Tidak lama lagi rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62 pada 31 Ogos 2019 yang bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”. Hari Kemerdekaan ini sebenarnya adalah hari yang penuh bermakna jika dihayati sepenuhnya oleh warga Malaysia.
Seandainya warga Malaysia yang ada pada hari ini tidak merdeka, kita tidak dapat bayangkan nasib kita sekarang. Hampir lebih kurang 446 tahun kita dijajah oleh orang asing.
Tanah Melayu dengan jelas memberikan makna tanah yang dimiliki oleh orang Melayu. Jika kita lihat dari perspektif kemerdekaan pula, bangsa Melayulah yang berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini dan wira-wira negara yang gugur tidak mengharapkan apa-apa kecuali ganjaran daripada Allah SWT yang mereka dambakan.
Makna “sia” dalam bahasa Latin ialah “tanah”. Begitu juga dengan negara-negara lain yang mempunyai akhiran “sia” seperti Rusia, Indonesia dan Tunisia. Negara-negara yang berakhir dengan “land” juga merujuk kepada tanah milik mereka seperti New Zealand, Finland, England, Switzerland, Thailand dan sebagainya.
Sambutan kemerdekaan ini sebenarnya mempunyai berbagai-bagai tujuan seperti menaikkan semangat patriotik, menghargai wira-wira negara yang terkorban dan yang paling penting ialah untuk ditanamkan pada golongan remaja masa kini atau dikenali sebagai generasi Z. Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital telah membahagikan demografi penduduk seperti berikut: generasi X ( lahir antara tahun 1965-1976), generasi Y (lahir tahun 1977-1997) dan generasi Z (lahir tahun 1998 hingga kini).
Generasi Z membesar dengan keadaan yang jauh berbeza. Mereka tidak pernah merasa TV hitam putih, mandi sungai dan minum air telaga ataupun pergi ke sekolah dengan berjalan kaki yang berbatu-batu jauhnya melalui jalan yang berdebu tanah.
Generasi Z masa kini dilahirkan dalam dunia Teknologi Maklumat (IT). Jadi, sambutan kemerdekaan seharusnya mengambil kira era IT dan juga era Malaysia baharu.
Sambutan kemerdekaan dalam era Malaysia baharu mestilah menampilkan impak yang baharu dan juga luar biasa. Apa yang ingin dicadangkan di sini ialah mengadakan kempen pengibaran “ e-Jalur Gemilang” kepada semua sektor kerajaan dan swasta.
Kempen “e-Jalur Gemilang” ialah mengibarkan bendera Malaysia di laman web masing-masing. Pengibaran bendera di laman web ini tidak melibatkan kos dan ia lebih mesra alam serta tidak melibatkan pembaziran. Pengibaran bendera ini boleh dihasilkan hanya dengan menggunakan template atau membina menggunakan perisian Adobe Illustrator dalam masa beberapa minit atau jam sahaja dan dengan lain-lain cara.
Cuba kita fikirkan, sebagai rakyat Malaysia kita dapat menunjukkan sambutan kemerdekaan negara ke seluruh dunia. Sebagai contoh, jika pelancong asing ingin membuat tempahan bilik secara dalam talian, mereka akan melihat kibaran “ e-jalur gemilang”. Begitu juga apabila pelancong asing berurusan secara dalam talian dengan syarikat penerbangan di Malaysia, bank-bank dan syarikat-syarikat korporat tempatan, Bursa Malaysia dan lain-lain yang kesemuanya mengibarkan “e-Jalur Gemilang”.
Kempen ini boleh dijalankan selama sebulan atau mungkin 3 bulan lebih awal dan kemuncak kepada kempen “e-Jalur Gemilang” ini ialah kita mengadakan perarakan secara fizikal sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan yang selalu diadakan setiap tahun. Impak kibaran “e-Jalur Gemilang” ini dapat mewujudkan momentum dan menanamkan semangat patriotik khususnya kepada golongan generasi Z yang bakal mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti.
Mengapakah begitu penting bendera ini kepada kita? Cuba kita lihat dari perspektif sejarah Islam. Banyak kisah yang diceritakan kepada kita berkaitan dengan bendera atau panji dari pandangan Islam. Kalau kita membaca kitab Fadhail al-Amal yang ditulis oleh Mualana Muhammad Zakariyya Kandhlawi ada menceritakan mengenai kisah sahabat nabi Muhammad SAW yang membawa bendera sanggup dipotong kedua-dua tangan bagi memastikan bendera tersebut tidak jatuh ke tanah. Begitulah pergorbanan para sahabat dalam memperjuangkan dan mempertahankan panji-panji Islam yang tercinta.
Kisah pertama berlaku ketika peperangan Uhud. Bendera Muhajirin dipegang oleh Musa’ab ibnu Umar r.a. Musuh telah menghampiri beliau lalu memotong tangan kanannya dengan pedang supaya bendera tersebut jatuh ke tanah bagi menandakan kekalahan yang nyata bagi orang Islam. Namun, beliau segera menyambar bendera tersebut dengan tangan kiri pula. Musuh turut memotong tangan kiri beliau. Beliau telah merapatkan kedua-dua lengannya ke dada dan menahan bendera supaya tidak jatuh. Akhirnya tentera musuh memanahnya sehingga menyebabkan beliau tersungkur ke bumi dan gugur syahid. Ketika kesyahidannya dan ketika bendera tersebut hampir jatuh tiba-tiba sepantas kilat bendera tersebut disambar oleh sahabat yang lain.
Kisah yang kedua adalah semasa perang Muta’ah. Rasullulah SAW telah melantik Zaid ibnu Haritsah r.a. sebagai ketua tentera Islam. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Sekiranya beliau (Zaid) syahid maka Jaafar ibnu Abi Thalib r.a. akan menjadi ketua. Sekiranya beliau juga syahid maka Abdullah ibnu Rawahah r.a. akan menjadi ketua. Sekiranya beliau juga syahid, maka orang Islam bolehlah melantik sesiapa yang mereka suka sebagai ketua”.
Setelah Zaid r.a. syahid, maka Saidina Jaafar ibnu Abi Thalib r.a. pula memegang bendera tersebut. Pada mulanya bendera tersebut berada di tangan kanan. Pihak musuh telah memotong tangan kanannya namun dengan segera disambar oleh tangan kirinya pula dan musuh turut memotong tangan kiri beliau dan akhirnya beliau menahan bendera itu dengan kedua-dua lengannya serta menggigit kukuh dengan gigi. Seorang musuh telah datang dari belakang lalu menetak sehingga beliau terbelah dua yang menyebabkan beliau terus jatuh. Pada masa itu, umur beliau 33 tahun.
Apabila Jaafar telah syahid, orang ramai telah memekik memanggil Saidina Abdullah ibnu Rawahah r.a. Dengan segera Saidina Abdullah ibnu Rawahah mara ke hadapan dan mengambil bendera tersebut dan mula berperang, jarinya telah tercedera dan jari itu tergantung-gantung di tangannya. Beliau telah menekan jarinya yang tergantung itu dengan kakinya kemudian menarik tangannya sehingga jari itu terputus. Beliau kemudiannya membuang bahagian yang terputus lalu maju ke hadapan dan beliau akhirnya gugur syahid.
Sebagai kesimpulan, kita dapat lihat bagaimana sahabat nabi yang berjuang dalam mempertahankan bendera Islam ini. Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya memyambut baik kempen kibarkan “e-Jalur Gemilang” dan semoga kempen ini menjadi titik permulaan ke arah menghasilkan wira-wira negara yang cintakan bendera Malaysia sekaligus cintakan negara.