral dan sebagainya, maka hal ini menunjukkan betapa seriusnya kemerosotan tatasusila dan tindakan manusia, apa lagi nilai moral kerohanian dan keagamaan yang kelihatannya amat terhakis daripada masyarakat moden dan bertamadun ini.
Saya yakin bahawa proses negatif globalisasi dari negara maju seperti inilah yang amat mengancam masyarakat kita dan membawa bahaya dan racun yang amat berbisa ke dalam minda dan jiwa anak-anak kita.
Malah bibit-bibit dan realiti penaklukan kebendaan melulu yang mengakibatkan kelahiran individu dan kelompok manusia yang tamak haloba dan gelojoh tanpa sebarang nilai moral dan akhlak, juga telah lahir secara berleluasa di negara kita.
Oleh itu amatlah perlu segala cabaran dan salah laku seperti ini diperangi dengan sekeras-kerasnya, termasuk melalui pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan. Ini adalah tanggungjawab bersama oleh semua pihak, iaitu kerajaan dan rakyat daripada berbagai-bagai golongan dan lapisan.
Semua orang harus mengambil tanggungjawab ini secara bersungguh-sungguh, tanpa menuding jari kepada pihak lain, atau semata-mata mencari kesalahan orang lain di Barat atau di Timur. Kita sendiri seharusnya berusaha memperbaiki diri sendiri dan keluarga serta seluruh anggota masyarakat kita.