Sumbangan wanita kepada pembangunan negara memanglah tidak dapat kita nafikan. Dengan lebih kurang 49 peratus guna tenaga di negara ini disumbangkan oleh wanita, ia bukanlah sesuatu yang boleh diperkecilkan.
Memandangkan bekerja di luar rumah menambah peranan yang dipegang oleh kaum wanita yang sebahagian daripadanya juga merupakan isteri dan ibu, maka wajarlah mereka disokong dengan kemudahan-kemudahan tertentu agar peranan asas mereka tidak terjejas.
Sehingga kini, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk membantu wanita bekerja dalam melaksanakan peranan-peranan mereka. Antaranya, cuti bersalin yang telah dipanjangkan kepada 60 hari; galakan kerajaan agar majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dan kemudahan untuk para ibu menyusukan sendiri bayi mereka; waktu kerja anjal; dan, bekerja dari rumah. Namun, melainkan cuti bersalin sehingga 60 hari, kemudahan-kemudahan yang lain masih tidak dilaksanakan secara meluas.
Kini, timbul dua lagi cadangan baru yang bertujuan untuk memudahkan wanita bekerja melaksanakan peranan-peranan asas mereka. Pertama, kelonggaran kepada kakitangan wanita untuk berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak dan kembali bekerja setelah anak mereka membesar. Kedua, cuti bersalin selama empat bulan bergaji penuh.
Seorang yang telah lama berkhidmat dalam kerajaan dan kini bersara, pernah bertanyakan soalan berikut, “Dengan kemajuan dalam bidang kesihatan yang kita miliki sekarang ini, apakah cuti bersalin 60 hari yang dinikmati oleh seorang wanita masih belum memadai untuk menjamin tahap kesihatan yang baik bagi membolehkannya kembali bekerja di pejabat?” Soalan tersebut beliau ajukan ketika diketengahkan cadangan untuk menambah cuti bersalin dari 60 hari kepada 84 hari dan dari nada soalannya itu, beliau amat tidak setuju dengan cadangan tersebut. Kini, beliau mungkin hilang sabar mendengarkan cadangan cuti bersalin selama empat bulan bergaji penuh.
Kalau kita lihat dari sudut kesihatan, memang benar kata-kata si penanya tadi. Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki tahap kesihatan yang baik. Dengan wujudnya perkhidmatan kesihatan untuk ibu dan anak di seluruh ceruk rantau negara ini, pastinya tahap kesihatan ibu dan anak di Malaysia kini adalah lebih baik berbanding 30 tahun dahulu. Maka, kesihatan bukanlah punca utama mengapa cadangan ini diketengahkan. Malah, pada tahun lalu, seorang doktor wanita pernah menulis dalam ruangan forum di akhbar ini bahawa, “seorang wanita bersalin dan menyusukan bayinya mampu kembali bertugas sebelum habis tempoh berpantang 6 minggu kalau betul caranya.”
Sebenarnya, cadangan untuk memanjangkan cuti bersalin adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan ibu dengan anak melalui penjagaan dan penyusuan badan. Dikatakan bahawa ikatan kasih sayang antara bayi dan ibu akan menjadi lebih erat akibat tempoh penjagaan yang dibuat oleh ibu sendiri ketika cuti panjang itu.
Secara sepintas lalu, cadangan ini kelihatan begitu baik sekali. Pastinya tiada wanita yang waras, yang tidak mahu mendapat cuti bergaji penuh selama 4 bulan. Tambah pula jika tempoh cuti itu boleh digunakan untuk melahirkan keeratan dengan bayinya.
Namun, dari sudut yang lain, mampukah kerajaan kita – kerajaan yang mensasarkan untuk mewujudkan sebuah negara maju pada tahun 2020 – dan majikan swasta, melaksanakan cadangan ini, baik dari segi kewangan, mahupun hasil dan mutu kerja?
Cuba kita fikirkan keadaan di pejabat jika cadangan ini dilaksanakan. Bila Puan A bercuti selama empat bulan, siapa yang akan mengambil alih tugas beliau? Untuk kerja yang beliau tidak lakukan kerana cuti bersalin, majikan masih perlu membayar gajinya. Malah, kerja-kerja beliau perlu ditanggung oleh orang lain – yang perlu dibayar elaun kerana memangku tugas tersebut. Setakat ini, bayaran tambahan itu hanya melibatkan 60 hari sahaja. Bagaimana sekiranya empat bulan?
Bayaran tambahan ini akan menyebabkan calon wanita menjadi kurang berdaya saing dalam pasaran kerja berbanding calon lelaki dalam sesebuah temuduga. Dalam jangka panjang, ada kemungkinan majikan tidak mahu memilih calon wanita untuk mengisi jawatan-jawatan yang kosong di pejabat mereka. Apakah ketika itu kita akan mengatakan bahawa majikan seperti ini berlaku tidak adil terhadap wanita?
Dalam Surah Jumu’ah, ayat 10, Allah memerintah umat Islam agar segera mencari rezeki setelah selesai menunaikan solat Jumaat. Sikap berlengah-lengah dan bermalas-malas dalam perkara ini bukanlah dari ajaran Islam.
Dalam hal wanita bersalin pula, hakikat bahawa wanita yang telah kering darah nifasnya perlu segera bersembahyang dan sudah boleh memenuhi kemahuan suaminya, menunjukkan bahawa wanita tersebut telah kembali pulih seperti sedia kala bagi membolehkannya menjalankan peranannya yang terhenti akibat darah nifas tersebut.
Maka, dengan berlatarbelakangkan ajaran-ajaran agama tadi, dalam hal pekerjaan di masa kini, jika wanita telah cukup sihat untuk kembali bekerja, mengapa ia perlu ditangguhkan?
Apa yang penting ialah kita mantapkan kemudahan sokongan yang sedia ada. Misalnya, jika selama ini kita hanya menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, apa kata kalau kita wajibkan? Begitu juga, apa kata kita wujudkan penyeliaan yang lebih ketat ke atas pengusaha-pengusaha taska dan tadika agar mereka meningkatkan mutu penjagaan kanak-kanak dan tidak banyak memberi masalah kepada ibu bapa? Selain itu, apa kata kita perbanyakkan pusat-pusat jagaan sementara di mana ibu bapa boleh meletakkan anak-anak mereka selepas atau sebelum waktu persekolahan sementara menunggu mereka mengambilnya selepas waktu pejabat?
“Tempoh cuti bersalin bagi pekerja wanita yang paling sesuai ialah 12 minggu”. Itu ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Apakah negara kita perlu melaksanakannya hanya kerana ia satu ketetapan ILO? Ya, memang, banyak negara lain, khususnya negara maju yang melaksanakan ketetapan tersebut. Perlukah kita melaksanakannya hanya kerana negara lain melaksanakannya? Soalan yang perlu kita sendiri jawab secara jujur ialah, “Dalam kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 tahun ini serta Wawasan 2020 yang kita ingin capai, apakah ketetapan ini merupakan satu keperluan untuk negara kita?”.