Jumaat, 10 Ogos, 2007
Kuala Lumpur, 10 Ogos 2007– Y.A.A. Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim, Ketua Hakim Negara telah bersetuju untuk merasmikan seminar “Ahmad Ibrahim : Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” pada 21 Ogos 2007, jam 9.00 pagi di Hotel PJ Hilton. Kehadiran Y.A.A. Ketua Hakim Negara di seminar ini merupakan satu pengiktirafan ketokohan dan kesarjanaan ilmiah Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Mohamed Ibrahim (1916-1999).
Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim merupakan salah seorang perintis penubuhan IKIM pada tahun 1992. Beliau juga amat berjasa kepada tertubuhnya Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya dan Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa. Seminar “Ahmad Ibrahim : Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” yang diadakan sempena 50 Tahun menyambut kemerdekaan negara ingin menjemput segenap lapisan rakyat di negara ini mengkaji pemikiran dan sumbangan ilmiah beliau.
Seminar ini adalah sebuah daya usaha ilmiah anjuran IKIM yang merentasi sempadan geografi, agama dan siasah. Ia bertujuan menghormati Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim seorang tokoh perundangan yang disegani di Malaysia khasnya dan rantau Asia Tenggara serta dunia amnya. Seminar “Ahmad Ibrahim: Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” disokong oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Jabatan Peguam Negara Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.
Seminar ini akan terbahagi kepada 10 sidang (session) ,9 tema perbincangan dan 34 pembentangan kertas kerja. Antara tema yang akan dibincangkan ialah:
i. Sahsiah, perwatakan dan kehidupan Allahyarham
ii. Mukadimah kepada Dunia Ilmiah
iii. Perlembagaan dan Hak-hak Asasi
iv. Undang-undang Keluarga
v. Undang-undang Awam
vi. Islamisasi Undang-undang
vii. Undang-undang Islam dan Sistem Perundangan Syariah
viii. Perbankan Islam
ix. Pengurusan Harta dan Insurans.
Gagasan pemikiran yang ditinggalkan oleh Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim dilihat mampu memberikan penyelesaian kepada sebahagian daripada cabaran yang kita hadapi hari ini. Antara kertas kerja yang menyentuh perkara ini ialah :
i. “Ahmad Ibrahim : The Unlikely Feminist” oleh Prof. Mehrun Siraj, Prof., Anjung , Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.
ii. “A Forgotten Activist : Ahmad Ibrahim and Maria Hertogh Controversy in Colonial Singapore” oleh Tuan Syed Muhd Khairuddin Aljunied, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura.
iii. “The Lina Joy Federal Court’s Decision : Bringing Closure To A Difficult Contitutional Dispute” oleh En. Pawancheek Marican, Prof. Anjung, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim , UIAM
iv. “Pendekatan Ahmad Ibrahim dalam Undang-undang Murtad : Satu Kupasan” oleh Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Penyelaras, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM dan
v. “Pemikiran Ahmad Ibrahim dalam Undang-undang Awam : Satu Analisis Permulaan” oleh Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyarah, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM
Seminar yang akan berlangsung selama 2 hari ini terbuka kepada para penggubal dasar, ahli siasah, ahli akademik, pengamal undang-undang, wakil-wakil NGO, penggiat sosial dan orang ramai yang berminat.
Penyertaan adalah percuma dan maklumat lanjut, sila hubungi Urusetia di talian 03-62046320/321/322/323 atau emel [email protected] atau [email protected].